Isnin, 29 April 2013

Buffer Solution


Allah, tahu kelebihan dan kekurangan hamba-hambaNya.

Al-Mulk merungkai cerita. Sebuah kisah yang mengandung pelbagai cerita. Kisah pelbagai kisah. Kisah tentang rasa.

'Tabarak'

Maha Suci Allah. Berkuasa menciptakan dan menghancurkan. Tiada kecacatan. Sedikit pun tiada, walau sekelumit pun. Kalihlah pandanganmu,lihatlah kembali. Percayalah, kau pasti akan percaya bahawa tiada satu pun yang cacat.

'Tabarak'; kunci al-Mulk. Pembuka kalam surah 'Kerajaan'.

Nikmat demi nikmat. Tapi masih ada yang kufur.

Neraka, makhluk itu turut murka atas kebiadaban manusia terhadap Tuannya.

"...Apakah belum pernah ada orang yang datang memberi peringatan kepadamu (didunia) ?"
(al-Mulk:8)

Dialog yang telah diketahui kerana dikisahkan dalam kalamNya.

"Mereka menjawab, "Benar, sungguh, seorang pemberi peringatan telah datang kepada kami, tetapi kami mendustakan(nya) dan kami katakan, "Allah tidak menurunkan sesuatu apa pun, kamu sebenarnya dalam kesesatan yang besar"
(al-Mulk:9)

Keingkaran yang akhirnya kembali kepada penyesalan. Penyesalan yang sudah terlambat.

"Maka mereka mengakui dosanya. Tetapi jauhlah (dari rahmat Allah) bagi penghuni neraka yang menyala-nyala itu."
(al-Mulk:11)

Rasa ego, akhirnya memusnahkan dirinya.

Ashabul jannah

Dikisahkan dengan menariknya dalam surah Al-Qalam; kisah ujian buat tuan-tuan kebun (ashabul jannah).

Mereka menyangka serta bersumpah;
"....pasti akan memetik (hasil)nya pada pagi hari"-ayat 17
"tetapi mereka tidak mengecualikan (dengan mengucapkan), "insyaAllah" "-ayat 18

Niat untuk menghindar dari apa yang menjadi kebiasaan kepada ayah mereka (iaitu memberikan sebahagian hasil tanaman kepada orang fakir miskin) berjaya. Namun, seperti diejek dengan pengkisahan kepada pembaca al-Quran sebelum mereka lagi (uslub Al-Quran yang menarik; kita mendapat gambaran yang jelas apa yang telah berlaku kepada kebun-kebun itu sedangkan tuan-tuan kebun masih berbisik-bisik agar orang lain tidak tahu)

"Maka mereka pun berangkat sambil berbisik-bisik"-23
"Pada hari ini jangan sampai ada orang miskin masuk kedalam kebunmu"-24

Mereka menyangka mereka tersalah kebun. Namun, perancangan Allah lebih hebat. Maha Hebat.

"Maka ketika mereka melihat kebun itu, mereka berkata, "sungguh, kita ini benar-benar orang-orang yang sesat,-26

Bahkan kita tidak memperoleh apa pun"-27

Rasa tamak yang mematikan segala nikmat yang ada.

Tapi pengakhirannya sedikit memujuk dan menarik hati.

"Mereka berkata; "Celakalah kita! sesungguhnya kita orang-orang yang melampaui batas.-31

Mudah-mudahan Tuhan memberi ganti kepada kita dengan (kebun) yang lebih baik daripada yang ini, sungguh kita mengharapkan ampunan dari Tuhan kita"-32

Inilah sikap orang beriman. Selepas berbuat kesalahan, ia beristighfar dan bertaubat kepada Allah s.w.t

Buffer solution

Pandanglah alam ini dengan pandangan yang neutral. Pandangan fitrah yang berbalik kepada iman. Supaya kita tidak menghukum dan mudah melafaz; "Dimana adilnya Tuhan?"

Sebenarnya, sebelum soalan itu dilontar, udara yang dihirup sudah bertiup, air sungai sudah pun mengalir, unggas senja sudah pun berzikir; Oh, alangkah adilnya Tuhan!

