Isnin, 19 Jun 2017

Aku cuba


Dahulu aku punya cita,
Pada sebuah cinta.

Kata orang tuju ku 'cliche',
Namun itu hakikat,
Fitrah seorang aku,
Juga mereka yang berharap kehidupan akhir,
Setelah perit bergelumang noda dunia,
Kelalaian yang menipu.

Hampir kutemui hakikat itu di lorong sufi,
Tangisan yang sentiasa mengalir,
Rasa yang berbeza dengan yang lainnya.

Namun hakikat itu segera terpadam,
Terlalu pantas ia diambil,
Lalu aku tercari-cari,
Dimana Kau pergi?

Allah itu wujud,
Tiada had masa dan tempat bagi-Nya,
Aku kembali,
Mencari-Mu,
Akan ku cabut, 
Duri dunia yang menyakitiku,
Demi untuk-Mu.

Aku cuba.

Selasa, 2 Mei 2017

Di mana Dia?


Sebelum mata melihat dunia,
Nafas selang seli tarik hembusnya,
Tangisan ketakutan pada sumpah setia,
Hidup matiku untuk Tuhan; katanya.

Langkahan kecil menjadi laju,
Berlari dan melompat,
Syukur punya ayah dan ibu,
Keluarga, harta dan bahagia,
Rindu dan cinta,
Pada indah dunia,
Kemana pula aku letakkan Tuhan?
Dimana kesetiaan sumpah yang dilafazkan?

Sungguh pendusta,
Pendusta melafaz cinta pada Tuhannya,
Sedangkan dalam hatinya punya cinta selainNya,
Moga kita tidak bahagia dalam dosa,
Berasa-rasa diredhai sedang hati ralit dengan kemungkaran,
Allahumma tsabbitna 'ala dzikrik!

Kaherah,
2 Mei 2017

Khamis, 16 Februari 2017

Ahmad (5)


Namun suara ibunya yang serak - serak masih terngiang - ngiang di telinganya. Menyesal juga, akibat amarah dia sanggup memutuskan untuk tidak menelefon ibu bapanya lagi selama dua tahun. Mujur saja dia masih menghafal nombor telefon rumah.

Anehnya, kebiasaannya Dato' Syakir akan berada berdekatan dengan ibunya, dan dia berharap untuk mendengar suara bapanya itu, tetapi kali ini tidak. Mungkin ketika itu bapanya masih belum pulang dari kerja.

Sekali lagi, dia akur, tiada rezeki untuk dia berbual dengan ayahnya itu.

Petang itu, dia teringin sekali keluar bersama Adli, temannya yang telah dia kenal selama dua tahun. Rapat pun tidak, berenggang pun jarang. Adli, seorang yang tinggi lampai mengalahkan ketinggian Ahmad, menjadikan Ahmad sedikit takut dengan fizikal sahabatnya itu, namun tidak pernah dia selindungkan segala kekusutan yang dia alami selama ini. Adli, sangat memahami.

'Adli, jom berjimba esok. Jumaat full holiday, hehe...'

Mesej ditaip ringkas. kemudian disambut jawapan ringkas dari Adli;

'Jom! Subuh dekat masjid 'Ibad'

Keesokan harinya, usai solat Subuh berjemaah, Ahmad yang solat di saf belakang segera mendapatkan Adli yang berada di saf hadapan. Ahmad dan Adli bersalaman.

"Apalagi, jomlah!"

Mata Ahmad bersinar, tanda tidak sabar memulakan ekspedisi hari itu.

"Rilek dulu, brother. Kita baca zikir pagi sat, boleh?"

Ahmad akur, walaupun dia sudah lama meninggalkan amalan ibunya itu. Ya, juga akibat amarahnya. Dirasakan segala yang dilakukan ibunya itu menyakitkan jiwanya. Seluruh jiwa dan raganya!

Sekali dua tersalah juga turutan zikir Ma'thurat itu, namun ayat penuhnya masih lagi dia ingati. Ahmad membaca sambil memandang Adli. Adli tampak khusyu dan jauh ke dalam makna zikir. Matanya terkatup, bukan tidur. Namun alunan zikir Adli menandakan dia sedang ralit dalam maksud setiap zikir yang dilafazkan. Ahmad jadi malu, dia juga cuba menghayati satu persatu zikir itu.

