Rabu, 15 Mei 2013

Ahmad (1)


Ahmad mengintai-intai dari balik pintu.

"Ahmad!"

'O' oooo, habislah aku...'

"Ahmad, mari sini lah! Cikgu nak tanya ni. Ahmad Syukur bin Mohd Syakir!!! "

Suara keramat Cikgu Bahar bergema. Satu kelas diam. Satu kelas menoleh ke kiri dan ke kanan.

Mana Ahmad?!

"Cikgu, Ahmad ada kat luar ni. Dia menyoghok tak nak masuk kelas", Aliah yang pelat 'R' membongkar rahsia.

'Perempuan tak guna!', Ahmad mendengus. Kakinya melangkah masuk ke kelas dengan langkahan yang paling kecil. Kasutnya basah,kotor, dan...

Dia sudah berada dihadapan meja cikgu.

"Kenapa lewat?"

Tiada jawapan. 

'Pap!', selibas rotan mengenai punggung Ahmad.

Cikgu Bahar memandang Ahmad dari atas ke bawah. Pandangannya tajam. Misainya iras Sarjan Misai dalam Filem Gerak Khas. Dia mendengus.

"Kenapa kasut kotor?"

Sekali lagi tiada jawapan dan diiringi lagi dengan libasan. Ahmad hanya menahan. Bibirnya digetap kemas.

"Mana kerja sekolah?"

Ahmad segera mengambil buku dari beg sandangnya dan diserah kepada Cikgu Bahar dengan penuh harap. Harapan untuk diterima.

"Kenapa lambat hantar?"

Pap! Itu sebatan terakhir. Namun cukup membuatkan punggung Ahmad berdenyut-denyut. Boleh jadi juga berbekas. Semua pelajar Tingkatan 2 Kenanga ternganga. Kaget. Sayu. Apatah lagi Alia yang penuh dengan rasa serba salah. 

Ahmad menahan air mata dari balik kelopaknya. Tamat sahaja waktu madah Matematik, Ahmad segera ke tandas.

Ketika itu tiada seorang pun disitu. hanya Ahmad dan lantunan wajahnya di cermin muka. Ahmad membasuh muka. Dia memandang tepat ke cermin dihadapannya.

'Berkat. Berkat. Berkat', sambil itu dia mengurut-urut dadanya.

**********
Hari-hari dalam celikku,
Masih ada yang berjaga,
Mencari uang,
Memberi nafkah,
Cabuk yang boleh diganti,
Kotor yang boleh dibasuh,
Sakit juga boleh diubat,
Namun,
Sayang jangan dibiar hilang,
Cinta biar bertunjang,
Sampai masanya ia akan mekar...

Ahmad tersedu. Sujudnya lama. Sujud taubat yang penuh dengan kalimah 'mengapa?'. Usai salam, semuanya hilang. Tasyahhud menjawab segala persoalan hidupnya.

' Aku memang dilahirkan untuk ujian ini. Susah itu tuah! '

**********
Bilik guru hari itu heboh dengan cerita pelajar mereka ditimpa kemalangan dengan motor semalam.

"Mujurlah dia selamat. Patutlah semalam saya jaga pagar nampak dia compang-camping.", Mak Cik Piah menghangatkan suasana pagi di bilik guru. Dia berkerja sebagai pegawai keselamatan di sekolah itu.

Cikgu Borhan mendengar dari jauh. Telinganya bergerak-gerak. Segera dia menadah telinga untuk turut mendengar cerita Mak Cik Piah.

'Allah...'

***********

"Saudara-saudari sekalian, dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan Majlis Hari Guru peringkat sekolah. Sekian, terima kasih"

Perasmian Hari Guru dirai dengan gamat tepukan dari semua yang hadir. Sambutan Hari Guru kali ini punyai sedikit kelainan. Terdapat beberapa pertandingan yang disediakan seperti Teka Silang Kata, Nasyid dan Sajak. 

"Baiklah, sekarang kita jemput peserta sajak terakhir untuk mempersembahkan sajaknya. Dijemput, Ahmad Syukur bin Mohd Syakir dari 2 Kenanga untuk naik ke pentas", celoteh Pengerusi Majlis menggamatkan suasana.

Ahmad berdiri tegak. Dia berasa canggung sekali namun diberanikan. Ada satu semangat yang menghembus di telinganya. Matanya meliar mencari seseorang. Dia tidak jumpa. Matanya mulai berair. Dia tabahkan juga.

Dia mulakan juga.

'Allahumma fasyhad!'

bersambung...

1 ulasan: