Selasa, 28 Mei 2013

Spirit


Pernah ia luntur,
Tak tahan jiwa menanggung,
Keperitan berjuang.

Hairan,
Kenapa kelunturannya,
Tak pernah buat ia habis?

Rupanya,
Ada yang menambah,
Setiap kali turun,
Ia bertambah kembali.

Mungkin benar,
Ini jalannya,
Mungkin benar,
Ini takdirNya.

Jangan berhenti,
Teruskan usaha,
Walau dimana kau berada.

Isnin, 27 Mei 2013

Renungilah


Renungilah,
Bola matanya masih berair,
Mungkin beza pada pupilnya,
Tapi,
Renungi saja,
Ada kasih yang tumpah padamu.

Angkat wajahmu,
Renungilah dia,
Pahalamu pasti berganda,
Renungilah,
Tiada salahnya,
Pahalamu masih belum cukup,
Rahmat Tuhanmu pasti melimpah,
Renungilah.

Renungilah,
Dia bukan hantu,
Atau senjata,
Dia tidak akan mengorek bola matamu,
Renungilah.

Rasailah,
Nilai ukhuwah itu,
Belajarlah,
Memberi dan menerima,
Kerana ada suatu masa nanti,
Kamu mampu menerima saja,
Atau,
Kamu wajib memberi saja,
Atau,
Kamu sudah tidak dapat berbuat apa-apa,
Kerana kamu sudah tidak didunia!



Ahad, 26 Mei 2013

Cuci


Entah, yang pasti aku terkesan. Ya Allah, izinkan aku menulis dari dasar hati ini.

Banyak

Indahnya dunia ini sehingga kita dikaburkan dengan indahnya perkara yang busuk. 

Boleh jadi. Banyak saja. Tiada yang mustahil.

Ya, kita mudah terasa indah dengan ego yang kita miliki. Kononnya orang tidak boleh mencalari kita dan prinsip kita. Kononnya kita punya maruah. Barangsiapa yang melakukan perkara yang mencalari diri kita maka dia adalah orang yang hina.

Oh,'MULIA' nya kita!

Perasaan

Aku, kamu dan dia, semua pun punya rasa. Punyai prinsip dan juga maruah. Namun, bagaimana mungkin selama kita bersama kita boleh memastikan tiada yang terguris rasa, terlanjur kata dan terlebih guraunya?

Tiada! 

Mustahil!

Iman dan waras akal

Boleh jadi, kita memilih tindakan yang salah kerana meletakkan sangkaan yang salah. Jadi disitulah peran iman dan akal mula bertindak.

Diriwayatkan dari Abu Abdillah An-Nu’man bin Basyir radhiyallahu’anhuma, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa alihi wa sallambersabda, “Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan perkara yang haram juga jelas. Dan di antara keduanya terdapat hal-hal yang samar dan meragukan. Banyak orang yang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga dirinya dari hal-hal yang samar dan meragukan itu maka niscaya akan terpelihara agama dan harga dirinya. Dan barangsiapa yang nekad menerjang hal-hal yang samar dan meragukan itu maka dia terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Sebagaimana halnya seorang penggembala yang menggembalakan hewannya di sekitar daerah larangan, hampir-hampir saja dia memasukinya. Ingatlah, sesungguhnya di dalam tubuh terdapat segumpal daging. Apabila daging itu baik maka baiklah seluruh anggota badan. Dan apabila ia rusak, maka rusaklah seluruh anggota badan. Ketahuilah segumpal daging itu adalah jantung.” (HR. Bukhari [52] dan Muslim [1599]).

Akal itu terletak pada hati. Jadi, tindakan yang manakah lebih waras. Tindakan tatkala hatinya sakit atau sihat? Imannya naik atau turun?

Tindakan

Bagaimana mahu meneliti perkara ini? Bagi saya, mudah saja. Kalau ia sampai merosakkan suasana, itu tindakan tidak baik. Kalau ia mengeruhkan lagi keadaan, itu tidak baik.

Penyelesaiannya

Husnu dzon dan salamatus sadri

Bersangka baik dan berlapang dada. 

Dua perkara yang saya akui kepayahan dan kelelahannya. Tapi, kalau itu yang mampu merawat kita, itulah saja ubatnya.

Man tholaba  al akhar minal 'aibin fasoro lahu illa akhin

Kebersamaan

Aku tertanya-tanya, adakah masa yang aku habiskan untuk bertemu para sahabatku walaupun sesaat dapat menyuci hati ini dan hati mereka seperti mana bapa dan anak-anaknya (gambar diatas) bersama-sama mencuci teksi?

Adakah aku telah mengisi relung-relung hati mereka sepertimana mereka mengisi kekosongan hati aku?

Sebenarnya, salah pada kita. Lihat aibmu sebelum meneropong aib yang lain. Itu Muhammad Rasyid ajar dalam bukunya Kaifa tamtalikina fadhilatus sumt-bagaimana memiliki fadhilat-fadhilat diam.

Aku tak tahu nak cakap apa.

Aku terkena.

p/s: pengajaran hadis 6,kata-kata ayah dan buku Muhammad rasyid 'awid



Jumaat, 24 Mei 2013

Warna


Ukhti,
Berat alis mata,
Melihatmu menangis.

Pilu dan hiba,
Bukanlah aku penyembuhnya.

Mampu,
Untuk menyebut sahaja,
"Janganlah bersedih. Ambil masamu untuk berfikir",
Hakikatnya,
Kembali pada hakikat sebenar.

Ukhti,
Kita fakir,
Kita miskin,
Mintalah pada yang mahu memberi,
Sentiasa mahu,
Adukan pada yang mahu mendengar,
yang akan sentiasa memahami,
yang lebih memahami,
segala rasamu,
juga warna hidupmu.

Ar-Razak,
Aku tak malu meminta,
As-Sami',
Aku tak pernah malu mengadu,
Al-'Alim,
Aku tahu Engkau tahu,
Maha Tahu,
Tuntunlah aku,
Tunjukkan jalannya,
Hidup ini,
hanya untuk Kamu.


Khamis, 23 Mei 2013

Perawatan


Menjadi lebih baik,
Dengan masa,
Menjadi lebih bijak,
Dengan ilmu,
Menjadi lebih matang
Dengan keduanya.

Ketahuilah,
Perawatan itu,
Ada pada masa,
Pembaikan itu,
Bakal menyusul,
Bersabar.

Rabu, 22 Mei 2013

Puas

Puas,
Juhud terkuat,
Cubaan terbaik,
Dari sebelumnya,
Puas.

Ada yang betul,
Ada yang salah,
Puas.

Juhud sudah,
Cuma tinggal aplikasi sabar,
Tiadalah mahu,
Tergolong dalam kalangan yang;
Halu'a

Sabar,
Tiada rasa putus asa,
Berharap dan berdoa,
Perjuangan,
Masih ada saki bakinya.

Rantai dunia telah putus,
Jiwa telah merdeka,
Cinta sudah ke sana,
Tujuan semakin jelas,

Allahu ghayatuna!


Isnin, 20 Mei 2013

Binasakan


Kerana Allah,
Binasakan.

Kerana Allah,
Hentikan.

Kerana Allah,
Mudah lidah melentur niat,
Kerana Allah.

Terlalu ramai yang melihat fatamorgana,
Harapan palsu,
Tiada pasti,
Diusahakan untuk tetap memiliki,
Air dikantung sendiri,
Tidak terminum lagi,
Jauhnya mengejar,
Yang jauh.

Harapan palsu,
Impian tak pasti,
Sedangkan jalanku masih panjang,
Oh tinggi melangit,
Oh Tuhan,
Ajarku untuk fokus!


Ahad, 19 Mei 2013

Selamat duhai Sahabat =)


Kau tahu,
Suatu masa dulu,
Kita pernah berpimpin tangan,
Kau senyap saja,
Aku pula yang lebih dalam berkata-kata,
Boleh jadi ia berlalu,
Biarkan ia berlalu.