Tiba masanya mereka berdua berkonvoi. Ahmad bersama motor Dayun nya, begitu juga Adli.
Seperti kebiasaan, apabila tiba giliran yang mengetuai ekspedisi motor itu, dia berhak menyatakan tempat tujuan mereka. Sebelum ini, giliran Ahmad dan halatuju mereka adalah Sungai Nil. Ahmad memenangi ekspedisi itu. Kali ini, giliran Adli pula, dan dalam fikiran Ahmad pasti Adli lah yang bakal memenangi ekspedisi kali ini.

"Ok, hari ni, aku lead. Siapa sampai Masjid Amru dulu, dia menang. Siapa kalah, kena denda... Kelajuan tak boleh lebih 100 ok? 1, 2, mula...."

"Oi, sabarlah. Aku tak tahu jalan! Tunggu lah aku..."
Ahmad menjerit tidak berpuas hati.

Adli meninggalkan saja Ahmad dengan selafaz ayat;
"falladzina jaahadu fiina lanahdiyannahum subulana!"
(Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami)


'Bapaklah...'
Keluh Ahmad. Adli sudah sayup meninggalkan Ahmad.

"Ah, pantang Ahmad berundur diri! Ini Ahmad lah! Anak Syakir!"

bersambung...

Jumaat, 13 Januari 2017

Semoga saya tidak cemburu


Alkisahnya gambar ini memberi pencetus mengapa tulisan ini ditulis. Sungguh benar kata Imam Syafei; “Jika kau tidak sanggup menahan lelahnya belajar, maka kau harus tanggung peritnya kebodohan”. Semoga selepas menulis anekdot ini saya lebih bersemangat menempuh hari – hari mendatang dengan penuh kerajinan.

Menjadi kesukaran buat orang 'sanguine' apabila menghadapi peperiksaan, dia terpaksa akur dengan satu perkara yang sangat dibencinya; jadual. 

Kalau tidak kerana perlu membuat target menghabiskan buku, pastinya tiada jadual yang spesifik untuk waktu belajar. Belajar bila sudah ada 'rasa'. Jangan tiru saya.

Selepas pusing - pusing, guling - guling, buku yang ditatap dari tadi tetap tidak menembus ke hati.

'Haih, ada benda tak kena ni!'

Lepas solat, baca Quran, selawat bagai, rasa itu masih belum ada. Stress!
Tapi saya perlu menghabiskan buku iniiiiii.

Last choice, mesej ayah. Saya dapat mengagak jawapan ayah saya; "baca ma'thurat pun malas lagi?!" 

Tapi kali ini aduan saya berbeza; 

Saya: Abi...Anyah asyik tidur saja
Abi: Ta'wiz banyak - banyak
Saya: Kenapa anyah malaaaaaas?
Abi: Allahumma inni a'udzubika minal hammi wal hazan wa a'udzubika minal 'ajzi wal kasal
Saya: Jelous tengok ahli beit semua boleh studyyyyyyy
Abi: Lawan malas

Berlalu beberapa masa, saya cuba lawan. Dengar lagu - lagu jihad. Kembali teransang nak bangun dan baca buku. 

Saya: Abi
Abi: Ya
Saya: Doakan anyah jadi syahidah
Abi: Sebelum syahid kena berbakti dulu. Bakti tertinggi boleh dapat mati syahid.

Saya tidak berpuas hati. Tersentap, tapi tak puas hati dengan jawapan tersebut. 

Ayah dan mak saya ajar supaya hidup biar berprinsip. Antara prinsip yang ditanam ialah 'Mati Syahid itu Cita Tertinggi kami'. Tetapi sekali lagi hasrat yang saya suarakan seakan ditegah. Ini bukan kali pertama saya diberi jawapan sebegini, sudah ke beberapa kali dan setiap kali mendapat jawapan ini saya memang tidak berpuas hati. Apabila ditanya kenapa, ayah dan mak saya tidak menjawab.

Saya menjauhkan diri dari handphone seketika. Kemudian saya buka semula mesej ayah saya. Ada sambungan;

" Orang yang nak dapat syahid tanpa bakti sebenarnya nak jalan pintas dan nak lari daripada masalah"

Kali ini saya betul - betul tersentap. Saya baring, saya fikir dalam - dalam. Benar, ayah dan mak saya tahu krisis dan cara fikir anaknya yang seorang ini. Terlintas beberapa kalam ayah dan mak saya sebelum - sebelum ini. Ia nampak berpisah - pisah tapi saya cuba cantumkan menjadi satu supaya dapat menyelesaikan sebuah prinsip yang 'sepatutnya' supaya saya tidak tersalah pegang prinsip.

(1)
"Abi tak mahu anak - anak abi pegang fikrah Islam yang ekstrim"
"Hehe, ekstrim? Contoh?"
"Tak boleh berkerja sebagai doktor sebab perempuan"

(2)
"Umi doalah anyah mumtaz, balik boleh beri something untuk masyarakat"
"eh, apa masyarakat. Ummi la dulu..."

Dengan dua peristiwa ini, saya masih belum dapat membuat sebuah konklusi sebenarnya. Azan asar sudah mula mahu dikumandangkan. Kedengaran suara pembesar suara di surau - surau terdekat sudah mula dibuka. Saya baring merenung syiling. 

'Tak aci...' keluh hati saya sambil terbayang beberapa tokoh yang telah syahid seperti Yahya Ayyash dan Shafiah.

Usai solat Asar, kami satu rumah baca ma'thurat. Sempat saya membelek buku tazkirah hari ini. Penawar Hati (Mukasyafatul Qulub) karangan Imam Al-Ghazali dengan tajuk Qana'ah benar -benar kena secara bertubi - tubi. Saya tidak dapat menahan kesedihan kelelahan mencari 'mood' belajar diselangi pula jawapan ayah saya begitu ditambah dengan isi tazkirah yang bakal saya sampaikan nanti selepas bacaan ma'thurat. Bacaan ma'thurat kali ini benar - benar menyentuh hati ketika mana doa sayyidul istighfar.

Doa selesai ma'thurat hari itu buat saya sebak.Terlafaz doa dari Surah Al-Hasyr ayat 10
وَالَّذِينَ جَاءُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلإخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالإيمَانِ وَلا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلا لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ (١٠)
10. Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Anshar), mereka berdoa[36], "Ya Tuhan Kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami[37], dan janganlah Engkau tanamkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami, sungguh, Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang." 

"Tazkirah hari ini buat ana ingat pada satu doa: Ya Allah janganlah engkau jadikan dunia ini humum (perhatian) terbesar kami.

Tajuk hari ini Qanaah. Merasa cukup dengan apa yang ada di tangan, tidak tamak dengan apa yang ada untuk hari esok. Hadis keempat dah sebut setiap dari kita ini telah ditetapkan rezekinya, ajalnya, kesukaran dan kebahagiaannya. Kita tidak akan mati selain mendapat segala apa yang dituliskan sebelum kelahiran kita kedunia ini. Jadi tidak sepatutnya kita risaukan apa yang kedepan sedangkan apa yang ditangan kita tidak kita usahakan. 

Qanaah juga ajar kita supaya buat sesuatu pada ketikanya, pada ukuran 'pinggangnya', pada waktunya. Bagaimana kita boleh solat tapi hati kita masih terpaut dengan dunia?"

Dalam hati saya terngiang - ngiang kata - kata yang saya buat sendiri; bagaimana saya boleh mahu mati (syahid di medan perang) sekarang sedangkan belajar pun saya malas? Seolah - olah angan -angan Mat Jenin. Berangan apa yang bakal dapat, tapi usahanya baru sahaja dipermulaan.

Selesai tazkirah, saya mencapai Quran. Aduh, terkena lagi!

“Sehingga apabila para Rasul tidak mempunyai harapan lagi (tentang keimanan mereka) dan telah meyakini bahwa mereka telah didustakan, datanglah kepada para Rasul itu pertolongan Kami, lalu diselamatkanlah orang-orang yang Kami kehendaki. Dan tidak dapat ditolak siksa Kami daripada orang-orang yang berdosa.” (QS. Yusuf: 110)

Apalah sangat usaha saya nak dibandingkan dengan usaha para anbiya' yang membuatkan saya rasa nak cepat rasa makbulnya doa dan tercapainya hasrat rajin belajar.

