Rabu, 28 Mei 2014

Kesediaan



Dunia manusia
Kita tidak bercakap mengenai haiwan,  atau lain-lain hidupan selain manusia. Saya mahu pembaca sedar,  tulisan saya kali ini adalah mengenai manusia. Manusia yang fitrahnya mencari sesuatu untuk bergantung harap. Mengharap untuk dikabulkan segala hajat. Manusia yang tidak pernah rasa selamat bila bersendirian walau setinggi mana pun tahap keberanian yang dia akui, walau sedalam mana pun fahaman aties yang dia imani,  walau sebesar mana pun tahap sombong diri,  akan ada satu masa hatinya terdetik untuk memohon dan meminta kepada 'sesuatu' ketika saat tiada sesuatu pun yang dapat menyelamatkan dirinya.

Kerana itu Allah abadikan fitrah ini dalam Surah An-Nas sebagai pemberitahuan serta peringatan buat manusia,  bahawa apa yang mereka rasa itu benar. Maka siapa lagi yang memberitahu mengenai fitrah kalau bukan Tuhan yang sebenar-benar Tuhan? Surah ini membisikkan kepada kita mengenai fitrah bertuhan dan khabaran bahawa Allah Yang Maha Esa la Tuhan yang sebenar-benar Tuhan.

Dunia manusia yang didiami oleh pelbagai hidupan ini juga menarik untuk kita perhatikan. Bagaimana istimewanya manusia itu sehingga Allah mengiktiraf bahawa manusia lah sebaik-baik kejadian. Kemudian Allah letakkan pada sehina-hina tempat. Surah At-Tin mempamerkan ciri-ciri manusia yang dikecualikan daripada penghinaan itu iaitu mereka yang beriman dan beramal soleh,  mereka itulah yang akan memperolehi ganjaran yang tak dapat digambarkan. Siapa yang tidak mahu ganjaran dari Tuhan, bukan?

Dunia pilihan
Sepanjang menjalani fatrah kehidupan,  manusia diberi pilihan untuk hidup dengan stail masing-masing. Kalau dari sudut ekonominya,  ada yang memilih untuk menjadi keluarga berada. Ada juga yang ditakdirkan menjadi pengemis dan ada juga lebih memilih untuk bersederhana. Semuanya bersebab dan terikat pada rezeki Tuhan dan juga dari usaha manusia itu sendiri.

Kalau dari sudut sosiologinya, ada yang memilih untuk bersendirian. Ada juga yang lebih memilih untuk hidup berjiran. Itu juga bersebab dan atas daya usaha manusia itu sendiri serta takdir Allah.

Kita pergi jauh sedikit, ada manusia yang memilih si fulan sebagai pemimpin, ada juga yang membangkang dan memilih si fulan yang lagi satu. Itu juga bbergantung kepada takdir Allah dan usaha manusia itu sendiri untuk membuat pilihan.


Uniknya Muslim adalah kerana dia meyakini bahawa segala yang berlaku bukanlah kerana usaha manusia semata-mata. Bukan juga kerana tawakal yang tinggi kepada Allah semata-mata. Tapi usaha dan tawakkal itu saling lengkap melengkapi.

(فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ)
 [Surat Aal-E-Imran : 159]


Dunia ini,  pilihan untuk manusia untuk membuat apa sahaja. Mahu berbuat baik, atau jahat. Mahu hidup mulia atau merempat. Mahu berlambat-lambat dalam tindakan atau mengambil keputusan dengan cepat. Itu semua pilihan manusia. Tapi Allah telah mengiingatkan bahawa amalan-amalan inilah yang akan menjadi penentu kehidupan di akhirat kelak dan Allah banyak menyebut mengenai janjiNya bahawa yang berbuat baik,  akan mendapat syurga  yang penuh kenikmatan dan yang berbuat jahat akan mendapat balasan neraka yang penuh azab. Tadabbur lah surah-surah dalam juzu' 29 sebagai peringatan kita bersama.

Pilihan yang fitrah
Manusia condong untuk mengikut fitrahnya. Fitrah bertuhan. Fitrah sukakan kebaikan. Fitrah mahu kembali kepada jalan keredhaan.

Maka Allah tunjukkan jalanNya yang lurus melalui para utusanNya. Dialah Tuhan sebenar. Inilah jalan kebaikan. Yang mana jalan keredhaan.


(قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي ۖ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ)
 [Surat Yusuf : 108]

Pilihan yang tersasar
Pernah kadang-kadang pilihan kehidupan yang kita lakukan tersasar daripada fitrah. Fitrah sukakan kebaikan,  tapi kita memilih untuk melakukan keburukan. Fitrah sukakan kejujuran,  tapi kita lakukan pembohongan. Fitrah sukakan kasih-sayang,  tapi kita semai benih-benih benci. Fitrah sukakan kebenaran, tapi kita selindungi kerana dengki. Fitrah sukakan lemah lembut, tapi kita berkasar-kasaran. Fitrah sukakan kekemasan dan kecantikan, tapi kita bercomot-comotan.


Apabila dua rasa yang berlawanan casnya bergabung, saya yakin, kita akan rasa sesak. Sesak yang amat. Waktu itulah fitrah dan syaitan sedang bertarung. Siapa lagi kuat, siapa lagi hebat.

Egoistik
Kadang-kadang manusia ego. Tak mahu mengaku salah. Padahal dia tahu, apa yang dia lakukan itu salah. Sebagai contoh, individu itu tahu bahawa baran itu merosakkan, tapi kerana ego, aku lahir dulu, aku lagi banyak pengalaman, aku lagi banyak ilmu, kau tak rasa apa yang aku rasa, inilah yang akan menjadikan kita statik.  Tidak berubah.


Sedangkan mukmin itu akan merugi bila dua harinya adalah sama.

Dalam masa yang sama, kita sedar bahawa kita tidak punyai masa yang lama untuk memilih samada mahukan perubahan diri atau tidak.

Ambillah kisah Zul Jausyan sebagai ibrah.

“Tidak mahukah kamu menjadi salah seorang pelopor dalam kerja itu”?

Dia berkata: “Tak mahu”

Baginda bersabda: “Apakah yang menahan kamu”?

Dia menjawab: “Aku telah melihat kaummu mendustakan, mengusir dan memerangi kamu. Tengoklah nanti. Jika kamu mengalahkan mereka, aku akan berimanlah.. dan aku akan mengikutmu. Jika mereka mengalahkan kamu, aku tidak akan mengikutmu.”

Setelah beliau Islam, dia sentiasa kecewa dan menyesal kerana tidak segera Islam ketika diajak oleh Rasulullah S.A.W.”

Bukankah pada hari ini, ramai orang berfikiran sama seperti Zul Jausyan? Realiti pertempuran Is­lam mengajak mereka supaya menjadi kelompok perintis,  pelopor, pendahulu dan ketua kebangkitan Islam, tetapi mereka enggan. Mereka hanya duduk memerhati di belakang dan menunggu siapakah yang akan menang.

--
Pautan penuh : http://muntalaq.com/fiqh-amal-jamaie-dalam-bentuk-baru/

Kesediaan
Sejauh mana kesediaan kita untuk melakukan perubahan. Sejauh mana kesediaan kita meleburkan ego, sombong, dan menyerahkan tengkuk untuk sebuah perubahan. Sebuah tarbiyyah kehidupan. Sebuah jalan yang memang bukan sekelip mata dan memerlukan segenap kekuatan yang ada dan pengorbanan dari sudut rasa, airmata, malu, harta bahkan nyawa.

(وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ)
[Surat Al-Ankaboot : 69]

Percayalah, dia akan tunjukkan jalan. Tapi persoalannya, sediakah kita untuk bergembira, berduka dan berkorban untuk jalan yang akan Allah tunjukkan itu?

1 ulasan:

  1. من الصفوة أقوام مذ تيقظوا ما ناموا ، ومذ سلكوا ما وقفوا ،فهمهم صعود وترق ،كلما عبروا مقاما إلى مقام رأوا نقص ما كانوا فيه .. فاستغفروا

    ابن قيم الجوزية

    --

    Di antara orang-orang pilihan itu terdapat mereka yang sejak bangun tidak pernah tidur, dan sejak berjalan tidak pernah berhenti

    Tekad mereka sentiasa meninggi dan kemahuan mereka adalah untuk meningkatkan diri

    Setiap kali mereka melewati satu fasa ke satu fasa kehidupan yang lain, mereka melihat kekurangan yang ada dalam diri

    Kemudian, mereka beristighfar, memohon ampun dari Ilahi

    - Imam Ibnu Qayyim Al-Jauzi -

    BalasPadam