Kita mudah terjejas dengan persekitaran. Kita senang berubah dengan keadaan. Jadilah neutral. Jadilah buffer solution. Walau sesempit manapun dunia, kita tetap memilih untuk tersenyum,untuk menerima ujian ini, untuk melalui denai ini.

Kita kata ujian ini bukanlah untuk orang selemah ini, bukan untuk kita yang mudah futur ini; tapi kita lupa janji  Dia;

La yukallifullahu nafsan illa wus'aha

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya..."
(al-Baqarah:286)

Maka, laluilah sahaja. Pintalah kekuatan daripada Dia yang memberi ujian. Yang Maha Tahu apakah yang perlu ada dalam diri kita ketika itu.

Dia Maha Tahu apa yang perlu kita ada untuk Dia memakbulkan doa kita yang dilafazkan setiap akhir rabithah;

wa amitha 'ala syahadati fi sabilik

"dan matikanlah kami syahid fi sabilillah" 

Namun, jujur, aku juga sering lupa tentang ini.

Bila rasa tertekan, aku lakukan perkara mubah(harus,cth;mendengar nasyid). Perkara mubah, bakal membawa kepada haram. Hakikatnya, tidak ada yang mampu menenangkan jiwa kita kecuali Pemiliknya. Kita cuma peminjam sementara.

"Demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan) nya"- Asy-Syams:7

Bukan aku mahu menjaja siapa aku, cuma mungkin silap ini boleh membetulkan diri dan orang sekelilingku.

Al-Mulk; mengajak kita menghayati alam.
Al-Qalam; mengetuk pintu hati kita untuk cepat-cepat bertaubat

Keduanya memberi ibrah yang sama sebenarnya; Dia Maha Tahu!
Percayalah, Dia Maha Tahu!

Rabu, 10 April 2013

A.B.C


Masa itu rawatan. Dan masih merawat. Sepertimana Zainab al-Ghazali yang menyesali akan keterlambatan bergabung tenaga bersama Ikhwan. Begitu juga Sayed Qutb yang sedar akan keperluannya untuk bergabung bersama para syabab yang mencari redha Tuhan.

Di atas pundakmu

Siapa sangka tanggungjawab itu akhirnya terpikul atas setiap dari kita. Tanggungjawab yang akhirnya menuntut kita untuk berjuang bersama para mujahid yang lain; demi memenuhi keperluan kita terhadap agama.

Hal yang demikian kerana agama itu adalah satu anugerah dari Allah untuk kita jaga dan kita angkat.

Soalan seperti "Kenapa Allah Yang Maha Perkasa dan Maha Hebat itu tidak mengangkat agamaNya tanpa kitalah pendokongnya? Mengapa agama Yang Maha Hebat ini ada juga fatrah kalahnya?"

Barangkali persoalan ini bermain dihati mereka yang hipokrit dan fasik. Sama sekali bukan dalam hati orang yang benar-benar beriman ataupun orang-orang yang benar-benar kufur.

Ini kerana orang-orang yang beriman itu percaya akan kehebatan nama-nama Allah dan sifat-sifatNya Yang Maha Sempurna dan dalam masa yang sama mengakui kelemahan sebagai hamba yang bernama manusia yang tidak layak bertanyakan soalan seperti itu kepada Tuhannya Yang Maha Mengetahui.

Lain pula ceritanya dengan orang-orang yang benar-benar kafir. Kepercayaan kepada Tuhan pun mereka tidak punyai apatah lagi keimanan bahawa agama ini adalah milik Tuhan. Maka sudah tentulah soalan yang dimainkan diatas tidak dituturkan oleh golongan-golongan ini.

Tuntutan langkahan pertama

Sudahkah kita memulakan langkahan pertama atau masih ragu-ragu dengan kemenangan atau syahid yang telah dijanjikan?

