Selasa, 20 Mei 2014

Musuhmu bukan Sembarangan


Musuhmu bukan Sembarangan,
Tapi kalau benar,
Apa nak ditakutkan,
Itu kata kita,
Mungkin kerana kita lupa,
Dakwah bukan menyeru saja.
(Lihat Ali Imran:110)

Musuhmu bukan Sembarangan,
Bukan sekadar Syaitan,
Kerana itu,
Pastikan hadam,
Siapa kawan,  siapa lawan.
(Lihat Al-Fath:29)

Musuhmu bukan Sembarangan,
Mereka tidak akan pernah rela,
Kau diatas,
Mereka akan cuba sedaya upaya,
Biar kau jadi terhina,
Arahan mereka,  Kau turuti,
Bukan paranoid,
Tapi itulah realiti yang dikhabarkan,
Sejak 1400 tahun yang lalu.
( Lihat Al-Baqarah:120 )

Musuhmu bukan Sembarangan,
Maka bangkitlah,
Buatlah persiapan,
Teguhkan iman,
Fikrah yang suci kau pasakkan,
Nafsu berselingkar kau patahkan,
Rasa penat kau lalikan,
Bangkit dengan segala kekuatan yang ada,
Ya Allah,  tsabbitna!
( Lihat Al-Anfal:60 )



Jumaat, 16 Mei 2014

Asybal 1: Matahari


Angin sepoi bahasa menampar lembut pipinya. Dia masih setia menunggu mentari muncul. Seawal jam 4.30 pagi, usai menunaikan solat Subuh dimasjid berhampiran,  dia terus menuju ke persisiran pantai dengan harapan dia sempat untuk melihat matahari naik dari sebelah timur pantai.

Alexanderia masih belum hidup sepenuhnya. Jalanraya masih lengang dan sunyi kalau mahu dibandingkan situasinya dengan Kaherah. Sangat merbahaya untuk berjalan bersendirian melainkan dilengkapi dengan senjata, ilmu pertahanan diri dan tawakkal yang tinggi.

Asybal masih menunggu. Kalau-kalau hari ini,  mentarinya lebih indah dari semalam. Atau boleh jadi hari ini mentari keluar dengan wajah muram. Siapa yang tahu?

"Kau rasa hari ini mentari ada atau tidak?"

Suara itu menerpa telinga. Asybal memandang ke kanan. Bahunya dipegang. Lelaki itu menyambung lagi pertanyaannya.

"Atau ia akan terbit dari hujung sana, bukan seperti sediakala"

Lelaki itu senyum sambil jari telunjuknya menghala ke arah Barat pantai. Asybal mengangkat kening ala Ziana Zain. Dia tidak menghiraukan persoalan itu. Dia lebih memilih untuk menyaksikan sendiri mentari yang kini baru saja mahu keluar dari bawah laut. Langit sudah mula memerah. Asybal mula mengukir senyum.

"Aku ada impian. Impian yang kabur kerana manusia. Sejak itu, aku mula membenci semua. Aku lebih rela bertemankan matahari. Tengok, indah bukan?"

Asybal menunjuk ke arah timur. Ya,  matahari sudah mula naik.

Lelaki yang segak itu hanya membisu. Namun,  senyuman masih terukir dibibirnya.

"Impian apa yang kau mahukan itu?"

"Aku mahu hidup seperti orang biasa. Gembira dan tenang. Itu rasa sebenar manusia!"

"Adakah kini kau bukan manusia biasa?"

Asybal diam. Dalam hatinya,  mahu saja dia menghalau lelaki itu. Tapi dia tahu,  itu perbuatan yang sia-sia. Masuk kali ini sudah empat puluh kali dia menghalau lelaki itu pada hari-hari sebelumnya. Kali ini dia mahu cuba memekakkan telinga.

"Kau masih manusia biasa, Asybal. Walaupun maksud namamu 'singa', kau masih seorang manusia biasa. Malah hina!"
Asybal tersentak. Dia naik radang. Kali ini,  dia tidak mampu untuk memekakkan telinga. Dia menjerut kolar baju lelaki itu. Terasa sesak didadanya. Sangat sesak,  tapi Asybal makin mengukuhkan jerutan itu.

Lelaki itu buat muka selamba. Rambut yang hitam pekat tersisir rapi. Yang anehnya,  dia masih lagi tersenyum.

"Apa yang kau nak sebenarnya?"
"Apa yang kau nak sebenarnya?"

Lelaki itu mengulang kembali pertanyaan Asybal. Asybal tidak puas hati.

"Baik kau cakap pada aku,  kau nak apa sebenarnya?!"

Asybal menengking. Dadanya makin sesak. Dia cuba mengatur kembali pernafasannya.

Lelaki itu masih senyum,  sinis. Lalu bersuara lagi.

"Baik kau cakap pada Dia, kau nak apa sebenarnya?!"
Lelaki itu mendongak ke langit. Perlahan Asybal melepaskan kolar baju lelaki itu. Dia menunduk. Ada air mata yang bertakung. Lelaki itu mula bersuara.

"Kau suka berkawan dengan matahari,  tapi kau tak pernah nak cari asal puncanya"
"Siapa kata? Siapa kau untuk mengadili apa yang aku rasa?!"

"Apa yang kau rasa?"
Lelaki itu mengajukan kembali persoalan itu kepada Asybal.

"Kau pernah rasa,  hidup kau kosong? Kau pernah rasa, manusia semua pembohong? Kau pernah rasa, kau tidak pernah ditolong? Kau pernah rasa,  yang kau tak rasa ada fungsinya kau hidup didunia?"

Asybal memandang matahari. Tegak berdiri. Lelaki itu membalas.

"Ya,  aku pernah rasa semua itu dan masih merasainya sehingga sekarang. Sebab itu aku jumpa kau! Kau pernah tanya,  kenapa aku kosong? Kau pernah tanya,  kenapa ada  manusia pembohong? Kau pernah tanya,  kenapa tiada yang menolong? Kau pernah tanya,  kenapa kau tidak berfungsi sebaiknya? Hari ini,  aku dah jumpa jawapannya. Rupanya sebab kau tidak pernah bersyukur!"

"Huh, siapa kau mahu mengadili aku" Asybal membalas sinis.

"Dan sebab kau terlalu ego!"

Kali ini giliran lelaki itu bertanya.
"Pernah kau cari isi hidup kau? Pernah kau cari,  manusia yang jujur? Pernah kau cuba membantu manusia? Pernah kau  muhasabah,  fungsi kau sebagai manusia biasa,  sudah terlangsai atau belum?"

Asybal menjawab.
"Kau mahu tahu satu perkara? Aku dah pernah buat semua itu. Tapi sekarang kau lihatlah,  aku lebih rela berkawan dengan mentari"

"Sebab kau tidak pernah hargai segala yang kau ada dan yang kau lalui. Kau tidak pernah rasa Allah sentiasa akan membimbing jika hambaNya memohon. Kau ego, tidak mahu mengiyakan apa yang benar dan kau tak sanggup untuk melakukan perubahan kerana kau lebih percayakan matahari daripada kata Tuhan. Asybal,  ucapkan alhamdulillah dari dasar hatimu. Mohonlah, sebab Allah tidak pernah mensiakan permohonan hambNya berharap.

Lelaki itu pergi. Asybal masih berdiri.
'Tidak pernah bersyukur. Ego!'

bersambung...

Rabu, 14 Mei 2014

Cuma seinci


Kata mereka,
Cuma seinci,
Berikan walau seinci,
Kita berdamai,
Mereka manusia,
Punyai hak asasi,
Berikanlah seinci,.

Cuma seinci,
Laknat Tuhan tak pernah ada sia-sia,
Setiapnya ada makna,
Yahudi,
Tak kenal erti seinci,
Mereka mahu semua.

Muncullah agenda busuk,
Mereka nyanyikan irama hak asasi,
Cantik rima dan melodi,
Kata mereka,
Cuma seinci,
Dengan Deklarasi,
Yahudi mahu semua,
Mahu Israel Raya,
Palestin beralih tangan,
Kita pula yang berbaki seinci.

Lalu apa lagi yang kita mampu pertahankan,
Melainkan seinci yang ini,
Tanah ini berbaki dengan darah,
Perjanjian-perjanian damai semua dikhianati,
Apa lagi makna hak asasi.

Dimana pelaung-pelaung hak asasi,
Siapa sebenarnya yang mengkhianati,
Ini semua hipokrasi,
Dan kita sibuk menjunjung idea-idea,
Mahu berjaya dengan segera,
Mungkin kerana kita lupa,
Badar bukan pertempuran biasa,
Uhud punyai pengajarannya,
Khandak menjadi bukti,
Bahawa,
Tidak akan pernah redha Yahudi dan Nasara sehingga kita mengikuti mereka,
Tidak akan,
Percayalah!

Rabu, 30 April 2014

Tambatan



Tambatan atau bahasa kamusnya orang yang dikasihi, dicintai dan menjadi harapan.
Peribahasa yang kita selalu guna adalah ayam tambatan. Tapi saya tidak berapa berminat untuk membicarakan tentang ayam pun kali ini.

Semalam, seorang sahabat mengadu pada saya satu perkara.  Ia berkaitan kelelahan dalam hidup sebagai pelajar. Kemudian dia memohon sesuatu.

"Ada tak kata-kata yang boleh naikkan semangat?"

Saya diam. Sebab saya akui, saya bukanlah orang yang tepat untuk diminta motivasi, kata-kata semangat dan yang sewaktu dengannya. Tapi, kami pernah mempunyai satu perjalanan hidup yang sama pada satu ketika. Mungkin kerana itu, kami tidak segan untuk saling adu-mengadu mengenai kelelahan dalam menjalani kehidupan sebagai pelajar Muslim.

Saya masih diam dan hanya mampu senyum. Terlintas satu pepatah Arab.

"Al masyaqqah tasnaur rijal"

"Maksudnya?"

"Kesusahan melahirkan rijal"

Mukanya seperti mengharapkan penjelasan yang lebih.

"Dengan kesusahan itulah lahir seorang rijal macam Nabi s.a.w. Sejak dari kecil lagi baginda susah. Akhirnya, sifat macam mama yang kita nampak pada baginda? Rijal! Rijal tu kuat, sabar, tabah...."

Dia mengangguk. Risau juga kalau bahasa yang saya keluarkan terlalu tinggi untuk diaplikasi kerana itulah hakikatnya. Susah.

Dia mengadu lagi.

"Kadang-kadang kan, rasa macam nak quit medic. Tapi bila ingat mak, ayah dan keluarga, tak sampai hati pula rasa..."

Saya menarik nafas panjang. Ya, saya akui perkara itu sering juga saya rasai.

"Kita jangan letak apa yang kita buat tu sebab orang lain nak kita buat itu. Cuba kalau keluarga kata, OK balik lah. Tukar kos. Awak nak tukar? "

"Tak!"

"Ha, biar kita buat satu perkara itu sebab kita faham. Kita nak buat sebab kita nampak hadaf. Kenapa kita jadi doktor? Sebab kita nak menyumbang kepada umat supaya kita ada bukti depan Allah, Allah ini bukti sumbangan aku pada agama Islam memekllalui bidang ini. Ya Allah, aku dah sampaikan pada umat ini. Sebab kita kena tanya nanti. Rasul jadi saksi kepada kita Dan kita jadi saksi pada manusia lainnya bahawa individu tu dah sampaikan Islam atau tidak ( rujuk Al-Baqarah:143)"

Dia mengangguk. Saya rasa macam dah terlebih cakap. Sebenarnya saya tak sangka kalimah-kalimah itu keluar Dari mulut Dan memang saya sendiri sudah lama mencari penyelesaian untuk futur yang seumpama itu.

Alhamdulillah, saya dah jumpa penyelesaiannya. Saya perlu sentiasa ada agenda dan hadaf yang besar. Besarkan niat! kalau tidak, saya akan terganggu dengan alasan-alasan kecil dan kepenatan-kepenatan sementara serta kesusahan-kesusahan yang bakal hilang dengan bantuan dan izin Allah.

Boleh saja saya letakkan hadaf nak jadi doktor sebab saya punyai ahli keluarga yang sakit itu atau ini yang misteri. Tapi bila cita-cita itu tidak dibesarkan untuk masa depan agama, akhirnya cita-cita itu takat kerja-kerja pencarian penyakit. Ya, benar ia akan menjadi satu capaian dan rujukan manusia lainnya dan mengharumkan nama Islam kerana saya adalah Muslim. Saya akan dapat pahala kalau itu yang saya niatkan. Kalau saya tidak niatkan untuk Islam, seperti yang saya katakan tadi, ia hanyalah kerja-kerja pencarian penyakit.

As-Syahid Muhammad at-Tohir ada menukilkan satu kata-kata;
"Islam itu hebat. Tidak akan terpikul melainkan orang-orang yang hebat!"

Nak jadi hebat, kena belajar bersusah-susah dari semua aspek.

Biar lah kita jadi tambatan umat yang semakin tenat ini. Semoga kita tidak senasib dengan Yahudi yang dilaknat Allah kerana tidak menyampaikan risalah Allah (rujuk Al-Baqarah: 159)

Kalau kita bersungguh mencari Allah, Allah akan tunjukkan jalanNya. Itulah yang Dia sendiri tekankan dalam surah Al-Ankabut ayat 69.

Salam imtihan!

Jumaat, 28 Mac 2014

Khusyu dan lalat


  
  Suatu yang pasti menjadi kerunsingan buat kita di Mesir, iaitu musim peralihan dan musim panas. Semua pasti tidak senang duduk walaupun duduk di rumah saja. Ini semua disebabkan, LALAT!
   Pernah satu ketika, ketika saya sedang  tawaquf untuk menghadapi peperiksaan akhir tahun. Perasaan bengang bercampur serabut muncul bila Cik Lat mula mengganggu sesi pembelajaran kendiri. bukanlah kita mencemuh kejadian Allah yang unik ini, tapi keunikan sesungutnya yang berbulu-bulu dan menggatalkan serta kakinya yang lembut mencengkam kulit sehingga kita mengambil keputusan untuk memukulnya dengan sesuatu sehingga ia tidak lagi mengganggu. Saya boleh kira berapa ekor lalat yang tumpas didalam tangan kosong saya saja. Hampir 5 ekor! Nampak agak pengotor, tapi itulah hakikat yang menggambarkan betapa banyaknya lalat ketika musim itu. Itu belum dikira yang tumpas dengan menggunakan pemukul lalat!
   Suatu yang lebih menguji kesabaran adalah bilamana Cik Lat mula mengganggu kita ketika solat. Argh, kesabaran sangat teruji. Khusyu yang baru bertatih hadir, tiba-tiba pergi.
   Satu persoalan yang bermain dalam fikiran, bagaimana dengan generasi para sahabat? Bagaimana mereka mampu menahan sakitnya mencabut anak panah dengan memilih untuk dicabut ketika sedang solat. Hebat kan?
   Dalam masa yang sama, saya terfikir. Oh, ini rupanya perumpamaan Nabi s.a.w mengenai perumpamaan orang kafir melihat dosa. Pergh, pidat mengena!
إن المؤمن يرى ذنوبه كأنه قاعد تحت جبل يخاف أن يقع عليه، وإن الفاجر يرى ذنوبه كذباب مر على أنفه، فقال به هكذا – أي بيده   -فذهب عنه

« Daripada Ibnu Masu’d radiallahu anhu berkata : Sesungguhnya orang mukmin itu memandang dosa-dosanya seperti orang yang berdiri di bawah gunung,yang mana dia (sentiasa) rasa takut yang gunung itu nanti akan menghempapnya,dan orang yang keji pula memandang dosa-dosa mereka seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya, yang berkata : dengan hanya begini sahaja (iaitu dengan hanya ditepis dengan tangan sahaja) maka dengan mudah sahaja lalat itu terbang » (hadith riwayat Imam Bukhari)

Jumaat, 14 Februari 2014

Aku X Boleh Sorang


Gaya menulis

Haih ( _0_)
Kadang-kadang rasa macam nak menulis gaya orang lain. Seperti umairahshafei atau Angel Pakai Gucci. Sebab apa? Sebab seronok nak baca!
Tapi, sekejap saja. Kemudian, kembali kepada saya yang asalnya. Soo ‘skema’
Jadi, betul lah. Anda adalah siapa anda. Buat apa jadi orang lain? Hadafnya siapa?
Tapi mereka tetap guru saya secara maya.

Kisah bermula

Masa.
Mahu meletak satu noktah pun memakan masa. Lihat ini.
.   .   dan  .
Tiga saat sudah saya habiskan untuk tiga noktah diatas. Kemudian tiga saat juga telah saya habiskan yang sepatutnya saya gunakan untuk selesaikan segala permasalahan dan langsaikan segala tugasan (bajet ‘busy’--busybody…mumkin ^^,")
Benarlah, masa itu umpama pedang. Jika kita tak pancung dia, dia pancung kita. Dan seorang tokoh dakwah, ISHAB, ada menyebut bahawa kewajipan kita lebih banyak dari masa yang ada.

Kisahnya bermula bila saya sedar saya banyak menangguh kerja dan cita-cita jangka masa pendek. Kasihan de lo!

Berkejar

Kekalutan melanda dan saya bagai nak gila! (ayat saja nak buat gempak)

Anda tenang, anda menang

Pinjam quote kawan, “anda tenang, anda menang”. Tapi masa itu tak boleh nak tenang sangat dah! Sampai malas bergerak rasanya. Maka lagi bertambun lah kerja.

Aku X Boleh Sorang

Datanglah seorang ukhti. Dia tolong fahamkan mana satu aulawiyyat dan mana satu tidak. Tiba-tiba rasa macam nak....(T.T) Lepas satu beban. Tinggal laksanakan jadual saja. Hamdan lillah. Jazakillah khairan ukhti <3 o:p="">
Tiba-tiba, teringat juga peringatan Muaz bin Jabal kepada sahabat-sahabatnya yang ada disemadikan dalam buku Langkah Bermula karya MAR; Ijlis bina nukmin sa’ah bermaksud “duduk sebentar bersama kami untuk kita beriman sejenak”. Kalau dalam satu masalah penyususnan hidup pun kita perlukan bantuan, apatah lagi masalah dalaman yang berkait dengan iman. Apa yang menarik dalam peringatan Muaz bin Jabal itu adalah kalimah bina atau terjemahannya bersama kami. Kenapa bersama kami? Bukan “duduk sebentar untuk beriman sejenak” ?

Sebab ada ma’ani atau sebuah pengertian yang ingin disampaikan. 

Kita bukan mahu baik sendiri-sendiri. Kita juga tidak mahu sedih sendiri-sendiri. Kita mahu bersama dan aplikasi istilah saling. Wata’awanu ‘alal birri wattaqwa wa la ta’awanu ‘alal itsmi wal ‘udwan (berbantulah kamu dalam ketaatan dan ketaqwaan dan janganlah kamu saling membantu dalam melakukan dosa dan permusuhan)


Hal ini kerana manusia itu imannya seperti lauk didalam periuk. Mudah dibolak-balikkan. Bila kita ramai, kita boleh saling menasihatkan. Kita boleh saling membantu. Kita boleh saling meningkatkan. So, saya yakin bahawa saya tidak mampu mengubah diri saya selagi itu bukan datang dari diri saya sendiri dengan izin Allah dan orang-orang beriman itu merupakan kredit lah sebagai ejen perubahan.

Perkaitan iman dan jadual hidup kita sangat rapat. Jangan pisahkan :)

Wassalam

Jumaat, 11 Oktober 2013

Berjaya (bukan Berjaya Megamall)


Jari berasa gatal mahu menaip.

Kalau mahu bersenang-senang,mati itupun susah. Lebih sakit dari ditusuk seratus bilah pedang.

Kadang-kadang terfikir juga, kenapa kita selalu mengharapkan semua yang bakal ditempuhi ini senang-lanang (reka peribahasa sendiri)?

Bukankah kemahiran itu bermula daripada kegagalan juga?

Tik tok. Salah isi lah.

Mahu tulis pendek-pendek saja. Semoga yang membaca beroleh manfaat.


1. Tahukah Engkau akan orang yang mendustakan ugama (meliputi hari pembalasan)?

2. Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim,

3. Dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin

.4. maka Kecelakaan besar bagi orang-orang yang sembahyang -

5.(laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya;

6. (juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri Dalam Ibadat dan bawaannya),

7. Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).

( surah Al-Ma'un)

Usai bacaan surah Al-Ma'un,si murid bertanya.
"Ustazah, sahun (orang yang lalai-merujuk kepada ayat 5 surah al-Ma'un) ni termasuk dalam kalangan orang yang tak khusyuk dalam solat ke?"
"Oh, tak. sahun ini maksudnya kalau dengar azan, dia langsung tak bergegas untuk solat"
Si murid mengangguk. Dia bertanya lagi.
"Ustazah macam mana kita nak dapatkan khusyuk dalam solat, ustazah?"

Lantas Sang Muallimah membacakan sebelas ayat pertama dari surah Al-Mukminun yang terjemahannya begini;

Bismillahi al-Rahmani al-Rahim (Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani).
23-1:  Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman. 
23-2:  (Iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya. 
23-3:  Dan orang yang menjauhkan diri daripada yang sia-sia. 
23-4:  Dan orang yang menunaikan zakat. 
23-5:  Dan orang yang menjaga kemaluannya. 
23-6:  Kecuali terhadap isterinya atau hambanya; maka tiadalah tercela.
23-7:  Sesiapa mencari selain yang demikian itu, maka merekalah orang yang melampaui batas. 
23-8:  Dan orang yang memelihara amanah dan janjinya. 
23-9:  Dan orang yang memelihara solatnya.
23-10: Mereka itulah yang akan mewarisi, 
23-11: Yang akan mewarisi syurga Firdaus.  Mereka kekal di dalamnya.



"Telah berjaya orang-orang yang beriman. Iaitu orang yang khusyu dalam solatnya. Bagaimana mahu khusyuk? Dengan menjauhi perkara sia-sia,tunaikan zakat,jaga kemaluan kecuali kepada isteri atau hamba, yang menjaga amanah dan janjinya,yang jaga solatnya-tidak berlengah-lengah. Ganjarannya, jannatul Firdaus" panjang ustazah itu menerangkan.

Si murid mengangguk tanda faham. Selama ini, dia fahami ayat ini secara literal. Hari ini dia faham apa sebenarnya yang membawa kepada khusyuk. Bukan sekadar ketika berwuduk, tapi ia bermula di luar waktu solat lagi. Perkara yang paling dia terketuk adalah; menjauhi perkara-perkara lagha.

'Oh,patutlah aku tak khusyuk-khusyuk walau sesaat...' si murid mengangguk lagi.

Tammat