Rabu, 21 September 2016

'Gau'

Angin hari ini pelik semacam rasanya. Ketakutan yang menyelinap di seluruh rongga tubuh hampir sempurna sebarannya. Hari ini dan hari - hari yang lepas ada urusan yang belum saya sempurnakan. Perasaan hari ini sepertinya tak keruan seperti hari - hari yang lalu. Apakah hari ini urusanku dapat diselesaikan dan memberi berita gembira?

Pagi - pagi lagi, bacaan hadis hari ini mengenai Rasulullah takjub dengan perihal orang mukmin; apabila mendapat nikmat dia bersyukur, apabila mendapat musibah, dia bersabar.
Serius. ''Gau' hari ini sangat ganjil rasanya. Saya cuba tenangkan fikiran. Bersabar dan act like nothing.

Usai pemergian saya ke tem[at urusan hari ini, rupanya urusan saya masih tidak dapat diselesaikan. terus hilang gementar tadi serta merta. ia menjadi sebuah ketenangan yang hampir membuatkan saya tertidur di dalam bas.

Perjalanan saya mengimbau beberapa peristiwa kebelakangan ini. Banyak berkait dengan nilai iman, ihsan dan taqwa.

Bagaimana kau sujud, tapi jiwamu membongkak?

Baru - baru ini saya membaca sebuah tulisan karangan AAM dalam bukunya Asas-asas Islam. Beliau menghurai nilai iman itu dengan sangat teliti dan jelas.

Iman, tidak akan lahir tanpa ilmu. Ilmu takkan diperolehi kecuali dengan adanya seorang guru (yakni Rasulullah). Iman tanpa ilmu, tidak mampu melahirkan sebuah ketaatan yang istiqamah. Ilmu tanpa iman pula, ibarat orang yang tidak redha dirinya dihidupkan kerana dia tidak redha untuk beriman dengan Allah.

Zon selesa

Beberapa hari lalu, saya diingatkan dengan sebuah hadis yang tidak asing bagi penuntut ilmu agama kerana ia merupakan hadis yang terkandung dalam buku 40 Hadis Imam Nawawi. Hadis itu berbunyi; "...jika kamu menyembelih, maka perbaikkanlah sembelihanmu..."

beberapa noktah penting yang dapat saya nyatakan:

1) sifat Allah Yang Maha Penyayang terhadap makhluknya walaupun hanya binatang
2) Nilai perikemanusian
3) Itqan (tekun) dalam membuat sesuatu amal
4) tidak mudah berada di zon selesa

Apabila saya tanyakan, apa beza ihsan dan tamak (dalam amal)?
Jawapannya; pada niat.

Oleh hal yang demikian, niat sangat penting dalam setiap amalan.

"Meninggalkan kerana manusia, riak. membuat sesuatu kerana manusia, syirik. allah menjagamu dari keduanya dengan ikhlas"-Fudhail bin 'Iyadh

Ahwal Muslim
Hari ini buat saya banyak berfikir. hampir saya menjual sebuah aset peribadi yang saya beli dengan wang yang saya tabung hanya kerana mahu 'upgrade' kepada yang baru. Terlintas di kepala saya; saya di kategori sifat yang mana? Ihsan atau tamak?

Saya melihat Muslim sekeliling.
Sadis.

Ada dari mereka diuji dengan wang. berlebihan atau sangat miskin. Pada diri masing - masing, penyelesaian yang diambil bergantung bagaimana kefahaman yang tertanam dalam dirinya.

Ada yang diuji dengan kesihatan dan kekurangan kudrat, bergantung pada kefahamannya bagaimana ia bertindak dan mengambil keputusan.

Ada yang diuji dengan kemewahan dan kerehatan, bergantung kepada kefahamannya bagaimana harus dia manfaatkan.

Kefahaman yang benar adalah, kefahaman Islam yang syumul dan rabbani.  Kefahaman bagaimana menjadi Muslim yang Mukmin.

Akhirnya, aku menyimpulkan seluruh kejadian hari ini, PERLUNYA KITA KEPADA SEBUAH PENDIDIKAN (TARBIYYAH) serta MENYERAHKAN JIWA SEPENUHNYA dan BERTAWAKKAL KEPADA ALLAH.


Rabu, 17 Ogos 2016

Rajuk Yunus

Pastinya sudah sampai ditelingamu kisah Yunus a.s. Hamba Allah yang soleh dan mulia diangkat sebagai Rasul kepada penduduk perkampungan Ninawa.

Aku mendengar kisah ini dari ibuku setiap kali sebelum tidur dengan putaran kisah Nabi dan Rasul yang lain pula pada hari esoknya.

Ketika usia kanak-kanak, kesimpulan yang aku buat, kaum yang ingkar dengan perintah Allah, bakal diazab. Tugas Rasul hanya menyampaikan dan hidayah pula adalah kerja Allah.

Masa-masa serta usia yang meningkat dewasa pula mengajar aku satu nilai tambah baru. Dimana dari situ aku pilih tajuk posting kali ini.

