Sabtu, 14 Jun 2014

Mrs Right

Dia, 
Yang fitrah, 
Lembut dan santun, 
Menjaga dan terjaga.

Dia, 
Sempurna kejadiannya, 
Miliki hati, 
Miliki jiwa, 
Miliki rasa, 
Malu dan punyai maruah.

Dia, 
Bukan diskriminasi buta, 
Kerana dia mulia, 
Kerana itu ada limitasi, 
Limitasi dari Tuhan, 
Bukan tidak sengaja,
Tuhan meletakkan sedemikian rupa,
Ia bersebab,
Sebab yang memelihara dirinya, 
Betapa mulia,  seorang wanita.

Dia, 
Mrs Right, 
Menjaga dan terjaga, 
Dihadapan Allah, 
Mahu sesuci Maryam, 
Selembut Khadijah, 
Sekental Sumaiyah, 
Tiada yang mustahil.


Rabu, 11 Jun 2014

Rindu bersyarat



Saya rasa dah lama saya tinggalkan penulisan yang guna kalimah rindu, sayang,  chenta dot dot dot (dan sebagainya) sebagai tajuk.
Rasa-rasanya, rasa-rasa mahu guna tajuk-tajuk di atas sebagai tajuk utama mula hilang sejak masuk universiti. Ya,  bermula hari itu. Power tak kuasa perasan matured? Adakah kalimah-kalimah (rindu, sayang, chenta dot dot dot)  melambangkan ketidakmatangan? Tidak sama sekali! Sekali lagi,  tidak! Ia melambangkan kejiwangan,  kui kui kui...

Dalam beberapa tempoh masa ini,  rasa terpanggil mahu menulis tentang rasa. Rasa rindu. Ia tidak ada kena - mengena dengan sindrom balik Malaysia yang di alami mahasiswa-mahasiswi Mesir sekarang. Al maklumlah,  cuti 'sekolah' dah dekat. Kalau dalam Whatsapp group atau facebook Pasar Mesir, berlambak-lambak orang jual atau tanya mengenai tiket pergi balik Mesir - Malaysia. Agak-agak, berapa ya  untung jadi pramugari?

Berbalik kepada cerita tentang rasa. Rindu. Perlu ke ada rasa rindu?  Salah  ke kalau di ucap? Susah sangat ke mahu mengaku? Jahat sangat ke kalau tidak pernah ada rasa itu? Well, banyak sangat soalan. Tak tahu nak jawab yang mana satu dulu. Kalau pemidato atau barisan pendebat (biasanya pencadang)  akan beri definisi rindu itu apa menurut kamus dewan. Kalau pemuisi atau sasterawan akan mengadaptasikan rasa pada kata-kata puitis yang  tidak semua orang lurus boleh faham. Kalau penulis blogger cabuk macam saya? Hurm...

Rindu itu apa,  buk? 

Rindu itu dia rasa kalau boleh apa yang dia rindui itu dia lalui balik atau dia dapat bersama kembali dengan orang yang dirindui. Biasanya orang kata,  tak kenal maka tak cinta. Tak cinta maka tak sayang. Tapi sifir rindu,  dia lain. Tak kenal,  tidak apa. Selagi mana satu benda,  perkara atau orang itu memberi kesan dalam hati, memori dan titik hidup kita, ia layak dirindui walau kadang-kadang ada yang pahit.

Sifir 

Kalau sifir sayang atau chenta,  peristiwa atau kenangan pahit ke, manis ke,  masin atau  payau sekalipun, dia boleh menerima suatu benda itu. Tapi kalau rindu,tak semua benda pahit, masin,  atau payau boleh diterima. Biasa nya hanya benda manis yang kita suka untuk rindu,  betul tak? (Sila iyakan)

Secara tidak langsung,  kita telah meletakkan syarat pada rasa rindu,  betul tak? (Sekali lagi,  sila iyakan)

Dan biasanya,  lepas perkara atau orang atau objek itu tiada depan mata,  baru rasa rindu, kan? (saya paksa anda untuk katakan "ya")

Terfikir je la...
Kalau kita rasa rindu pada individu atau peristiwa,  mesti kita akan doa banyak-banyak supaya  dapat jumpa dia atau paling tidak pun moga setiap peristiwa yang kita lalui Allah beri kita rasa manisnya supaya kita selalu dapat rindu.

