Selasa, 25 Disember 2012

Matin (Mulakanlah)

Angin musim sejuk sudah mula bertiup menggigilkan pelajar-pelajar baru dari luar negara Mesir. Suasana jalanraya di kawasan 'Asyir,Kaherah sangat harmoni setiap pagi,tiada beza dengan kawasan lain di Kaherah. Suasana pagi yang bingit dengan bunyi hon dari kenderaan-kenderaan awam dan manusia yang mengambil langkah berani melintas jalan.

Suq sayyarat, satu kawasan lapang yang terdapat di 'Asyir dipenuhi kabus pada setiap pagi musim sejuk. Kabus itu mula menghilang bila jam sudah menunjukkan pukul 7 pagi. Tapi suhunya tetap membuatkan para pendatang baru Mesir mengetap bibir setiap kali mereka merentasi suq sayyarat. Tidak jauh dari suq sayyarat, terdapat kompleks perumahan pelajar Malaysia. Disitulah terletaknya Rumah Anak Negeri seperti Selangor, Pahang, Terengganu, Sarawak dan Kedah. Suq sayyarat jugalah yang menjadi antara laluan utama pelajar yang tinggal di rumah negeri untuk mengambil tremco di jalan besar selepas suq sayyarat untuk ke kuliah.

Pagi itu,Nur Matin merentasi suq sayyarat dengan sehelai baju kurung biru tua dan berjaketkan jaket hitam tertera nama sekolah Akademi Ikatan Muslimin (AIM) diikuti dengan slogan "Membina Mahasiswa Beragenda". Mulutnya terkumat-kamit melafazkan doa-doa ma'thurat. Sambil berjalan, dia meletakkan sepenuh tawakkal kepada Allah.

Perjalanannya ke kuliah lancar setiap hari. Cuma kadang-kadang ada hari yang tiada tremco  yang menuju ke kuliah Al-Azhar Lilbanat di Sabi'. Tapi pagi itu, semuanya berjalan dengan baik. Alhamdulillah.

Selepas tamat waktu kuliah pada jam 12 tengah hari, Matin segera pulang ke rumah negeri Pahang, tempat tinggal pertamanya di Mesir. Hari itu hari Isnin, hari dia ditugaskan untuk memasak. Sebelum sampai di rumah, dia akan memilih untuk melalui kawasan bawabat kerana di situ terdapat gerai dan kedai-kedai yang menjual barangan dan keperluan memasak. Biasanya di pintu bawabat, Matin akan membeli buah-buahan. Di bawabah thani, terdapat kedai ikan, roti, ayam dan kedai makan. Manakala di bawabah thalith,terdapat kedai runcit yang menjual barangan seperti mi spagetti, minyak masak dan lain-lain.

Hari itu dia mengidam untuk makan ikan masak asam pedas resepi neneknya. Setelah mendapatkan semua barang yang diperlukan, dia segera berjalan ke rumah.

*****
"Huih, alhamdulillah...memang koi teringin bebenor nak makan asam pedas kepala ikan boulty nih. Kau macam tahu-tahu je kan Matin?",Kak Hasnah bersuara.

Matin tersenyum sambil menyenduk nasi ke dalam dulang. Hari itu, semua ahli rumahnya berpuasa. Satu kelebihan memilih untuk masak pada hari Isnin adalah dapat menyediakan makanan buat orang yang berpuasa. Neneknya sering mengingatkan bahawa Nabi s.a.w ada bersabda;

“Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa (iftar), maka baginya (pemberi) pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikit pun pahala orang yang berpuasa tersebut” (Riwayat at-Tirmizi, Ibn Majah dan Ibn Hibban menilainya sahih).

"Bukan akak ke yang hantar mesej kat saya yang akak teringin nak makan asam pedas ni? Tapi memang kita ni sebenarnya ada chemist lah kak. Saya pun teringin, itu yang nak masak tu", Matin membalas pertanyaan Kak Hasnah, ahli baitnya.

"Ha, Hasnah. Kau jangan nak rasa special sangatlah sebab Matin masak apa yang kau nak. Minggu lepas dia pun masak apa yang aku memang dah lama nak makan, Kabab Mesir kot...", Kak Syahida pula bersuara. Kak Hasnah dan Kak Syahida merupakan pelajar tahun tiga Usuluddin di al-Azhar,manakala dua lagi ahli bait Matin merupakan pelajar tahun 4 syariah.

"Awak ni dah boleh kahwin la Matin...", Kak Hani yang sedang menuang air pula mengusik Matin.

Matin sekilas memandang Kak Hani. Dia senyum lagi.

"A'ah Matin...Ish awak tu dahla medic, pandai masak pulak tu...Takkan tak ada orang nak kan?"

"Hadza min fadhli rabbi. Untuk kahwin, belum lagi", Matin menjawab.

"Ha, Matin. Awak dah isi ke borang bait muslim? Kalau belum biar Kak Hasnah yang isikan"

"Aisy, akak ni. Saya baru hirup udara Mesir. Buat apa nak gopoh-gopoh. Ingat kahwin ni senang ke? Akak-akak dah sedia nak tanggung dosa anak-anak? Dah sedia lahirkan mujadid-mujadidah Islam? Dah-dah, daripada cerita bab kahwin, baik kita baca Falnabda bianfusina ni. Banyak yang Dr Majdi Hilali nak bagitahu kita tentang generasi yang menang."

Cerita tentang kahwin tertutup begitu sahaja. Masing-masing terketuk apabila ditanya tentang persediaan untuk melahirkan para mujadid dan mujadidah Islam. Matin pula terus mengambil sebuah buku nipis berwarna hijau pekat. Tajuk buku itu bakal mengetuk hati-hati yang alpa agar sedar tentang pentingnya untuk merubah diri. Maka marilah kita mulakan dengan diri kita!


Bersambung



Tiada ulasan:

Catat Ulasan