Sabtu, 21 Mac 2015

Dekat


Kehidupan yang diimpikan manusia adalah subjektif. Setiap manusia melalui pelbagai hikayat cerita yang menghias indah kehidupannya samada dengan warna hitam, biru, merah atau sebagainya.

Bagi saya kehidupan ini berjalan seiring dengan kehendak dan keinginan manusia itu sendiri. Cita-cita dan azam tidak boleh lari dari hakikat kehidupan. Jika ia hilang, maka hilanglah kehidupan dan hilanglah rasa kehidupan manusia sebenar.

Kita sering dijengah rasa puas, bosan, tidak suka, benci dan sebagainya. Pada hakikatnya, kehidupan yang dipenuhi rasa-rasa seperti inilah yang membantutkan kehidupan sebemar kita.

Tidak dinafikan, apa yang kita lalui mungkin datang dari kecuaian dan kelemahan kita dalam mengharungi kehidupan, namun bukan bermakna kita menghabiskan diri dengan berfikir dan meratap, "dimana silap kita, dimana silap kita?". Malah, rasa-rasa seperti ini jugalah yang membuatkan kita mati di tempat yang sama.

Jadi apa penyelesaiannya?

Jangan kita lupa, betapa banyak pun usaha dan semangat kita, akhirnya kepada Pemiliknya jua lah ia dikembalikan. Allah jualah segala kehendakNya dijalankan dengan sifat Maha Perkasa Nya. Jadi, tidak mustahillah jika nafasmu terhenti ditengah jalan, ia tak mampu disambung kembali dalam masa terdekat kerana penyambungan nafas hanya terletak pada Dia! Maka, kenapa masih bergantung kepada manusia yang sebenarnya bukan pemberi semangat dan dorongan sebenar?

"Dan sungguh, Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya"
(Q.S Qaf:16)

Dia tahu segala lintasan hatimu. Susah senangmu. Berat ringanmu. Tenang dan tekananmu. Dia tahu semuanya. Kembalikan segala pada dia. Berhenti bergantung pada manusia. Manusia, kosong. Tiada apa kecuali apa yang dikurnia saja. Itupun cuma pinjaman.

Rasailah kedekatanNya. Dia dekat, Dia dekat.