Bagusnya kita! Teruskan prestasi macam itu. InsyaAllah berjaya dunia! Akhirat?  Wallahua'lam. Mungkin lambat sikit kot ambil angka giliran sebab nak tunggu yang kita rindu dan sayang-sayang saja baru rasa nak berubah. Hah, engkau! Sedebuk atas kepala. ~~,"

Sebenarnya...
Rasa kagum dengan Nabi Musa. Semangat sangat nak jumpa Allah. Rindu dan sayang baginda tinggi sangat. Selak Surah Taha ayat 84.
 Hurm,  kita bila?
Ark ark ark (bunyi gagak)

Minta maaf kalau lari tajuk. Sebab rindu sangat agaknya. Baiklah,  berhenti sekarang.

#macam nak sambung Ahmad dan habiskan. Kemudian  Asybal. Awat semua huruf A? Mungkin kempunan nak result A+++ kot


Rabu, 28 Mei 2014

Kesediaan



Dunia manusia
Kita tidak bercakap mengenai haiwan,  atau lain-lain hidupan selain manusia. Saya mahu pembaca sedar,  tulisan saya kali ini adalah mengenai manusia. Manusia yang fitrahnya mencari sesuatu untuk bergantung harap. Mengharap untuk dikabulkan segala hajat. Manusia yang tidak pernah rasa selamat bila bersendirian walau setinggi mana pun tahap keberanian yang dia akui, walau sedalam mana pun fahaman aties yang dia imani,  walau sebesar mana pun tahap sombong diri,  akan ada satu masa hatinya terdetik untuk memohon dan meminta kepada 'sesuatu' ketika saat tiada sesuatu pun yang dapat menyelamatkan dirinya.

Kerana itu Allah abadikan fitrah ini dalam Surah An-Nas sebagai pemberitahuan serta peringatan buat manusia,  bahawa apa yang mereka rasa itu benar. Maka siapa lagi yang memberitahu mengenai fitrah kalau bukan Tuhan yang sebenar-benar Tuhan? Surah ini membisikkan kepada kita mengenai fitrah bertuhan dan khabaran bahawa Allah Yang Maha Esa la Tuhan yang sebenar-benar Tuhan.

Dunia manusia yang didiami oleh pelbagai hidupan ini juga menarik untuk kita perhatikan. Bagaimana istimewanya manusia itu sehingga Allah mengiktiraf bahawa manusia lah sebaik-baik kejadian. Kemudian Allah letakkan pada sehina-hina tempat. Surah At-Tin mempamerkan ciri-ciri manusia yang dikecualikan daripada penghinaan itu iaitu mereka yang beriman dan beramal soleh,  mereka itulah yang akan memperolehi ganjaran yang tak dapat digambarkan. Siapa yang tidak mahu ganjaran dari Tuhan, bukan?

Dunia pilihan
Sepanjang menjalani fatrah kehidupan,  manusia diberi pilihan untuk hidup dengan stail masing-masing. Kalau dari sudut ekonominya,  ada yang memilih untuk menjadi keluarga berada. Ada juga yang ditakdirkan menjadi pengemis dan ada juga lebih memilih untuk bersederhana. Semuanya bersebab dan terikat pada rezeki Tuhan dan juga dari usaha manusia itu sendiri.

Kalau dari sudut sosiologinya, ada yang memilih untuk bersendirian. Ada juga yang lebih memilih untuk hidup berjiran. Itu juga bersebab dan atas daya usaha manusia itu sendiri serta takdir Allah.

Kita pergi jauh sedikit, ada manusia yang memilih si fulan sebagai pemimpin, ada juga yang membangkang dan memilih si fulan yang lagi satu. Itu juga bbergantung kepada takdir Allah dan usaha manusia itu sendiri untuk membuat pilihan.


Uniknya Muslim adalah kerana dia meyakini bahawa segala yang berlaku bukanlah kerana usaha manusia semata-mata. Bukan juga kerana tawakal yang tinggi kepada Allah semata-mata. Tapi usaha dan tawakkal itu saling lengkap melengkapi.

(فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ)
 [Surat Aal-E-Imran : 159]


Dunia ini,  pilihan untuk manusia untuk membuat apa sahaja. Mahu berbuat baik, atau jahat. Mahu hidup mulia atau merempat. Mahu berlambat-lambat dalam tindakan atau mengambil keputusan dengan cepat. Itu semua pilihan manusia. Tapi Allah telah mengiingatkan bahawa amalan-amalan inilah yang akan menjadi penentu kehidupan di akhirat kelak dan Allah banyak menyebut mengenai janjiNya bahawa yang berbuat baik,  akan mendapat syurga  yang penuh kenikmatan dan yang berbuat jahat akan mendapat balasan neraka yang penuh azab. Tadabbur lah surah-surah dalam juzu' 29 sebagai peringatan kita bersama.

Pilihan yang fitrah
Manusia condong untuk mengikut fitrahnya. Fitrah bertuhan. Fitrah sukakan kebaikan. Fitrah mahu kembali kepada jalan keredhaan.

Maka Allah tunjukkan jalanNya yang lurus melalui para utusanNya. Dialah Tuhan sebenar. Inilah jalan kebaikan. Yang mana jalan keredhaan.


(قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي ۖ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ)
 [Surat Yusuf : 108]

Pilihan yang tersasar
Pernah kadang-kadang pilihan kehidupan yang kita lakukan tersasar daripada fitrah. Fitrah sukakan kebaikan,  tapi kita memilih untuk melakukan keburukan. Fitrah sukakan kejujuran,  tapi kita lakukan pembohongan. Fitrah sukakan kasih-sayang,  tapi kita semai benih-benih benci. Fitrah sukakan kebenaran, tapi kita selindungi kerana dengki. Fitrah sukakan lemah lembut, tapi kita berkasar-kasaran. Fitrah sukakan kekemasan dan kecantikan, tapi kita bercomot-comotan.


Apabila dua rasa yang berlawanan casnya bergabung, saya yakin, kita akan rasa sesak. Sesak yang amat. Waktu itulah fitrah dan syaitan sedang bertarung. Siapa lagi kuat, siapa lagi hebat.

Egoistik
Kadang-kadang manusia ego. Tak mahu mengaku salah. Padahal dia tahu, apa yang dia lakukan itu salah. Sebagai contoh, individu itu tahu bahawa baran itu merosakkan, tapi kerana ego, aku lahir dulu, aku lagi banyak pengalaman, aku lagi banyak ilmu, kau tak rasa apa yang aku rasa, inilah yang akan menjadikan kita statik.  Tidak berubah.


Sedangkan mukmin itu akan merugi bila dua harinya adalah sama.

Dalam masa yang sama, kita sedar bahawa kita tidak punyai masa yang lama untuk memilih samada mahukan perubahan diri atau tidak.

Ambillah kisah Zul Jausyan sebagai ibrah.

“Tidak mahukah kamu menjadi salah seorang pelopor dalam kerja itu”?

Dia berkata: “Tak mahu”

Baginda bersabda: “Apakah yang menahan kamu”?

Dia menjawab: “Aku telah melihat kaummu mendustakan, mengusir dan memerangi kamu. Tengoklah nanti. Jika kamu mengalahkan mereka, aku akan berimanlah.. dan aku akan mengikutmu. Jika mereka mengalahkan kamu, aku tidak akan mengikutmu.”

Setelah beliau Islam, dia sentiasa kecewa dan menyesal kerana tidak segera Islam ketika diajak oleh Rasulullah S.A.W.”

Bukankah pada hari ini, ramai orang berfikiran sama seperti Zul Jausyan? Realiti pertempuran Is­lam mengajak mereka supaya menjadi kelompok perintis,  pelopor, pendahulu dan ketua kebangkitan Islam, tetapi mereka enggan. Mereka hanya duduk memerhati di belakang dan menunggu siapakah yang akan menang.

--
Pautan penuh : http://muntalaq.com/fiqh-amal-jamaie-dalam-bentuk-baru/

Kesediaan
Sejauh mana kesediaan kita untuk melakukan perubahan. Sejauh mana kesediaan kita meleburkan ego, sombong, dan menyerahkan tengkuk untuk sebuah perubahan. Sebuah tarbiyyah kehidupan. Sebuah jalan yang memang bukan sekelip mata dan memerlukan segenap kekuatan yang ada dan pengorbanan dari sudut rasa, airmata, malu, harta bahkan nyawa.

(وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ)
[Surat Al-Ankaboot : 69]

Percayalah, dia akan tunjukkan jalan. Tapi persoalannya, sediakah kita untuk bergembira, berduka dan berkorban untuk jalan yang akan Allah tunjukkan itu?

Selasa, 20 Mei 2014

Musuhmu bukan Sembarangan


Musuhmu bukan Sembarangan,
Tapi kalau benar,
Apa nak ditakutkan,
Itu kata kita,
Mungkin kerana kita lupa,
Dakwah bukan menyeru saja.
(Lihat Ali Imran:110)

Musuhmu bukan Sembarangan,
Bukan sekadar Syaitan,
Kerana itu,
Pastikan hadam,
Siapa kawan,  siapa lawan.
(Lihat Al-Fath:29)

Musuhmu bukan Sembarangan,
Mereka tidak akan pernah rela,
Kau diatas,
Mereka akan cuba sedaya upaya,
Biar kau jadi terhina,
Arahan mereka,  Kau turuti,
Bukan paranoid,
Tapi itulah realiti yang dikhabarkan,
Sejak 1400 tahun yang lalu.
( Lihat Al-Baqarah:120 )

Musuhmu bukan Sembarangan,
Maka bangkitlah,
Buatlah persiapan,
Teguhkan iman,
Fikrah yang suci kau pasakkan,
Nafsu berselingkar kau patahkan,
Rasa penat kau lalikan,
Bangkit dengan segala kekuatan yang ada,
Ya Allah,  tsabbitna!
( Lihat Al-Anfal:60 )



Jumaat, 16 Mei 2014

Asybal 1: Matahari


Angin sepoi bahasa menampar lembut pipinya. Dia masih setia menunggu mentari muncul. Seawal jam 4.30 pagi, usai menunaikan solat Subuh dimasjid berhampiran,  dia terus menuju ke persisiran pantai dengan harapan dia sempat untuk melihat matahari naik dari sebelah timur pantai.

Alexanderia masih belum hidup sepenuhnya. Jalanraya masih lengang dan sunyi kalau mahu dibandingkan situasinya dengan Kaherah. Sangat merbahaya untuk berjalan bersendirian melainkan dilengkapi dengan senjata, ilmu pertahanan diri dan tawakkal yang tinggi.

Asybal masih menunggu. Kalau-kalau hari ini,  mentarinya lebih indah dari semalam. Atau boleh jadi hari ini mentari keluar dengan wajah muram. Siapa yang tahu?

"Kau rasa hari ini mentari ada atau tidak?"

Suara itu menerpa telinga. Asybal memandang ke kanan. Bahunya dipegang. Lelaki itu menyambung lagi pertanyaannya.

"Atau ia akan terbit dari hujung sana, bukan seperti sediakala"

Lelaki itu senyum sambil jari telunjuknya menghala ke arah Barat pantai. Asybal mengangkat kening ala Ziana Zain. Dia tidak menghiraukan persoalan itu. Dia lebih memilih untuk menyaksikan sendiri mentari yang kini baru saja mahu keluar dari bawah laut. Langit sudah mula memerah. Asybal mula mengukir senyum.

"Aku ada impian. Impian yang kabur kerana manusia. Sejak itu, aku mula membenci semua. Aku lebih rela bertemankan matahari. Tengok, indah bukan?"

Asybal menunjuk ke arah timur. Ya,  matahari sudah mula naik.

Lelaki yang segak itu hanya membisu. Namun,  senyuman masih terukir dibibirnya.

"Impian apa yang kau mahukan itu?"

"Aku mahu hidup seperti orang biasa. Gembira dan tenang. Itu rasa sebenar manusia!"

"Adakah kini kau bukan manusia biasa?"

Asybal diam. Dalam hatinya,  mahu saja dia menghalau lelaki itu. Tapi dia tahu,  itu perbuatan yang sia-sia. Masuk kali ini sudah empat puluh kali dia menghalau lelaki itu pada hari-hari sebelumnya. Kali ini dia mahu cuba memekakkan telinga.

"Kau masih manusia biasa, Asybal. Walaupun maksud namamu 'singa', kau masih seorang manusia biasa. Malah hina!"
Asybal tersentak. Dia naik radang. Kali ini,  dia tidak mampu untuk memekakkan telinga. Dia menjerut kolar baju lelaki itu. Terasa sesak didadanya. Sangat sesak,  tapi Asybal makin mengukuhkan jerutan itu.

Lelaki itu buat muka selamba. Rambut yang hitam pekat tersisir rapi. Yang anehnya,  dia masih lagi tersenyum.

"Apa yang kau nak sebenarnya?"
"Apa yang kau nak sebenarnya?"

Lelaki itu mengulang kembali pertanyaan Asybal. Asybal tidak puas hati.

"Baik kau cakap pada aku,  kau nak apa sebenarnya?!"

Asybal menengking. Dadanya makin sesak. Dia cuba mengatur kembali pernafasannya.

Lelaki itu masih senyum,  sinis. Lalu bersuara lagi.

"Baik kau cakap pada Dia, kau nak apa sebenarnya?!"
Lelaki itu mendongak ke langit. Perlahan Asybal melepaskan kolar baju lelaki itu. Dia menunduk. Ada air mata yang bertakung. Lelaki itu mula bersuara.

"Kau suka berkawan dengan matahari,  tapi kau tak pernah nak cari asal puncanya"
"Siapa kata? Siapa kau untuk mengadili apa yang aku rasa?!"

"Apa yang kau rasa?"
Lelaki itu mengajukan kembali persoalan itu kepada Asybal.

"Kau pernah rasa,  hidup kau kosong? Kau pernah rasa, manusia semua pembohong? Kau pernah rasa, kau tidak pernah ditolong? Kau pernah rasa,  yang kau tak rasa ada fungsinya kau hidup didunia?"

Asybal memandang matahari. Tegak berdiri. Lelaki itu membalas.

"Ya,  aku pernah rasa semua itu dan masih merasainya sehingga sekarang. Sebab itu aku jumpa kau! Kau pernah tanya,  kenapa aku kosong? Kau pernah tanya,  kenapa ada  manusia pembohong? Kau pernah tanya,  kenapa tiada yang menolong? Kau pernah tanya,  kenapa kau tidak berfungsi sebaiknya? Hari ini,  aku dah jumpa jawapannya. Rupanya sebab kau tidak pernah bersyukur!"

"Huh, siapa kau mahu mengadili aku" Asybal membalas sinis.

"Dan sebab kau terlalu ego!"

Kali ini giliran lelaki itu bertanya.
"Pernah kau cari isi hidup kau? Pernah kau cari,  manusia yang jujur? Pernah kau cuba membantu manusia? Pernah kau  muhasabah,  fungsi kau sebagai manusia biasa,  sudah terlangsai atau belum?"

Asybal menjawab.
"Kau mahu tahu satu perkara? Aku dah pernah buat semua itu. Tapi sekarang kau lihatlah,  aku lebih rela berkawan dengan mentari"

"Sebab kau tidak pernah hargai segala yang kau ada dan yang kau lalui. Kau tidak pernah rasa Allah sentiasa akan membimbing jika hambaNya memohon. Kau ego, tidak mahu mengiyakan apa yang benar dan kau tak sanggup untuk melakukan perubahan kerana kau lebih percayakan matahari daripada kata Tuhan. Asybal,  ucapkan alhamdulillah dari dasar hatimu. Mohonlah, sebab Allah tidak pernah mensiakan permohonan hambNya berharap.

Lelaki itu pergi. Asybal masih berdiri.
'Tidak pernah bersyukur. Ego!'

bersambung...

Rabu, 14 Mei 2014

Cuma seinci


Kata mereka,
Cuma seinci,
Berikan walau seinci,
Kita berdamai,
Mereka manusia,
Punyai hak asasi,
Berikanlah seinci,.

Cuma seinci,
Laknat Tuhan tak pernah ada sia-sia,
Setiapnya ada makna,
Yahudi,
Tak kenal erti seinci,
Mereka mahu semua.

Muncullah agenda busuk,
Mereka nyanyikan irama hak asasi,
Cantik rima dan melodi,
Kata mereka,
Cuma seinci,
Dengan Deklarasi,
Yahudi mahu semua,
Mahu Israel Raya,
Palestin beralih tangan,
Kita pula yang berbaki seinci.

Lalu apa lagi yang kita mampu pertahankan,
Melainkan seinci yang ini,
Tanah ini berbaki dengan darah,
Perjanjian-perjanian damai semua dikhianati,
Apa lagi makna hak asasi.

Dimana pelaung-pelaung hak asasi,
Siapa sebenarnya yang mengkhianati,
Ini semua hipokrasi,
Dan kita sibuk menjunjung idea-idea,
Mahu berjaya dengan segera,
Mungkin kerana kita lupa,
Badar bukan pertempuran biasa,
Uhud punyai pengajarannya,
Khandak menjadi bukti,
Bahawa,
Tidak akan pernah redha Yahudi dan Nasara sehingga kita mengikuti mereka,
Tidak akan,
Percayalah!

Rabu, 30 April 2014

Tambatan



Tambatan atau bahasa kamusnya orang yang dikasihi, dicintai dan menjadi harapan.
Peribahasa yang kita selalu guna adalah ayam tambatan. Tapi saya tidak berapa berminat untuk membicarakan tentang ayam pun kali ini.

Semalam, seorang sahabat mengadu pada saya satu perkara.  Ia berkaitan kelelahan dalam hidup sebagai pelajar. Kemudian dia memohon sesuatu.

"Ada tak kata-kata yang boleh naikkan semangat?"

Saya diam. Sebab saya akui, saya bukanlah orang yang tepat untuk diminta motivasi, kata-kata semangat dan yang sewaktu dengannya. Tapi, kami pernah mempunyai satu perjalanan hidup yang sama pada satu ketika. Mungkin kerana itu, kami tidak segan untuk saling adu-mengadu mengenai kelelahan dalam menjalani kehidupan sebagai pelajar Muslim.

Saya masih diam dan hanya mampu senyum. Terlintas satu pepatah Arab.

"Al masyaqqah tasnaur rijal"

"Maksudnya?"

"Kesusahan melahirkan rijal"

Mukanya seperti mengharapkan penjelasan yang lebih.

"Dengan kesusahan itulah lahir seorang rijal macam Nabi s.a.w. Sejak dari kecil lagi baginda susah. Akhirnya, sifat macam mama yang kita nampak pada baginda? Rijal! Rijal tu kuat, sabar, tabah...."

Dia mengangguk. Risau juga kalau bahasa yang saya keluarkan terlalu tinggi untuk diaplikasi kerana itulah hakikatnya. Susah.

Dia mengadu lagi.

"Kadang-kadang kan, rasa macam nak quit medic. Tapi bila ingat mak, ayah dan keluarga, tak sampai hati pula rasa..."

Saya menarik nafas panjang. Ya, saya akui perkara itu sering juga saya rasai.

"Kita jangan letak apa yang kita buat tu sebab orang lain nak kita buat itu. Cuba kalau keluarga kata, OK balik lah. Tukar kos. Awak nak tukar? "

"Tak!"

"Ha, biar kita buat satu perkara itu sebab kita faham. Kita nak buat sebab kita nampak hadaf. Kenapa kita jadi doktor? Sebab kita nak menyumbang kepada umat supaya kita ada bukti depan Allah, Allah ini bukti sumbangan aku pada agama Islam memekllalui bidang ini. Ya Allah, aku dah sampaikan pada umat ini. Sebab kita kena tanya nanti. Rasul jadi saksi kepada kita Dan kita jadi saksi pada manusia lainnya bahawa individu tu dah sampaikan Islam atau tidak ( rujuk Al-Baqarah:143)"

Dia mengangguk. Saya rasa macam dah terlebih cakap. Sebenarnya saya tak sangka kalimah-kalimah itu keluar Dari mulut Dan memang saya sendiri sudah lama mencari penyelesaian untuk futur yang seumpama itu.

Alhamdulillah, saya dah jumpa penyelesaiannya. Saya perlu sentiasa ada agenda dan hadaf yang besar. Besarkan niat! kalau tidak, saya akan terganggu dengan alasan-alasan kecil dan kepenatan-kepenatan sementara serta kesusahan-kesusahan yang bakal hilang dengan bantuan dan izin Allah.

Boleh saja saya letakkan hadaf nak jadi doktor sebab saya punyai ahli keluarga yang sakit itu atau ini yang misteri. Tapi bila cita-cita itu tidak dibesarkan untuk masa depan agama, akhirnya cita-cita itu takat kerja-kerja pencarian penyakit. Ya, benar ia akan menjadi satu capaian dan rujukan manusia lainnya dan mengharumkan nama Islam kerana saya adalah Muslim. Saya akan dapat pahala kalau itu yang saya niatkan. Kalau saya tidak niatkan untuk Islam, seperti yang saya katakan tadi, ia hanyalah kerja-kerja pencarian penyakit.

As-Syahid Muhammad at-Tohir ada menukilkan satu kata-kata;
"Islam itu hebat. Tidak akan terpikul melainkan orang-orang yang hebat!"

Nak jadi hebat, kena belajar bersusah-susah dari semua aspek.

Biar lah kita jadi tambatan umat yang semakin tenat ini. Semoga kita tidak senasib dengan Yahudi yang dilaknat Allah kerana tidak menyampaikan risalah Allah (rujuk Al-Baqarah: 159)

Kalau kita bersungguh mencari Allah, Allah akan tunjukkan jalanNya. Itulah yang Dia sendiri tekankan dalam surah Al-Ankabut ayat 69.

Salam imtihan!