Kisah rajuk Yunus a.s, hamba Allah serta Nabi Allah yang mulia ini bukanlah menjadi sebuah penghinaan, tapi terlalu besar pengajarannya.

Aku cuba untuk menghayati perasaan dan kisah ini. Ditakdirkan suatu hari berlaku satu perkara yang sangat menyesakkan dadaku dan aku boleh saja menangis hampir setiap hari.

Perasaan berat untuk menghadapinya sampai aku rasa memang tiada jalan lain kecuali aku berundur. Aku katakan pada seorang kenalanku; "biarkan aku menghayati kisah Yunus a.s". Kemudian aku mengasingkan dan membawa diri. Manakala kebetulan dan ditakdirkan Allah, putaran alam seakan mengikut rentakku.

Aku memang ditakdirkan untuk bersendiri dan berasingan dari manusia. Timbul beberapa kepayahan dan kesusahan yang tidak kita jangkakan selepas kita mengambil keputusan untuk ber'uzlah'.

Kisah Yunus a.s berputar dalam bayangan malam.

Ketika saat melafaz 'lailaha illa anta subhanaka inni kuntu minazzolimin' (DOA taubat Nabi Yunus a.s) terasa sesak didada dan bersalah yang teramat sangat.

Kenapa aku lari dari kehidupan yang bakal 'menghidupkan' aku?

Kenapa aku tidak sabar?

Kenapa aku terlalu beremosi?

Namun Yunus a.s, hamba Allah yang mulia dan merendah diri dihadapan Tuhannya, meyakini Al-Ghafur (Yang Maha Pengampun) sentiasa akan mengampunkan hambanya yang bertaubat. Maka, begitu jugalah sepatutnya diri kita.

Terasa manisnya sebuah kisah teladan umat. Terasa indahnya doa seorang hamba.

Moga esok kita lebih tabah.

Monolog tarbawi.

Selasa, 29 Mac 2016

Setia


Teman,
Hari ini kita berjanji,
Akan setia didalam madrasah,
madrasah tarbiyyah dan dakwah,
Walau jasad terpisah,
Tubuh melemah,
Nadi kita,
tidak berdenyut lagi.

Teman,
Esok bila kita diuji,
dengan pelbagai mehnah,
suka kita, direnggut tarbiyyah,
nafsu kita, dijerut pesanan naqibah,
cinta dunia kita, dicantas, dipangkas,
akankah kau setia dengan janji hari ini?

Teman,
Hari ini kita seia sekata,
memilih jalan hidayah,
bertatih bersama,
menyelam bersama,
suka dan sakit bersama.

Esok bila bosan menyinggah,
Apakah kita masih mahu mencari hidayah,
atau tinggalkan hanya kerana diuji mehnah,
atau mungkin bermalas-malasan,
sehingga raqib berhenti mencatat,
'atid pula menyambung tugasan?

Esok bila kita bertegang urat,
masihkah ada salamatussadr?

Esok bila ummah sukar diubah,
adakah kita mahu setia,
atau kita cair, menempel dan beralih arah?

Esok bila masalah sukar dicerna,
masihkah ada ikhlas dan sabar?

Esok, yang tidak pasti.
Hari ini  kita kotakan janji,
Moga Allah menetapkan langkahan kita,
juga hati-hati ini.

Allahumma tsabbitna!

9.25 am
Kaherah


-waqfah-

Isnin, 18 Januari 2016

Khallik!

Bebas,
Bebas dari keterikatan hati dengan dunia,
Rantai yang menjalarkan karat,
Hingga rosak jiwa,
Nafsu yang bermaharajalela.

Bila kau mahu sujud,
Merdeka dari sebarang kedurjanaan dunia,
Kosong tanpa ikatan pandangan manusia,
Jauh dari nilai mata-mata pelbagai lembaga,
Hargainya,
Bajainya,
Semaian berharga,
Saat bermakna,
Amat bermakna.

Khallik!

Isnin, 4 Januari 2016

Maya

Aku melihat kibaran bendera,
Nun jauh tingginya,
Seakan ada cahaya menyinari hari itu,
Pada hujung kayu bendera,
Setinggi maya.

Aku kembali melihat bumi,
Mayat bergelimpangan,
Darah mengalir,
Menenggelamkan seinci kasut perang,
Sedang aku tiada suara mengaduh,
Jasad luka menahan,
Tusukan-tusukan bilah perasaan.

Maya bakal realiti,
Sedang aku masih berperang dengan perasaan,
Layakkah aku menyarung baju perang?

Pandanganku mendatar,
Mengapa tar di sana berlubang,
Dan kehadapan lagi berduri,
Lebih dari itu terlalu banyak papan 'Awas!'?

Ada yang berjalan dihadapan,
Ada sebaris denganku,
Ada yang dibelakang.

Mahukah aku teruskan lagi,
Tali dipinggang mengikat kemas,
Bersambung dengan tali-tali kasut barisan belakang,
Siapa mahu mengikut,
Dia melangkah,
Siapa tidak mahu,
Mampu tersungkur, rebah,
Samada aku, atau mereka,
Jika tetap tidak mahu,
وما توفيقي إلا بالله!!