Selasa, 6 Oktober 2015

Jalan ini

Hening malam ini buat aku tertanya; percaturan apa yang sedang dipentaskan sekarang. Watak apa sepatutnya aku lakonkan. Mimik bagaimana yang harus terpapar di wajah ini.

Aku tangkas membetulkan persepsi.
"Perancanganku tak sehebat perancangan Tuhan. Perancanganku hanya lintasan masa depan yang gemilang yang menjadi keinginan dan citaku. Perancangan Tuhan pula mengandungi keluasan ilmuNya tentang masa depan yang bakal aku jalani. PerancanganNya penuh dengan kuasaNya untuk menentukan terjadinya sesuatu benda. PerancanganNya segala-galannya"

Kuselak minit dan masa-masa yang telah berlalu.
"Sepatutnya aku sudah mencapai ini. Tapi kerana itu, aku tak dapat mencapainya. Kerana itu dan ini, aku putus dari trek yang sepatutnya. Kerana kerana kerana..."

Alasan-alasan yang terikat dengan makhluk dicipta dan terus dicipta.

Apakah aku ingin menandingi kuasa Tuhan? Mendapatkan apa yang dimahukan, mesti dapat! Mesti juga buat!? Apakah sukar untuk aku hidup tanpa beralasan dan berjalan kembali tanpa dihantui apa yang telah ditakdir Tuhan?

Malam ini melayangkan aku pada jejak-jejak jatuh cinta pada tarbiyah semalam. Suka duka yang memeritkan pada awalnya menjadi sebuah ketenangan yang mententeramkan. Kefahaman akan sesuatu perkara dan kefahaman terhadap akhlak dan nilai mematangkan dan mengajar aku untuk terus belajar senyum. Belajar senyum.

Perjalanan dalam tarbiyyah banyak mengajarkan sabar buat manusia kelilingku. Persoalan 'kenapa begini kenapa begitu' sering menjengah tabir malam sebelum kunyenyak dalam lambungan. Ada persoalan yang dijawab, ada yang ditinggalkan. Kerana aku punya jawapan, jika aku beriman dengan jalan ini.

Tapi rupanya aku belum merasai keperitan dan peperangan sebenar.

Jalan tarbiyyah memang menyesakkan dada dan akal fikiran. Menidurkan mereka yang sudah kecewa dengan perubahan. Hanya yang sedar dan tekad mampu melaluinya.

Jalan tarbiyyah, bukan untuk nafsi-nafsi. Jalan ini akhirnya membawa untuk kita serahkan diri, jiwa, harta dan masa pada umat yang sedang bertatih mencari solusi hidup; Islam. Jalan ini akan membuatkan kau menangis kerana terpaksa meninggalkan jahiliyah dan keinginan terlarang. Jalan ini pasti buat kau rasa tak layak berjuang. Jalan ini perlu kau lalui dengan akhlak islami. Jalan ini buat kau terseksa menahan amarah atau sikap-sikap biasa kita yang tak berakhlak. Jalan ini pasti menghantui mimpi-mimpimu yang senantiasa enak sepatutnya.

Namun, ketahuilah. Jalan ini, penuh dengan ketenangan yang ampuh kerana pasak aqidahnya kukuh. Jalan ini, penuh dengan ketenteraman dengan kasih-sayang yang berbunga mekar. Jalan ini,  membuatkan kau berkerja dengan motivasi nikmat yang tak ada akhirnya; syurga. Jalan ini, membuatkan kau kenal erti bersaudara. Jalan ini, kalau dihinggap futur, kau dapati ramai yang menghulur tangan untuk membantu kau kembali pada landasan. Jalan ini, sentiasa menjadi hamba Allah yang segar dengan keazaman. Jalan ini, akan jadi kenangan-kenangan bermakna, walau suka dan duka, yang kau boleh abadikan sehingga bertemu Tuhan disyurga, jika kau setia. Jalan ini, seindah jalan taqwa.

Diriku,
Pengakhiran jalan ini hanya buat mereka yang berani melaluinya. Mahu syurgaNya. Dirasai bukan hanya dipandang dan dilihat dengan ekor mata. Ia dihayati bila kau benar-benar jujur dengan Allah, bahawa kau benar-benar serahkan kehidupanmu untuk-Nya.

"...sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku untuk Allah, Tuhan sekalian alam"

Duhai hati-hati yang inginkan ketenangan hakiki, percayalah. Jihad pertama adalah jihad meninggalkan nafsu jahiliyahmu. Kau takkan pernah mampu lakukan dengan dengan kedudukanmu yang masih ditakuk lama. Kau perlukan kesegaran baru yang sentiasa hidup dalam dunia tarbiyyah islamiyyah harakiyyah (didikan islam yang bergerak)! Kau tak mampu jika kau sendirian memikirkan kantung pahalamu. Kau takkan mampu jika kau melimitkan tugas khalifah hanya pada menyuruh kepada kebaikan, lantas kau melupakan pengingkaran terhadap kejahatan. Kau takkan mampu. Bila kau sendiri.

Ahad, 13 September 2015

Noktah

Noktah
Seindah kalimah noktah
Tak jumpa noktah
Ada saja kalimah, koma atau pembuka kata
Sehingga keliru apa yang mahu dikata
Tak faham apa yang dipinta
Bila tiada noktah nafsu terbit mencambah syukur

Isnin, 13 Julai 2015

Saya sudah 21

"Kecil-kecil lagi dulu",
Itu ucapan biasa,
Bila sudah lama tak bersua,
Kini
"Dah besar panjang"
Itu skrip sekarang.

Menangis,
Sering,
Hingga ummi tak sempat melayan,
Kerana anak sepuluh,
Murid berpuluh-puluh,
Tapi satu,
"Sabar, optimis..."

Cakap besar,
Semangat berkobar-kobar,
Abi dengar saja,
"Reformasi!" bergema,
Sampai masa nanti,
Dia tahu:
Dunia politik tak selamanya begitu,
Adakala disinggah putus asa,
"Sikit saja lagi!"

Saya sudah 21,
Terlalu pantas masa berlalu,
Sudah menginjak usia baru,
Melangkah ke usia kematangan,
Optimis, mesra dan rasional,
Hilang itu,
Gelaplah dunia.

Saya sudah 21,
Al-Fateh gemilang pada usia ini,
Usamah bin Zaid lebih awal mendahului,
Faris Audah ikut menjejaki,
Saya, bila lagi?

Saya sudah 21,
Dua hari lagi kalendar masihi,
Berbulan-bulan lepas kalendar islami.

Salam alam 21.

Rabu, 8 Julai 2015

Sesuci debu Soifi (1)