Kau ingat,
Waktu itu kita meterai,
Satu janji setia,
Mahu jadi sahabat sejati,
Selamanya,
Dalam doa.

Pastinya kau kenangkan,
Aku yang tak pandai menghargai,
Mungkin juga kau tidak kesah,
Kerana itulah aku,
Sudah terbiasa,
Sudah lali,
Dengan sikap yang sebegini.

Sehingga hari ini,
Baru sahaja aku pandai mengucap,
SELAMAT HARI LAHIR SAHABAT,
Kita kawan fillah selamanya,
Kita sahabat lillah hingga ke syurga,
Bukan?
Ya, selamanya hingga ke syurga,
Hanya kerana Dia.

dedicated for my special one;
NURUL HAFIZAH MOHD ZAID

even it was late
maalish
;-)

Sabtu, 18 Mei 2013

Ahmad (2)


"Apa kau kata? Anak yatim?"

Gedebush!

Faris jatuh. Bibirnya berdarah, pipinya lebam. Dia bangkit, tapi bukan untuk melawan.

"Haha, kau baru tahu? Ha? Baru tahu? Anak tunggal Dato' Syakir adalah anak pungut, kau tak tahu itu? Hahaha..."

Faris gelak terbahak-bahak.

"Kau tak rasa hairan ke? Nama kau, Ahmad Syukur bin Mohd Syakir kan? Dato' Syakir mana ada 'Mohd' kawan. Alahai, anak pungut. Tak sedar diri lagi ke? So, kau jangan haraplah yang Amanina akan suka pada kau lagi lepas dia tahu hal ini. Kau bukannya pewaris harta Dato' Syakir yang bongkak tu!"

Gedebush! Gedebush!

Tumbukan kali ini berkali-kali sehingga Faris tidak mampu untuk bangun. Tubuh Ahmad yang sasa walaupun baru Tingkatan Satu tidak mampu ditolak Faris.

"Kau ingat aku nak sangat Amanina? Aku banyak lagi benda nak fikir lah! Kau nak dia, kau ambil lah! Tapi jangan pernah hina ayah aku!"

"Aduh, tolong! Cikgu! Cikgu, tolong!"

Ahmad semakin tidak keruan. Dia menumbuk Faris seakan orang gila. Cikgu Bahar,Guru Disiplin SMK Lemak Manis, dan Cikgu Borhan datang meleraikan. Namun, kegilaan Ahmad tidak dapat dikawal.

"Ahmad! "

Pang!

Pelajar-pelajar mula memenuhi ruang. Ada juga yang menjulur kepala dari tingkap-tingkap kelas.

Apa dah berlaku?!

Ahmad berhenti. Darah mengalir dari hidungnya. Dia baru sedar. Tangannya masih tergenggam kemas. Urat lehernya juga masih tegang.

"Semua bersurai dalam kiraan tiga! Satu...."

Cikgu Bahar memberi arahan. Semua yang ada patuh. Sambil berlari mereka masuk ke kelas masing-masing.

Suasana belakang sekolah sunyi. Hanya ada suara unggas dan suara Faris yang mengaduh.

"Borhan, kau tolong aku bawakan Faris."

Cikgu Borhan membantu. Faris sempat menjeling sinis pada Ahmad sebelum dia pergi dari tempat itu dengan dipapah oleh Cikgu Borhan.

Tinggal lah Ahmad dan Cikgu Bahar. Unggas tiba-tiba berhenti berzikir. Angin pula yang menyanyi sepoi-sepoi bahasa.

Ahmad menyeka darah yang mengalir dari hidungnya. Mujur tidak banyak.

"Ahmad, kau kenapa?"

Ahmad diam.

"Kau ingat dengan cara macam itu masalah kau boleh selesai?"