Aku teringat suatu cerita yang diceritakan oleh seorang ukhti (perkongsian dari orang yang menyertai rombongan Aman Palestin ke Gaza) dimana peristiwa berikut merupakan sebuah peristiwa yang benar-benar terjadi di tanah suci al-Quds. Merekalah para pejuang HAMAS.

Begini ceritanya;

"Kalau mereka masuk usrah, mereka akan dapati ahli usrah telah pun berubah hampir setiap hari. Kemudian mereka pun fahami bahawa ahli yang sudah tiada itu, sudahpun syahid"

"Kitaran hidup mereka, malamnya lebih hidup berbanding siang. Malamnya mereka hidupkan dengan qiamullai,tilawah al-Quran dan hirasah (jaga malam). Siangnya pula mereka habiskan dengan belajar, tilawah al-Quran dan bersama keluarga."

Aku tidaklah mahu menyamakan situasi kita yang sedikit aman berbanding mereka. Zon yang tidak selesa telah mengajar mereka untuk bangun serta bangkit membuang segala selimut nafsu yang selama ini telah mmenghangatkan umat Islam yang lain.

Tapi, kita harus sedar, bahawa para kuffar tidak akan pernah rasa senang dengan kita (umat Islam) selagi kita tidak mengikut mereka. Hakikatnya, kita sebenarnya tidak sedikitpun aman (berada di zon selesa) dari ancaman orang kuffar yang cuba mencabar agama suci Islam. Seperti di Malaysia sendiri, KRISTIANISASI,LIBERALISME,PLURALISME dan bermacam lagi ideologi manusia yang mampu menyelewengkan jalan muslim dari Islam dan menyimpangkan para daie ke persimpangan yang hujungnya adalah sebuah penyesalan yang tak berpenghujung. Seperti firman Allah;

"Sekali-kali tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu mengikut jalan-jalan hidup mereka." (Al Baqarah: 120)






Justeru itu, mari kita atur langkahan pertama. Walau sekecil manapun langkahan itu, ayuhlah melangkah dengan segenap kekuatan yang kita punyai.

ABC

Jalan yang kita lalui ini semestinya bukanlah sebuah jalan yang dibentangkan dengan karpet merah dan bukan pula ditabur mawar merah. Tetapi jalan ini, jalan yang susah, panjang dan memeritkan. Harus kita akui itu!

Menuntut kita belajar dari alif,ba dan ta. A,B dan C.

Tidak boleh tidak, harus bermula dengan mendidik diri sendiri. Mendidik nafsu dan fikrah.

Aku tidak katakan politik itu haram. Aku akui dan mengimani politik itu adalah sebahagian daripada Islam. Tapi bukanlah keseluruhan dalam Islam itu menceritakan mengenai politik sahaja. Jadi, aku menasihati diriku dan kepada golongan muda atau syabab muslim seluruh dunia, isilah fikrahmu dengan kefahaman tarbiyyah yang suci. Binalah jati dirimu dengan tarbiyyah yang kamu perolehi.

Tarbiyyah yang aku maksudkan disini bukanlah yang akhirnya merosakkan hitungan amalmu kerana marah dan nista, tapi tarbiyyah itu adalah yang mampu merubah dirimu dari sekecil-kecil perkara sehingga kepada yang sebesar-besarnya. Sebagaimana Islam itu sendiri yang mengajar perkara yang remeh seperti adab-adab masuk ke tandas, sehinggalah kepada yang sebesar-besarnya seperti urusan pentadbiran dunia. Tarbiyyah itulah yang akan membentuk fikrah, nafsu dan sifatmu. Tarbiyyah itulah yang akan membuatkan kamu tidak jemu bangun malam. Tarbiyyah itulah yang akan mendidik kamu berukhuwah dengan itsar dan berlapang dada. Tarbiyyah itu yang akan menanam rasa tidak senang dengan ancaman kuffar walau ia keluar dari mulut mereka dan ditiup oleh angin yang sepoi-sepoi bahasa.
Ya, aku pilih tarbiyyah yang seperti itu.

akhir kata, BERSAMA MEMBANGUN MAHASISWA BERAGENDA!