Rabu, 18 November 2015

Siapa nak jadi imam?

Jari rasa ralat mahu menekan abjad - abjad elektronik di papan tablet yang dibeli sejak setahun yang lalu. Terasa lama juga tidak menulis. Hanya sempat menulis catatan - catatan ringkas tentang rasa dalam puisi - puisi rekayasa hati yang sedang suka - hati. Namun, hobi dan minat menulis tidak boleh dipadam hanya kerana tiada semangat atau masa yang mengekang pergerakan. Alhamdulillah, malam ini satu catatan mampu saya hasilkan dengan izin dan rahmat Nya. Sebelum catatan kali ini menjadi catatan seperti 'Sekapur Sireh' yang biasanya mengandung kata - kata terima kasih dan penghargaan yang tidak terbatas buat Pemilik jiwa dan raga, juga buat sebuah entiti gerakan Islam yang banyak membantu pertumbuhan tarbiyyah serta manusia keliling yang telah terlalu banyak berkorban supaya saya mengenali makna sebuah pendidikan dalam kehidupan, maka saya mulakan perkongsian sekarang!

Ingatan saya kembali berputar disekitar umur belasan tahun, 13 tahun. Umur baru yang meningkat remaja dan mencari identiti diri. Umur yang memberi cabaran besar buat setiap ibubapa yang sedar untuk mendidik anak - anak mereka itu supaya 'jadi manusia'. Umur dimana teman sebaya merupakan rujukan utama setiap ragam dan rentak kehidupan kita. Syukur, pendidikan pertama, iaitu rumah, dengan nikmat tarbiyyah mendidik saya supaya berkelakuan sebagai manusia yang tunduk pada Tuhannya. Alhamdulillah.

Saya berminat untuk memetik sebuah memori daripada beribu memori yang menata hias kehidupan belasan tahun saya. Ketikamana setiap kali berjemaah dengan ayah atau ibu, ada satu rangkap doa yang tak pernah lekang dilafazkan setiap kali usai solat. Rangkap doa yang dipetik dari ayat Al-Quran surah Al-Furqan ayat 74 bermaksud:

" Dan orang yang berkata: "Rabbana (wahai Tuhan kami)! Anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyejuk mata (kami), dan jadikanlah kami imam (pemimpin) bagi orang yang bertakwa.”

Waktu itu baru belajar Bahasa Arab Komunikasi, hanya faham ibu baca doa itu supaya kami jadi anak yang baik - baik. Tak nakal, dengar kata.
Ayah pula kata: " bukan orang bertaqwa saja, imam orang bertaqwa!"
Dalam kepala waktu itu, hanya.gambarkan nanti dekat syurga kita solat sama - sama dan kami ini jadi imam solat ketika itu ( bagi lelaki lah).

Umur semakin meningkat dan 15 tahun ke umur 20 tahun itu umur yang menguji perasaan dan cara berfikir yang kritis. Mungkin ada orang yang pemikiran kritisnya bermula awal lagi mungkin juga lebih lambat dari itu. Tapi bila dengar saja orang lain baca doa itu, terbayang dalam kepala: "ish, akak ni dah nak kahwin ke?" "Eh, pak imam ni, anak dia nakal sangat ke?" Dan pelbagai lagi pertanyaan dan soalan kanak-kanak yang ligat berputar ketika doa dilafazkan padahal telah pun lulus dengan cemerlang dalam Bahasa Arab Tinggi! (Ini bukan ayat bajet, ini ayat perli diri sendiri!)

Sehinggalah satu masa, Allah melorongkan untuk saya memuatturun satu dokumen PDF bertajuk "Menuju Ketaqwaan" karya Al-Fadhil Ustaz Abdullah Nasih Ulwan. Olahan penulisan yang menarik dan 'basah', buat saya setia membaca hingga ke pengakhirannya.

Ketika baru selesai membaca tajuk pertamanya, saya terkesima.
'Kenapa baru hari ini hati aku terbuka untuk faham makna "taqwa"?'

Jujur, sepanjang hidup saya, sudah terlalu ramai manusia yang berpesan - pesan dengan ke'taqwa'an termasuklah ayah, ibu dan rakan - rakan seperjuangan. Namun, mungkin kerana masa itu perawatan terbaik sehingga baru hari ini saya faham dengan mendalam kalimah lima abjad itu.

Taqwa, kata Ubai bin Ka'ab ketika ditanya oleh Saidina Umar, adalah seperti berjalan diatas jalan yang dipenuhi dengan duri - duri. Ya, saya fahami, jalan menuju taqwa ini terlalu teramat tersangat (maaf, ini tatabahasa yang salah) susah! Hanya yang bersabar, ikhlas dan istiqamah saja yang mampu melalui denainya.

