Jumaat, 15 Mei 2015

Real-isasi


Ramai yang kata kalau tak suka, jangan buat. Ramai yang ambil pendekatan, kalau jiwa tak kena dengan pilihan yang telah diambil, masih belum terlambat untuk kembali memilih yang selayaknya. Sungguh pilihan hari ini akan dibawa kematian. Segala ketaksiran (kekurangan) yang berlaku dalam menjalankan pilihan akan dikira dan dihisab walau sebiji dzarah.

Ramai yang protes apabila kehendak bertentangan dengan harapan dan tamanna (cita-cita). Ramai yang mengambil tindakan untuk lari apabila berhadapan dengan perkara-perkara yang menguji keteguhan dirinya diatas keputusan yang diambil. Ramai juga yang lari apabila akal tidak terjangkau akan masa depan yang samar (kerana hakikat manusia tidak mampu meneka apa yang berlaku kedepan). 

Ramai yang apabila bertemu dengan kegagalan, dia menganggap itulah titik terlemahnya. Ramai masih beranggapan jika kalah, dia akan kalah selamanya. Ramai juga yang berazam selepas kegagalan untuk bangkit, apabila menemui kembali dengan kegagalan, dia mengalah, "memang nasib aku sial dan bawa malang".

Namun, dalam kalangan ramai, rupanya masih ada yang melihat sinaran yang sempurna bahawa keputusan yang diambil hasil istikharah dan ketenangan pada langkahan dan tekad pertama itu adalah yang terbaik.

Bahawa ujian merupakan sunnah hidup, maka mengapa perlu berhenti melangkah?

Bahawa meneruskan saki-baki perjalanan dengan cara yang paling terbaik itu wajib walau tamanna lamanya terkubur, itulah susunan terbaik Ilahi. Dia percaya bahawa, selagi kedua kaki belum mencecah rumput syurga, maka usahanya masih dikira per tempoh hayat hidup. Jika usahanya kecil, maka kecil jugalah peratus untuk menghuni syurga yang abadi. 

Bahawa dia percaya, setiap langkahannya, memberi impak dan kesan buat generasi ke hadapan. Bahawa kehidupannya bukan untuk dirinya semata. Bahawa lingkungan diri sendiri harus diputuskan supaya membawa kesejahteraan ummat.

Bahawa dia adalah manusia yang paling optimis dengan masa depan kerana dia optimis bahawa Allah tidak pernah mensiakan usaha. Maka dia akan penuhi masanya dengan perkara yang tidak merencatkan perjalanannya ke syurga.

" Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas’uud r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan (iaitu dipercayai): Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga"
(Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Al-lmam Muslim)
Maka, dia akan kekal di posisinya. Tidak lari dari hakikat dan perjalanan kehidupannya. Realisasikan!