Manusia
Satu nikmat yang menjadi tarikan buat kita. Satu makhluk
yang bernyawa dan punyai paras rupa. ‘Seekor haiwan yang mampu berkata-kata’
dan mampu me ‘rasa-rasa’. Namanya manusia. Ya, kita menjadi tarikan buat diri
kita sendiri! Sepatutnya begitu!
“Dan juga pada diri-diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu
tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil bukti itu)?”
[Q.S Adz-Dzariyat:21]
Satu kelebihan yang perlu kita titik beratkan adalah,
kebolehan ikut rasa.
Deria
Nikmat deria yang dikurniakan Allah s.w.t kepada hambaNya
merupakan satu lagi nikmat yang tidak patut dikufuri. Kita punyai deria
penglihatan, pendengaran, hidu dan rasa. Tidak kiralah deria rasa lidah mahupun
deria perasaan.
Perasaan, satu perkara yang subjektif untuk setiap manusia. Kita
pilih satu saja perasaan sebagai contoh. Malas. Ada manusia merasakan bahawa malas
itu hanya pada tulisan buruk. Atau mungkin juga malas membuat pekerjaan rumah
seperti menyapu rumah, membasuh pakaian dan mengemas bilik tidur. Boleh jadi
definisi malas bagi sesetengah yang lain pula dengan melihat saja kepada
pemakaian seseorang itu. Bagi manusia yang sudah terbiasa dengan ketidak
kemasan sesuatu perkara, maka ketidak kemasan itu bukan suatu kemalasan! Seperti
saya katakana tadi, ianya subjektif. Tiada skema jawapan yang tepat pada tangan
manusia.
Begitu juga bagi sesetengah pihak, menyamakan situasi di
atas dengan situasi memilih kehidupan. Kebaikan dan keburukan itu subjektif,
bagi mereka. Itu atas pilihan skema subjektif masing-masing. Ikut rasa mereka
mahu yang mana!
Ilham
“Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang
membawanya kepada kejahatan, dan membawanya kepada bertaqwa”
[Q.S Asy-Syams: 8]
Ya, Allah mengilhamkan kita dengan hanya dua pilihan. Kebaikan
atau keburukan. Jika kita tidak memilih kebaikan bermakna kita adalah pemilih
kejahatan. Jika kita tidak memilih keimanan bermakna kita telah memilih
kejahiliyahan. Tiada jalan tengah.
Maka, skema jawapan hanya ada pada skema Islam. Skema jawapan
hanya merujuk kepada skema Allah, Pencipta alam.
Hidayah
Akhawati, hidayah yang kita miliki hari ini belum tentu kita
miliki selamanya. Boleh jadi kita karam diuji tembakan ujian yang bertubi-tubi.
Boleh jadi kita berlama-lamaan dalam futur yang dihias seperti yang disebut
dalam Muntalaq karangan Abu ‘Ammar. Boleh jadi juga kita menjadi manusia yang
hidup hanya untuk dirinya.
Akhawati, sengaja saya bawakan kembali penulisan kali ini
dengan hakikat-hakikat yang pernah kita telan di awal-awal kita lalui
pentarbiyahan ini bersama. Hakikat kesukaran dalam memilih kebaikan. Hakikat kepayahan
kita mengikis jahiliyah. Langkauan masa yang panjang untuk kita kembali
renungkan kerana hakikat menyucikan diri dari karat-karat dunia yang pada
hakikatnya juga masih ada sela-sela masa kita dihinggapi jahilyah itu kembali.
Masa
Sengaja saya bawakan kita mungkin beberapa tahun ke
belakang. Atau mungkin beberapa hari yang lepas supaya kita kembali menyusun
jalan meneruskan hari esok dan masa akan datang. Sengaja juga saya bawakan
kembali kepada fitrah-fitrah yang memanggil kita untuk kekal sebagai saf
hadapan perjuangan ini supaya kita kenang masa-masa sukar dan bersykur pada
sela-sela kesenangan.
Apa tujuannya?
Supaya betapa manisnya mujahadah-mujahadah yang kita
kerahkan turut dirasai manisnya oleh manusia sekelilingnya. Supaya haruman
hasil pentarbiyyahan islamiyyah yang semerbak harumnya ini memenuhi dunia.
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataan daripada orang yang
menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri
mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari
orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)”
[Q.S Fussilat:33]
“Masa itu perawatan”
Ungkapan yang biasa kita tuturkan. Namun, sejauh mana kita
hayati?
Menurut pengarang Jalan Menuju Hati, ungkapan ini memaknakan
bahawa setiap masa kita adalah dipenuhi dengan suatu yang bermanfaat buat umat
ini. Sehari hari kita, bermakna setahun umur umat! Sehari kita berdiam-diam,
maka setahun pula lah ummat ini tertidur! Siapa lagi yang bakal mengejutkan
mereka?
Orang – orang
Kerana kita juga manusia,bukan orang-orang. Tidak dinafikan
adanya perasaan sakit ketika bertemu dengan manusia. Mungkin sakit kerana kita
bukanlah seorang yang pandai menyapa, tetapi tarbiyyah mengerah kita lakukan
itu. Atau mungkin tidak tahu cara terbaik untuk menegur, tetapi kesedaran
memaksa kita lakukan itu.
“ Orang Muslim yang apabila bercampur dengan manusia dan
sabar atas penderitaan yang dilakukan mereka lebih baik daripada orang muslim
yang tidak bercampur dengan manusia dan tidak sabar atas penderitaan yang
dilakukan mereka (kepadanya)”
[Hadis Riwayat Tirmizi]
Maka, untuk Tuhanmu, bersabarlah!
Senyum
Musim tawaquf bukan bermakna kita berhenti dari
segala-galanya. Bukan bermakna kita berhenti merekod mutabaah amal. Bukan juga
menghalalkan kita menyendiri dan tidak menyapa manusia. Tetapi musim inilah
yang menguji keteguhan kita pada tarbiyyah yang kita jalani. Hanya kita dan
Allah yang mengetahui mengenai kebenaran dan kejujuran kita terhadap risalah
ini.
Satu wajibat musim tawaquf yang cukup menarik untuk
dipraktikkan!
“Senyum manismu dihadapan saudaramu adalah sedeqah”
[Hadis Riwayat Tirmidzi]
Akhir kalam,
Fa nikma ajrun ‘amilin!
“Serta mereka berkata; “Segala puji tertentu bagi Allah yang
telah menepati janjinya kepada kami, dan yang menjadikan kami mewarisi bumi
Syurga ini di mana kami sukai; maka pemberian yang demikian ialah sebaik-baik
balasan bagi orang-orang yang beramal”
[Q.S Az-Zumar:74]
p/s: peringatan ini untuk diri sendiri
Tiada ulasan:
Catat Ulasan