Rabu, 17 Ogos 2016

Rajuk Yunus

Pastinya sudah sampai ditelingamu kisah Yunus a.s. Hamba Allah yang soleh dan mulia diangkat sebagai Rasul kepada penduduk perkampungan Ninawa.

Aku mendengar kisah ini dari ibuku setiap kali sebelum tidur dengan putaran kisah Nabi dan Rasul yang lain pula pada hari esoknya.

Ketika usia kanak-kanak, kesimpulan yang aku buat, kaum yang ingkar dengan perintah Allah, bakal diazab. Tugas Rasul hanya menyampaikan dan hidayah pula adalah kerja Allah.

Masa-masa serta usia yang meningkat dewasa pula mengajar aku satu nilai tambah baru. Dimana dari situ aku pilih tajuk posting kali ini.

Kisah rajuk Yunus a.s, hamba Allah serta Nabi Allah yang mulia ini bukanlah menjadi sebuah penghinaan, tapi terlalu besar pengajarannya.

Aku cuba untuk menghayati perasaan dan kisah ini. Ditakdirkan suatu hari berlaku satu perkara yang sangat menyesakkan dadaku dan aku boleh saja menangis hampir setiap hari.

Perasaan berat untuk menghadapinya sampai aku rasa memang tiada jalan lain kecuali aku berundur. Aku katakan pada seorang kenalanku; "biarkan aku menghayati kisah Yunus a.s". Kemudian aku mengasingkan dan membawa diri. Manakala kebetulan dan ditakdirkan Allah, putaran alam seakan mengikut rentakku.

Aku memang ditakdirkan untuk bersendiri dan berasingan dari manusia. Timbul beberapa kepayahan dan kesusahan yang tidak kita jangkakan selepas kita mengambil keputusan untuk ber'uzlah'.

Kisah Yunus a.s berputar dalam bayangan malam.

Ketika saat melafaz 'lailaha illa anta subhanaka inni kuntu minazzolimin' (DOA taubat Nabi Yunus a.s) terasa sesak didada dan bersalah yang teramat sangat.

Kenapa aku lari dari kehidupan yang bakal 'menghidupkan' aku?

Kenapa aku tidak sabar?

Kenapa aku terlalu beremosi?

Namun Yunus a.s, hamba Allah yang mulia dan merendah diri dihadapan Tuhannya, meyakini Al-Ghafur (Yang Maha Pengampun) sentiasa akan mengampunkan hambanya yang bertaubat. Maka, begitu jugalah sepatutnya diri kita.

Terasa manisnya sebuah kisah teladan umat. Terasa indahnya doa seorang hamba.

Moga esok kita lebih tabah.

Monolog tarbawi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan