Rabu, 10 Oktober 2012

Akhawat dan ...


Inilah fikrah saya mengenai akhawat sebenar selama saya hidup didunia ini. Inilah gambaran akhawat yang saya impikan untuk ditemukan dengannya. Inilah...

Akhawat dan tujuan hidup

Akhawat sedar tujuan hidupnya hanya satu; beribadah kepada Allah. Akhawat sedar akan perlunya kepelbagaian niat tapi tujuannya tetap kepada Yang Maha Satu; supaya akhawat dapat melakukan lebih banyak kebaikan. Akhawat sedar hidupnya harus penuh dengan agenda yang mengangkat Islam suatu hari nanti. Jadi akhawat akan menyusun tarbiyyah hidupnya daripada peringkat fardi sehinggalah ustaziyatul 'alam.   Bagi mencapai tujuan tersebut,akhawat tidak menghabiskan masa-masanya yang berbaki dengan perkara sia-sia. Malah setiap amalan yang dpat mendekatkan dirinya kepada Allah ; solat di awal waktu, solat-solat sunat, mengeratkan silaturrahim dan sebagainya akan cuba dipraktikkan dengan hati yang ikhlas dan akan cuba disempurnakan dengan sebaik mungkin.

Akhawat dan masa

Saya melihat nilai disiplin akhawat itu haruslah tinggi. Hal ini kerana akhawat akan mempunyai pelbagai tanggungjawab suatu hari nanti; sebagai hamba,anak,pelajar,isteri,ibu, dan pekerja. Akhawat dan masa adalah dua kalimah yang senantiasa berkejaran saban hari di alam realiti bukan fantasi namun setiap perlumbaannnya membawa hasil yang lumayan dan amal yang sempurna. Perlumbaannya dengan masa langsung tidak membawa kepada pergaduhannya dengan manusia. Disinilah terlihat sinar keindahannya.

Akhawat dan manusia (i)

Golongan manusia pertama semestinya saya maksudkan dengan ibu bapa,keluarga dan jiran tetangga. Akhawat haruslah menghormati mereka dengan penghormatan dan ketaatan yang mengikut syarak. Begitu juga para tetamu. Layanan dan haknya haruslah dicukupkan semampu yang mampu.

Akhawat dan manusia (ii)

Ada istimewanya saya melihat kepada golongan kedua ini; akhawat dengan sahabat. Riang sahabat dirai, sedih sahabat dibantu, tangan yang tak putus-putus menghulurkan salam perkenalan dan yang sentiasa menghulurkan bantuan walaupun dalam sekecil-kecil perkara, lidah yang basah dengan nasihat dan ma'thurat membina, hati yang jernih dari zon dan wasangka.

Akhawat dan manusia (iii)

Golongan ketiga ini saya tujukan buat para ajnabi bagi akhawat. Saya melihat pentingnya untuk akhawat menjaga tatasusila dan ikhtilat ketika berkeperluan sahaja. Janganlah akhawat menjadikan mereka sebagai tajuk-tajuk utama di dada akhbar hati serta pita lidah kita sebaliknya gantikanlah ia dengan zikrullah. Janganlah pula dengan kalimah menjaga ikhtilat, akhawat langsung khazal (malu tidak bertempat) sehingga tiada yang terkehadapan dalam perbincangan-perbincangan ilmiah. Kemudian berbicara tentang ini dan itu mengenai ajnabi bila sudah di belakang majlis ilmu.

Akhawat dan ilmu

Akhawat melihat ilmu sebagai wadah yang paling besar untuk mencapai cita-cita Islam. Makanya, akhawat tidak pernah jemu untuk menuntut ilmu; daripada ilmu agama, ilmu jurusan pilihan sehinggalah ilmu rumah tangga yang harus dititikberatkan oleh insan bergelar wanita. Ilmu ini mestilah diamalkan mengikut syarak agar usaha-usaha penuntutan ilmu tidak sia-sia.

Akhawat dan khilaf

Akhawat tidak memandang khilaf sebagai titik perenggangan silaturrahim bahkan itulah yang merapatkan mereka kerana terhasilnya ilmu-ilmu dan pendapat-pendapat yang baru. Setinggi-tinggi nilai ukhuwah pada sangka baik dan selemah-lemahnya adalah dengan berlapang dada. Atas dasar ukhuwah fillah, saya yakin insyaAllah akan terlerai segala susah.

Saya dan akhawat

Saya berasa malu bila dengar kalimah akhawat dituturkan kerana saya bukanlah akhawat sejati ( yang menepati ciri-ciri akhawat sebenar). Namun saya mengambil kesempatan ini untuk menulis agar ia menjadi peringatan bersama dalam pada itu menguatkan lagi motivasi kita untuk menuju ke arah yang lebih baik. Penulisan ini hanyalah sekadar perkongsian pendapat. Jika ada sebarang pertambahan dan komen, jangan segan silu untuk mengomen.

ni3ma ajrul 3amilin :)
Wassalam

1 ulasan:

  1. selamat menjadi akhawat sejati. Akhawat sejati xsemestinya dikenal orang banyak, xsemestinya diangkat di depan khalayak, xsemestinya berdetum-detam ucapan2nya. Akhawat sejati namanya dikenal penduduk langit, disayangi penduduk bumi. Moga maya dapat menggencarkan amal di mesir =)

    BalasPadam