Cikgu Bahar menolak Ahmad. Ahmad naik berang. Direnggut kolar leher Cikgu Bahar. Cikgu Bahar pula sedikit pun tidak terkejut dengan tindakan Ahmad malah menunggu genggaman tangan Ahmad singgah di tubuhnya. Mata Ahmad bulat, kemudian mengecil sedikit demi sedikit. Air mata mula berderai. Ahmad tunduk. Tangannya masih kemas memegang kolar baju Cikgu Bahar.

"Kenapa semua orang tak faham Ahmad? Kenapa?"

Cikgu Bahar senyap. Mahu semua perkara yang terbuku di hati Ahmad terungkap. Biar Ahmad rasa lega. Biar Ahmad rasa tenang. Biar Ahmad rasa, tidak semua orang yang yang tidak mahu memahami dirinya. Cuma hanya dia sahaja yang menyembunyikan.

Biar angin semilir membawa pergi segala keperitan yang Ahmad rasa. Biar Cikgu Bahar merasa segalanya. Biar Ahmad tahu, Allah tidak pernah meninggalkan dirinya.

"Ahmad anak orang kaya, tapi tidak bahagia. Ayah Ahmad orang tidak suka, tapi Ahmad tetap sayang dia.  Tiba-tiba, Faris kata Ahmad anak pungut. Apa semua ini?  Kenapa semua ini berlaku pada Ahmad? Mana Allah Yang Maha Adil?"

"Ahmad! Kau ada ibu, Alhamdulillah. Kau ada ayah, Alhamdulillah. Kau tidak cacat, Alhamdulillah. Kau nak apa lagi?"

"Ahmad nak bahagia macam orang lain yang ada keluarga. Ahmad dah tak tahan hidup dalam cemuhan orang "

"Ahmad, kau lahir dekat dunia ini, itu pun dah satu kebahagiaan. Pernah kau syukuri benda itu? Pernah kau hargai?"

Burung-burung berkicau di dahan tempat mereka bersandar. Burung-burung itu seakan membantu menjawab; 'Tak pernah, tak pernah'

"Semua orang Allah kurniakan nikmat bahagia yang berlainan. Cuma atas kita untuk meneliti dan mensyukuri setiap musibah,nikmat dan ujian yang menghujam kita."

Cikgu Bahar senyum. Ahmad senyap. Dia tidak pasti mahu mengakui atau menentang. Masih ragu-ragu.

"Ahmad..."

Cikgu Bahar memandang Ahmad yang turut bersandar pada sebatang pokok di belakang sekolah itu.

"Sungguh menakjubkan perihal orang mukmin kerana semua perkara yang menimpanya adalah kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan hanya kepada orang yang beriman. Apabila dia diberi nikmat lalu disyukurinya maka jadilah nikmat itu sebagai kebaikan baginya. Sebaliknya apabila dia diuji dengan musibah, maka dia bersabar lalu menjadikan pula musibah itu sebagai kebaikan baginya.”(1)

"Ahmad mesti orang kuat iman kan? A'ah, cikgu yakin saja dan cikgu nampak je lah Ahmad ni sebenarnya budak yang baik-baik."

Ahmad masih diam. Hatinya sedikit terubat.

"Jangan kembang sangat hidung tu Ahmad. Nanti malu cikgu nak jalan dengan kamu "

Cikgu Bahar berseloroh. Burung-burung tadi turut geli hati. Muka Ahmad merah menahan malu.

'Mana Cikgu tahu ni? Kembang sangat ke hidung aku?'


**********
'Macam manalah orang dulu-dulu boleh ada semangat macam ini eh? Haisy, tak faham aku. Nak tanya Cikgu Bahar, nanti dia tahu aku pinjam buku pustaka secara haram. Hurm...'

Ahmad ralit dengan soalan-soalan yang berada dikepalanya. Tiba-tiba...

Prang!

Bunyi pinggan pecah datang dari ruang makan banglo dua tingkat rumah itu.