Taqwa, yang selalu di'moga-moga' kan dalam Al-Quran. '...moga-moga kau bertaqwa'. Kalimah yang terlalu kerap digunakan sebagai amaran dan galakan. Kalimah yang merujuk kepada ciri wajib ahli syurga dan ciri wajib diilin dungi daripada kesakitan azab kubur dan neraka. Taqwa, yang menjadi impian manusia - manusia pencari Tuhan!

Firman  Allah  dalam  Surah  Al-Anfal: “Wahai  orang-orang  yang  beriman!  Jika  kamu  bertakwa  kepada  Allah, nescaya  Ia  mengadakan  bagi  kamu  (petunjuk)  yang  membezakan  antara  yang  benar dan  yang  salah,  dan  menghapuskan  kesalahan-kesalahan  kamu  serta  mengampunkan (dosa-dosa)  kamu.  Dan  Allah  sememangnya  mempunyai  limpah  kurnia  yang  besar.” (Al-Anfal:29)

Firman  Allah  dalam  Surah  Al-Hadid: “Wahai  orang-orang  yang  beriman!  Bertakwalah  kamu  kepada  Allah  dan tetaplah  beriman  kepada  Rasul-Nya  (Muhammad)  supaya  Allah  memberikan  kepada kamu  dua  bahagian  dan  rahmat-Nya  dan  menjadikan  bagi  kamu  cahaya  untuk  kamu berjalan  dengannya  serta  diampunkan  dosa  kamu  dan  ingatlah  Allah  amat Pengampun  lagi  amat  Pengasihani.”  (Al-Hadid:  28)

Dan  firman  Allah  dalam  surah  At-Talaq: “Dan  sesiapa  yang  bertakwa  kepada  Allah  (dengan  mengerjakan  suruhan  dan meninggalkan  segala  larangan)  nescaya  Allah  mengadakan  baginya  jalan  keluar  (dari perkara  yang  menyusahkan)  serta  memberikannya  rezeki  dari  jalan  yang  tidak disangkakannya.”  (At-Talaq  :2-3)


Ketiga - tiga ayat inilah yang mengetuk jiwa sedar saya supaya membuka hati seluasnya. Buka jiwa seluasnya, supaya maknanya meresapi seluruh anggota, akal dan fikiran.
'Mengapa begitu unik jalan para muttaqin?'

"Patutlah!"
Itu saja yang terpacul dari mulut saya. Taqwa, kalimah bermakna besar dan punyai formula tersendiri. Lebih unik dari formula matematika.

Jalannya sesukar berjalan diatas jalan yang dipenuhi duri, ganjarannya diakhirat adalah syurga dan nikmatnya didunia adalah cahaya petunjuk yang kita tidak akan tersesat dengannya. Nikmat dunia mana lagi yang lebih berharga daripada cahaya petunjuk kehidupan walaupun kita mungkin terpaksa berkorban mahupun terkorban?! Sudahlah diberikan petunjuk kebenaran dan kesesatan, diampunkan pula dosa dan diberikan jalan keluar! Masha-Allah, siapa dapat gambarkan kenikmatan ini?

Jika kau bertaqwa, kau akan dapati dirimu mampu membuat keputusan dengan mematuhi redaNya. Kau akan jadi orang yang bersungguh dan tidak takut untuk mencuba walaupun bakal berdepan dengan kesalahan dan kelemahan. Dari situ, wujudnya jiwa positif yang bakal mewarnai manusia keliling. Membentuk ummah yang membangun.

Kemudian saya meneruskan lagi pembacaan kepada jalan taqwa itu sendiri. Ia berdiri di atas lima 'm' atau 'mim':

1) Mu'ahadah - perjanjian

"Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai Penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan."
(Q.S An-Nahl:91)

Engkau berjanji setiap kali dalam solat ketika bacaan senandung Al-Fatihah mu bahawa kau tidak akan menyembah atau meminta pertolongan kepada selain daripada Allah. Rasailah dan hayatilah sebuah janji dan sumpah itu supaya kau lebih jujur, ikhlas dan istiqamah dalam amalmu.

2) Muraqabah-merasai Allah sentiasa dekat dan melihat

"Yang melihatmu semasa engkau berdiri (mengerjakan sembahyang) (218)

Dan (melihat) gerak-gerimu di antara orang-orang yang sujud (219)"
(Q.S Asy-Syuaraa':218-219)

Bahawa engkau rasai setiap langkah dan gerak gerimu bersama pemerhatian Allah yang tidak tidur. Engkau lazimi taubat, ketaatan yang tidak berbelah bagi buatNya serta redha dengan segala yang berlaku dalam kehidupan dengan memulangkan diri kembali kepada Penciptanya. Membiasakan diri agar niat perlu diperbaharui setiap kali buat sesuatu perkara walau hanya membuang duri dijalanan. Dari situlah ikhlasmu akan berhasil.