Baru dapat saya simpulkan segala yang saya terfikir hari ini. Buatlah sesuatu pada waktunya dengan bersungguh - sungguh dengan sepenuh kehendak dan mujahadah yang tidak kenal erti putus asa. Sampai saat itu, barulah pertolongan Allah akan tiba jika benar niat kita pada titik mulanya adalah untuk mendapat keredhaan Allah.

Adapun mengenai mati syahid, kerana itulah kalimahnya 'mati syahid cita tertinggi kami'. Cukup mudah untuk difahami sebenarnya. Jika ketika itulah medannya, maka berangkatlah. Jika medannya adalah ilmu, maka belajarlah!

Mereka sentiasa bersama kita walaupun kita berbeza medan selagi kita sama - sama nak tegakkan agama Allah. Sambil mereka berjuang menyelamatkan agama dan negara mereka, maka mari kita tegakkan agama dalam diri dan dalam negara kita. Segalanya bermula dari yang dekat terlebih dahulu dan yang lebih aula untuk menerimanya pada waktu itu; jiwa kita, keluarga kita, masyarakat kita dan seterusnya. 

Semoga doa ini mampu buat saya bersabar dan teruskan perjuangan saya di medan ini sambil mendengar cerita kalian duhai saudaraku di Syria, Palestin, Rohingnya dan seluruh negara Islam dan umat Islam yang sedang ditindas oleh kuffar. Semoga saya tidak cemburu...

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلإخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالإيمَانِ وَلا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلا لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ 
 "Ya Tuhan Kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami[37], dan janganlah Engkau tanamkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami, sungguh, Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang." 

MUMTAZ UNTUK UMMAH!

Isnin, 2 Januari 2017

Asma' (1)


"Brutal gila budak tu!"
"Alah, kau macam tak tahu. Orang yang brutal - brutal ni, sekali kau pancing, menggelupurlah dia. Sekali kau cucuk, jadi kerbaulah dia. Hahaha..."

Hamdan dan Badrul berseloroh. Seronok mereka bualkan mengenai seorang pelajar perempuan di kelas tadi.

"Bad, aku tak rasa budak brutal macam tu ada hati dekat lelaki, beb!"

"Isy, Hamdan... Fitrah, Hamdan.... Fitrah..."

"Kira ada can lah ni?"
Hamdan mengangkat kening memandang Badrul.

"Orang sekacak Hamdan, mana ada yang tak tertarik!"

Sekali lagi seloroh mereka menghingarkan suasana belakang sekolah yang sunyi.

**********
"Kurang ajar punya jantan!"
Asma melemparkan tas selempangnya ke atas katil. Tiga orang kawannya cuba mendapatkan Asma bagi sama - sama berkongsi gosip terbaru.

Tidak sempat mereka mendapatkan Asma, suara halilintar Asma terlebih dahulu menyengat telinga mereka.

"Kau orang, duduk jauh!"

Patah hajat. Masing - masing kembali ke katil masing - masing. Asma menyelubung didalam selimutnya. Airmata laju mengalir. Derasnya mengalahkan aliran mata air belakang asrama perempuan.

'Aku wanitalah. Aku ada perasaan. Aku perempuan! Jantan tak guna!'

Asma mengetap bibir sambil buku limanya digenggam kemas. Airmatanya masih meluncur laju.

**********
"Mak, kenapa Asma tak macam mak ya?"

Puan Hasnah yang sedang memasak memandang Asma yang sedang asyik membasuh pinggan. Sunyi, tiada jawapan. Dia menanti anak perempuan keduanya itu mengulang kembali soalan.

"Kenapa Asma tak macam kakak dan Fatimah? Kenapa Asma tak selembut perempuan yang sepatutnya? Kenapa Asma paling ganjil dalam keluarga ni?"

Terdengar seduan Asma, fahamlah Puan Hasnah akan soalan dan konflik yang dirasai anaknya itu. 

"Asma, Asma lah anak perempuan mak yang paling lembut sekali. Siapa yang berani sebut fasal anak mak ni?"

Asma membasuh tangan dan menutup pili air. Dia memeluk erat ibunya yang sudah berada disisinya itu. Esak tangisnya tidak ubah seperti anak kecil.

"Semua lelaki kata Asma tomboy. Asma ada perasaan juga. Asma....Asma...tak suka..."
Kata - katanya tersekat - sekat diikuti sedu - sedan.

Bersambung...