"Kau masak makanan apa ini? Kau ingat aku kucing? Boleh terima semua makanan? 2 tahun aku kahwin dengan kau, kau masih masak makanan kampung ini?"

'2 tahun? Ayah, sejak bila ayah nyanyuk nih?'

Ahmad menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia hanya melihat drama pilu itu dari jauh. Dia nampak dan dia tahu, ibunya sedang mengutip makanan yang tumpah dan kaca yang pecah. Dia tidak berani masuk campur.

Dato' Syakir berlalu dari ruang makan. Dia masuk ke bilik dengan menutup pintu bilik sekuat halilintar. Datin Syamsiyyah menangis teresak-esak. Ahmad menghampiri dan membantu mengambil penyapu. Dia tidak mengeluarkan walau satu kalimah memandangkan ibunya yang turut senyap. Sebelum dia sampai ke ruang makan, Puan Syamsiyyah menyedarinya dan segera memberhentikan tangisan untuk menyembunyikan apa yang berlaku.

Setelah bersih, dia sempat bergurau dengan ibunya.

"Ibu, cuba ibu teka, siapa yang kita kena sayang tiga kali?"

"Erm, mesti tiga kali je ke? Siapa ya?"

"Kan Nabi s.a.w sebut; ibumu, ibumu, ibumu...(2) Mestilah jawapan dia ibu"

Ahmad mencium pipi ibunya kemudian meminta izin untuk masuk ke bilik. Puan Syamsiyyah mengiringinya dengan pandangan sayu dan terharu.

bersambung

rujukan:
(1): Hadis sahih riwayat Muslim no. 2999.
(2):
عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ :يَا رَسُوْلَ اللهِ، مَنْ أَحَقُّ النَّاسِ بِحُسْنِ صَحَابَتِي؟ قَالَ أُمُّكَ، قَالَ ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ أُمُّكَ، قَالَ ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ أُمُّكَ، قَالَ ثُمَّ مَنْ، قَالَ أَبُوْكَ
Dari Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, belia berkata, “Seseorang datang kepada Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, kepada siapakah aku harus berbakti pertama kali?’ Nabi shalallaahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Ibumu!’ Dan orang tersebut kembali bertanya, ‘Kemudian siapa lagi?’ Nabi shalallaahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Ibumu!’ Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi?’ Beliau menjawab, ‘Ibumu.’ Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi,’ Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Kemudian ayahmu.’”
(HR. Bukhari no. 5971 dan Muslim no. 2548)


Rabu, 15 Mei 2013

Ahmad (1)


Ahmad mengintai-intai dari balik pintu.

"Ahmad!"

'O' oooo, habislah aku...'

"Ahmad, mari sini lah! Cikgu nak tanya ni. Ahmad Syukur bin Mohd Syakir!!! "

Suara keramat Cikgu Bahar bergema. Satu kelas diam. Satu kelas menoleh ke kiri dan ke kanan.

Mana Ahmad?!

"Cikgu, Ahmad ada kat luar ni. Dia menyoghok tak nak masuk kelas", Aliah yang pelat 'R' membongkar rahsia.

'Perempuan tak guna!', Ahmad mendengus. Kakinya melangkah masuk ke kelas dengan langkahan yang paling kecil. Kasutnya basah,kotor, dan...

Dia sudah berada dihadapan meja cikgu.

"Kenapa lewat?"

Tiada jawapan. 

'Pap!', selibas rotan mengenai punggung Ahmad.

Cikgu Bahar memandang Ahmad dari atas ke bawah. Pandangannya tajam. Misainya iras Sarjan Misai dalam Filem Gerak Khas. Dia mendengus.

"Kenapa kasut kotor?"

Sekali lagi tiada jawapan dan diiringi lagi dengan libasan. Ahmad hanya menahan. Bibirnya digetap kemas.

"Mana kerja sekolah?"

Ahmad segera mengambil buku dari beg sandangnya dan diserah kepada Cikgu Bahar dengan penuh harap. Harapan untuk diterima.

"Kenapa lambat hantar?"

Pap! Itu sebatan terakhir. Namun cukup membuatkan punggung Ahmad berdenyut-denyut. Boleh jadi juga berbekas. Semua pelajar Tingkatan 2 Kenanga ternganga. Kaget. Sayu. Apatah lagi Alia yang penuh dengan rasa serba salah. 

Ahmad menahan air mata dari balik kelopaknya. Tamat sahaja waktu madah Matematik, Ahmad segera ke tandas.

Ketika itu tiada seorang pun disitu. hanya Ahmad dan lantunan wajahnya di cermin muka. Ahmad membasuh muka. Dia memandang tepat ke cermin dihadapannya.

'Berkat. Berkat. Berkat', sambil itu dia mengurut-urut dadanya.

**********
Hari-hari dalam celikku,
Masih ada yang berjaga,
Mencari uang,
Memberi nafkah,
Cabuk yang boleh diganti,
Kotor yang boleh dibasuh,
Sakit juga boleh diubat,
Namun,
Sayang jangan dibiar hilang,
Cinta biar bertunjang,
Sampai masanya ia akan mekar...

Ahmad tersedu. Sujudnya lama. Sujud taubat yang penuh dengan kalimah 'mengapa?'. Usai salam, semuanya hilang. Tasyahhud menjawab segala persoalan hidupnya.

' Aku memang dilahirkan untuk ujian ini. Susah itu tuah! '

**********
Bilik guru hari itu heboh dengan cerita pelajar mereka ditimpa kemalangan dengan motor semalam.

"Mujurlah dia selamat. Patutlah semalam saya jaga pagar nampak dia compang-camping.", Mak Cik Piah menghangatkan suasana pagi di bilik guru. Dia berkerja sebagai pegawai keselamatan di sekolah itu.

Cikgu Borhan mendengar dari jauh. Telinganya bergerak-gerak. Segera dia menadah telinga untuk turut mendengar cerita Mak Cik Piah.

'Allah...'

***********

"Saudara-saudari sekalian, dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan Majlis Hari Guru peringkat sekolah. Sekian, terima kasih"

Perasmian Hari Guru dirai dengan gamat tepukan dari semua yang hadir. Sambutan Hari Guru kali ini punyai sedikit kelainan. Terdapat beberapa pertandingan yang disediakan seperti Teka Silang Kata, Nasyid dan Sajak. 

"Baiklah, sekarang kita jemput peserta sajak terakhir untuk mempersembahkan sajaknya. Dijemput, Ahmad Syukur bin Mohd Syakir dari 2 Kenanga untuk naik ke pentas", celoteh Pengerusi Majlis menggamatkan suasana.

Ahmad berdiri tegak. Dia berasa canggung sekali namun diberanikan. Ada satu semangat yang menghembus di telinganya. Matanya meliar mencari seseorang. Dia tidak jumpa. Matanya mulai berair. Dia tabahkan juga.

Dia mulakan juga.

'Allahumma fasyhad!'

bersambung...

Jumaat, 10 Mei 2013

Qiamnya setiap hari



Aku teringat lembaran itu. Lembaran yang dipetik dan dikaji dari kitab-kitab sejarah lama. Lembaran yang mengkisahkan sebuah perjuangan seorang Muhammad; Muhammad Al-Fateh.

"Constantinople akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya (yang menakluk) adalah sebaik-baik raja dan tenteranya (yang menakluk) adalah sebaik-baik tentera."

Hadis yang diulangmainkan ditelinganya sejak dari kecil. 

Aku teringat tatkala buku itu melampirkan kisah pemilihan seorang imam. Syarat yang gagal oleh semua orang, "siapa yang sejak dia baligh tidak pernah meninggalkan tahajjud?"

Semua duduk. Tiada yang berdiri di situ kecuali dia; Muhammad Al-Fateh.

Justeru aku menyeru diriku dan dirimu, ayuh! Kita ramaikan generasi  seperti ini. Biar lambat, asal selamat, Islam berdaulat!