Jumaat, 9 Januari 2015

Sememangnya begitu!


Fokus
"(Diperintahkan dengan yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya..."

(Q.S al-Ahzab:4)

Ada masa kita buntu untuk mencari fokus. Terutama ketika belajar. Kita makruf, masalah utama pelajar selain tidak menyiapkan kerja sekolah adalah fokus ketika guru mengajar. Kebanyakan mereka lebih mudah diganggu konsentrasinya dengan perkara yang diminatinya dan kebanyakan minatnya adalah suatu yang remeh!

Minat
Diciptakan manusia itu  dengan minat dan kecenderungan masing-masing. Ada yang meminati irama dan lagu atau mungkin tinta dan kalam. Ada yang lebih teliti dan mengkaji atau mungkin dengar dan turuti. Semua berhak atas minat dan kecenderungan masing-masing. Semua lebih arif dengan rasa-rasa jiwa. Rasa-rasa idea.

Dan diciptakan juga manusia itu terbentuk dengan minatnya. Jika minatnya suka memasak, kebiasaannya dia mungkin suka  melihat rancangan masakan di televisyen. Atau bagi mereka yang suka memasak dengan cara sendiri merupakan seorang yang berani mencuba. Ada juga yang tahu masakannya tidak sedap, dia tidak mahu belajar untuk memperbetulkannya kerana masakannya tetap akan habis ( kerana makanan hari itu dimasak dengan kadar yang sedikit dan hanya itu yang boleh dimakan dirumah). Mungkin orang begini adalah seorang yang tidak kisah dengan kualiti makanan yang masuk ke dalam perutnya. Apa yang penting, sudah makan, maka sudah kenyang.

Itu baharu bab memasak.

Bagaimana jika minat kita bercanggah dengan tanggungjawab atau tugas kita ketika itu. Sebagai contoh, minat kita memasak tetapi kita ditugaskan untuk mengelap tingkap rumah. Jika kita seorang yang suka mengemas, mungkin itu suatu yang mudah dan ringan. Namun, jika sebaliknya, maka sudah tentulah mengelap tingkap (semudah-mudah perkara bagi orang yang rajin mengemas tadi) menjadi satu perkara yang bertingkat-tingkat keberatan dan kesusahannya!

Mana mungkin kita dapat mengelap tingkap dalam keadaan kita membencinya. Mana mungkin kita bersungguh-sungguh dalam melakukannya tanpa kita fokus untuk melakukannya! Mana mungkin!

Sudut pandang mukmin
“Sesungguhnya Allah mencintai seorang hamba yang apabila ia bekerja, ia menyempurnakan pekerjaannya”
(H.R Tabrani)

Nah, ini jawabannya. Betapupun kita membenci suatu pekerjaan, kita punyai rujukan. Suka benci kita berlandaskan suka dan benci Allah pada apa yang dilakukan makhluknya. Suka benci kita bersumberkan apa yang digariskan Al-Quran dan  As-Sunnah. Maka, walau setinggi mana kebencian kita pada suatu perkara, kalau digalakkan agama, maka kita perlu suka dan lakukan.Walau setinggi mana suka kita kepada suatu  perkara, tapi  diharamkan agama, maka  wajib kita tinggalkan.
Itu sudut pandang manusia bertuhan! Hakikatnya  hanya Allah Tuhan kita.

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?"
(Q.S Ar - Rahman: 16)

Bermakna, minat benci kita, sudut dan ukuran kebebasan dalam memilih adalah syariat itu sendiri. Jika dibenarkan syarak, maka lakukanlah dengan sehabis baik. Jika ditegah syarak, maka tinggalkanlah dengan sehabis mujahadah yang ada.

Pelbagai hati, pelbagai minat, pelbagai rasa
"Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)"
(Q.S Al-Mulk:2)

Sudah semestinya kita teruji dengan kepelbagaian perangai  manusia kerana adakalanya yang bercanggah dengan perangai dan sikap kita. Tapi sampai bila ujian ini mampu kita atasi? Sehingga kita mengotakan ' sebaik-baik ukhuwah adalah itsar, selemah-lemahnya adalah berlapang dada'! 

Saya bercakap mengenai prinsip pergaulan sesama mukmin, bukan prinsip dengan yang berlainan aqidah!

Limitasi sabar
Apabila diketengahkan usul sabar, kita letakkan aqidah dan akhlak sebagai limitasi. Kalau lah perangai bakal merosakkan aqidah dan akhlak, maka wajib kita amar makruf nahi mungkar. Kerana ukhuwah islamiyyah bukan ukhuwah geli-geli. Ukhuwah islamiyyah bukan ukhuwah usap belai nasihat bisik-bisik semata. Kalau begitu kita seolah-olah tidak percaya dengan kisah Rasulullah pernah menegur Abu Dzar yang memanggil Bilal dengan panggilan 'anak hitam' ketikamana baginda dengan telus dihadapan Abu Dzar mengatakan masih ada jahiliyah dalam diri Abu Dzar.

Namun, mukmin itu perlu senantiasa mencari jalan yang terbaik dan berkesan untuk menegur. Orang yang ditegur pula anggaplah teguran itu sebagai rasa sayang ukhuwah islamiyyah walau bagaimana caranya. Seorang yang berjiwa besar, adalah seorang yang sedia dibentuk dan membentuk tarbiyyah Islamiyyah. 

"Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (menentang musuh)"
(Q.S Al-Muddathir:7)

Musuh terbesar adalah nafsu ammarah dan ego sendiri.

"Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar"
(Q.S Al Asr:3)

Maka, tiada limitasi sabar dalam berpesan-pesan dengan kebenaran. Samada kita yang memberi atau kita diberi nasihat.

Tebaran cinta
"Ambillah cintamu dilangit, dan tebarkanlah dibumi".  Begitu kata Salim A. Fillah dalam bukunya Dalam Dekapan Ukhuwah sebagai interpretasi kepada sebuah hadis riwayat Imam At-Tabrani;

"Kasihilah makhluk di bumi, maka engkau dikasihi yang di langit"

Buruk baik hubungan kita dengan manusia, maka muhasabahlah hubungan kita dengan Allah. Hitunglah mutabaah amal seharian kita dihujung usia (sebelum tidur).

Ya, sememangnya begitulah!

*Let's walk the talk T.T

Tiada ulasan:

Catat Ulasan