3) Muhasabah - koreksi diri

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan."
(Al - Hasyr: 18)

Engkau lazimi masa - masa sendiri sebelum melelapkan mata untuk muhasabah atau post-mortem segala perkara yang menimpa atau yang berlaku hari itu dari segala sudut. Kau membayangi bahawa mati bakal menjemputmu sebentar saja lagi, maka tiada apa yang kau akan cicirkan dari muhasabahmu walau sekecil - kecil perkara seperti mana kau mrmbayangkan hisab di hari yang tiada lindungan kecuali lindungan Allah. Apabila kau dapati ada kesilapan - kesilapan yang disengajakan atau tidak, samada kecil atau besar, maka beristighfarlah dan pasakkan niat dan azam supaya esoknya kau mulakan sebuah kehidupan yang bebas dari nafsu syahwat yang mengotori jiwamu.

4) Muaqabah - menghukum diri


" Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa."
(Q.S Al-Baqarah:179)

Apabila kau sedari sebuah kesalahan samada atas kelalaian atau kemaksiatan, carilah satu hukuman buat dirimu yang merupakan amal ganti kepada dosa yang kau lakukan supaya kau tidalk ulanginya buat kali ke dua. Sebagai contoh, kau telah menggunakan keseluruhann harimu untuk tidur sedangkan kau sihat dan bermaya untuk membuat amal lain yang lebih bermanfaat. Setelah muhasabah, kau sedar itu sebuahh kesalahan, maka gantikanlah dengan amal kebaikan seperti infaq dan membantu orang lain. Moga kesalahanmu dihapuskan dengan kebaikan itu.

5) Mujahadah - usaha bersungguh - sungguh


"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya."
(Q.S Al-Ankaboot:169)

Sebuah anugerah atau nikmat dunia yang membawa kepada nikmat akhirat tak akan mampu dicapai tanpa kesungguhan yang sehabis mampu. Kerana Tuhanmu Maha Melihat segala usahamu, Maha Mendengar segala permohonanmu, Maha Tahu bahawa kau benar - benar mahu menjadikan taqwa itu sebagai perisai dan cahaya hidup, maka yakinlah, Dia pasti mengabulkan. Namun, dua perkara yang sentiasa kita terlepas pandang: hak manusia lain dan hak badan dan kemampuan kita. Jangan sampai kerana ibadah, kita lalaikan nafkah keluarga dan janganlah kerana mengejar taqwa sehingga kita habiskan masa kita di tikar sejadah semata sedangkan keperluan menuntut kita berkerja. Seimbangkanlah.


Demikian 5 M yang ditulis oleh penulis dalam mendapatkan taqwa. Saya buat gaya bahasa bercakap dengan pembaca yang sebenarnya saya tujukan juga buat diri sendiri. Lalu, kita kembali kepada ayat 74 Surah Al-Furqan;

" Dan orang yang berkata: "Rabbana (wahai Tuhan kami)! Anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyejuk mata (kami), dan jadikanlah kami imam (pemimpin) bagi orang yang bertakwa.”

Ketahuilah, petunjuk Al-Quran takkan mampu dihayati dan diterjemah dalam amal dan keputusan - keputusan kehidupan tanpa ketaqwaan dalam diri.

<< وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاء وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ وَلاَ يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إَلاَّ خَسَارًا >>

” Dan Kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.” ( QS Al Israa’ : 82 )

Kalau sudah bertaqwa yang mendapat cahaya pembeza yang hak dan yang batil pun mendapat syurga yang sekian - sekian, apatah lagi imam bagi orang bertaqwa?!

Kita sudah tidak mahu disibukkan dengan soalan, mahu masuk syurga atau tidak. Tapi sudah tiba masa untuk tanyakan: syurga tingkat berapa yang mampu kita masuk? Lalu, siapa yang mahu menjadi imam kita?

لو يعلم الناس ما فى النداء والصف الاول ثم لم يجدوا الا ان يستهموا لا ستهموا عليه لأستهموا ولويعلمون ما في التهجير لا ستبقوا اليه ولو يعلمون ما في العتمة والصبح لاتوهما ولوحبوا

Maksudnya: Jikalau manusia mengetahui akan kelebihan azan dan saf awal, dan mereka tidak akan mendapat keputusan siapakah yang layak melainkan dengan cara undi, maka mereka akan melakukannya. Dan seandainya mereka mengetahui akan kebaikan yang terdapat dalam bersegera solat nescaya mereka akan berlumba-lumba. Dan seandainya mereka mengetahui akan kebaikan pada solat subuh dan isyak nescaya mereka akan mendatanginya walaupun perlu merangkak. (Hadis Sahih Bukhari)

Selamat berlumba mencapai taqwa!