Selasa, 6 Oktober 2015

Jalan ini

Hening malam ini buat aku tertanya; percaturan apa yang sedang dipentaskan sekarang. Watak apa sepatutnya aku lakonkan. Mimik bagaimana yang harus terpapar di wajah ini.

Aku tangkas membetulkan persepsi.
"Perancanganku tak sehebat perancangan Tuhan. Perancanganku hanya lintasan masa depan yang gemilang yang menjadi keinginan dan citaku. Perancangan Tuhan pula mengandungi keluasan ilmuNya tentang masa depan yang bakal aku jalani. PerancanganNya penuh dengan kuasaNya untuk menentukan terjadinya sesuatu benda. PerancanganNya segala-galannya"

Kuselak minit dan masa-masa yang telah berlalu.
"Sepatutnya aku sudah mencapai ini. Tapi kerana itu, aku tak dapat mencapainya. Kerana itu dan ini, aku putus dari trek yang sepatutnya. Kerana kerana kerana..."

Alasan-alasan yang terikat dengan makhluk dicipta dan terus dicipta.

Apakah aku ingin menandingi kuasa Tuhan? Mendapatkan apa yang dimahukan, mesti dapat! Mesti juga buat!? Apakah sukar untuk aku hidup tanpa beralasan dan berjalan kembali tanpa dihantui apa yang telah ditakdir Tuhan?

Malam ini melayangkan aku pada jejak-jejak jatuh cinta pada tarbiyah semalam. Suka duka yang memeritkan pada awalnya menjadi sebuah ketenangan yang mententeramkan. Kefahaman akan sesuatu perkara dan kefahaman terhadap akhlak dan nilai mematangkan dan mengajar aku untuk terus belajar senyum. Belajar senyum.

Perjalanan dalam tarbiyyah banyak mengajarkan sabar buat manusia kelilingku. Persoalan 'kenapa begini kenapa begitu' sering menjengah tabir malam sebelum kunyenyak dalam lambungan. Ada persoalan yang dijawab, ada yang ditinggalkan. Kerana aku punya jawapan, jika aku beriman dengan jalan ini.

Tapi rupanya aku belum merasai keperitan dan peperangan sebenar.

Jalan tarbiyyah memang menyesakkan dada dan akal fikiran. Menidurkan mereka yang sudah kecewa dengan perubahan. Hanya yang sedar dan tekad mampu melaluinya.

Jalan tarbiyyah, bukan untuk nafsi-nafsi. Jalan ini akhirnya membawa untuk kita serahkan diri, jiwa, harta dan masa pada umat yang sedang bertatih mencari solusi hidup; Islam. Jalan ini akan membuatkan kau menangis kerana terpaksa meninggalkan jahiliyah dan keinginan terlarang. Jalan ini pasti buat kau rasa tak layak berjuang. Jalan ini perlu kau lalui dengan akhlak islami. Jalan ini buat kau terseksa menahan amarah atau sikap-sikap biasa kita yang tak berakhlak. Jalan ini pasti menghantui mimpi-mimpimu yang senantiasa enak sepatutnya.

Namun, ketahuilah. Jalan ini, penuh dengan ketenangan yang ampuh kerana pasak aqidahnya kukuh. Jalan ini, penuh dengan ketenteraman dengan kasih-sayang yang berbunga mekar. Jalan ini,  membuatkan kau berkerja dengan motivasi nikmat yang tak ada akhirnya; syurga. Jalan ini, membuatkan kau kenal erti bersaudara. Jalan ini, kalau dihinggap futur, kau dapati ramai yang menghulur tangan untuk membantu kau kembali pada landasan. Jalan ini, sentiasa menjadi hamba Allah yang segar dengan keazaman. Jalan ini, akan jadi kenangan-kenangan bermakna, walau suka dan duka, yang kau boleh abadikan sehingga bertemu Tuhan disyurga, jika kau setia. Jalan ini, seindah jalan taqwa.

Diriku,
Pengakhiran jalan ini hanya buat mereka yang berani melaluinya. Mahu syurgaNya. Dirasai bukan hanya dipandang dan dilihat dengan ekor mata. Ia dihayati bila kau benar-benar jujur dengan Allah, bahawa kau benar-benar serahkan kehidupanmu untuk-Nya.

"...sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku untuk Allah, Tuhan sekalian alam"

Duhai hati-hati yang inginkan ketenangan hakiki, percayalah. Jihad pertama adalah jihad meninggalkan nafsu jahiliyahmu. Kau takkan pernah mampu lakukan dengan dengan kedudukanmu yang masih ditakuk lama. Kau perlukan kesegaran baru yang sentiasa hidup dalam dunia tarbiyyah islamiyyah harakiyyah (didikan islam yang bergerak)! Kau tak mampu jika kau sendirian memikirkan kantung pahalamu. Kau takkan mampu jika kau melimitkan tugas khalifah hanya pada menyuruh kepada kebaikan, lantas kau melupakan pengingkaran terhadap kejahatan. Kau takkan mampu. Bila kau sendiri.