''Air Sungai Nil memukul tepian tebing. Jambatan yang merentasi sungai itu sibuk dengan kenderaan yang pelbagai jenis. Setiap satunya mengeluarkan bunyi hon yang berlainan.
'Gulp.....'
'Gulp.....'
'Gulp.....'
" 'Amil eyh? Ya Salaaaaaaaam!!!!"
Amirah dipeluk dicium seorang wanita Arab berpakaian serba hitam.
'Siapa pula makcik Arab ni? Isy...'
" 'Amel eyh? Enti binafsi wahid? Leyh? (Kau buat apa ni? Seorang diri? Kenapa?)"
'Aduh, makcik ni. Nak jadi macam M aku pulak. Banyak tanya...'
"Asifah, enti mineyn? Wa men enti? (Maaf, kamu dari mana dan kamu siapa?)"
Amirah melepaskan diri dari pelukan wanita berkelubung hitam tadi. Dari mata wanita itu, kelihatan garis-garis usia. Barangkali usianya 40-an.
"Enti musy 'arfah? (Awak tak tahu?)"
Amirah menggeleng. Wanita tadi menjegilkan mata.
'Oh, aku kenal mata ni. Macam...'
"Ana ustazah Huda!!!! Ustazah Al-Quran..."
Ya, Amirah ingat. Ustazah ini mengajarnya subjek Al-Quran tahun lepas. Ketika itu Amirah suka duduk dibahagian depan sekali kerana seronok mendengar ibrah setiap kali tamat kelas Al-Quran. Maklumlah, bila belajar Quran tanpa tadabbur, umpama macam burung kakak tua. Pandai ajuk, pandai hafal, tapi tak faham maksud.
Ustazah Huda mengajaknya duduk diatas kerusi di kedai lesehan di bawah jambatan itu, Amirah menolak.
"Tak manis anak perempuan aku duduk sorang-sorang di tepi tebing macam ini..."
Amirah menurut kata. Mereka duduk di kerusi yang disediakan. Ustazah membeli secawan teh.
"Kau datang sendirian ke ustazah? Macam aku?"
Ustazah Huda menggeleng. Sambil tangannya menunjukkan ke arah kapal yang sedang memulakan pelayaran disekitar kawasan sungai yang sudah tercemar itu. Matanya bersinar tanda sedang senyum,  mata Amirah pula berkaca seperti baru selesai menangis.
"Ustazah tak pergi naik kapal sekali dengan keluarga ustazah ke?"
Ustazahg menggeleng sekali lagi.
"Kau mahu teh ni? Orang Mesir suka minum teh. Teh menghilangkan stres..."
Amirah masih diam. Dia memandang alur air yang berubah bentuk setelah dilalui kapal tadi.
"Kau pandang alur air tu betul-betul..."
Amirah memandang Ustazah Huda.
'Tahu-tahu je dia aku pandang apa...'
Ustazah menunjukkan tangan ke arah alur air itu sebagai arahan kepada Amirah untuk kembali melihat air sungai tadi.
Lima minit berlalu. Amirah jadi penat melihatnya.
"Apa yang kau lihat padanya, anakku Amirah?"
"Air?"
"Ya, lagi?"
"Berombak?"
"Ya, lagi?"
"Kembali seperti sediakala?"
"Ya, tepat! Apa hubungannya dengan hidup kamu?"
Amirah senyap. Diam seribu bahasa. Tidak bersuara walau sepatah kata.
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (karenanya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal, (yaitu) orang-orang yang mendirikan shalat dan yang menafkahkan sebagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperoleh beberapa derajat ketinggian di sisi Tuhannya dan ampunan serta rezeki (nikmat) yang mulia. (al-Anfaal 2-4) "
Ustazah Huda melafazkan ayat Quran itu dengan penuh syahdu.
"Kau rasa apa bila aku baca ayat ini?"
Amirah senyap. Matanya berkaca. Dia terus memeluk Ustazah Huda.
"Semua orang cakap, nak tenang ingat Allah. Nak bahagia, dengan Allah. Tapi kenapa aku rasa Allah tak sayang aku? Allah tak balas rasa aku nak mencintai Dia? "
Amirah mula meluahkan isi hatinya.
"Amirah anakku, kenapa kau katakan sedemikian rupa?"
"Kenapa aku tak rasa aku sedang solat? Kenapa khusyu tak pernah hadir? Kenapa amal-amal yang aku lakukan seakan tak menambah rasa syukur aku?"
Ustazah Huda senyum.
" Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu siarkan.” (QS. Adh Dhuha: 11)
Kau sedang bersyukur, anakku..."
Amirah pelik. Ustazah mengulangi ayat 11 surah Adh-Dhuha kepada dengan perlahan-lahan supaya Amirah dapat menangkap apa yang hendak disampaikan.
"Kau sudah sebut kau sedang berusaha khusyu dalam solat. Kau sudah sebut kau menambah amal untuk menambah rasa syukurmu, itulah tanda syukurmu! Aku yakin bukan untuk kau riyakkan di hadapanku..."
Amirah diam menunduk.
"Anakku, kerana sayang Allah buat dirimu, aku datang menemuimu dengan rasa sayangku kepadamu sedangkan aku sudah berjanji untuk bersama keluargaku bersiar-siar disini hari ini. Dengan sayang Allah, mereka yang menyokong aku menemuimu apabila melihatmu bersendirian..."
Amirah masih diam. Rasa terlalu pesimis terhadap Tuhan sendiri. Dia beristighfar.
"Anakku, dahulu aku lihat kau sentiasa bersama Syafira didalam kelas. Kenapa hari ini aku melihatmu sendirian?"
Amirah membaling batu yang dia genggam di tangan sejak tadi kearah laut.
Bersambung....

Jumaat, 15 Mei 2015

Real-isasi


Ramai yang kata kalau tak suka, jangan buat. Ramai yang ambil pendekatan, kalau jiwa tak kena dengan pilihan yang telah diambil, masih belum terlambat untuk kembali memilih yang selayaknya. Sungguh pilihan hari ini akan dibawa kematian. Segala ketaksiran (kekurangan) yang berlaku dalam menjalankan pilihan akan dikira dan dihisab walau sebiji dzarah.

Ramai yang protes apabila kehendak bertentangan dengan harapan dan tamanna (cita-cita). Ramai yang mengambil tindakan untuk lari apabila berhadapan dengan perkara-perkara yang menguji keteguhan dirinya diatas keputusan yang diambil. Ramai juga yang lari apabila akal tidak terjangkau akan masa depan yang samar (kerana hakikat manusia tidak mampu meneka apa yang berlaku kedepan). 

Ramai yang apabila bertemu dengan kegagalan, dia menganggap itulah titik terlemahnya. Ramai masih beranggapan jika kalah, dia akan kalah selamanya. Ramai juga yang berazam selepas kegagalan untuk bangkit, apabila menemui kembali dengan kegagalan, dia mengalah, "memang nasib aku sial dan bawa malang".

Namun, dalam kalangan ramai, rupanya masih ada yang melihat sinaran yang sempurna bahawa keputusan yang diambil hasil istikharah dan ketenangan pada langkahan dan tekad pertama itu adalah yang terbaik.

Bahawa ujian merupakan sunnah hidup, maka mengapa perlu berhenti melangkah?

Bahawa meneruskan saki-baki perjalanan dengan cara yang paling terbaik itu wajib walau tamanna lamanya terkubur, itulah susunan terbaik Ilahi. Dia percaya bahawa, selagi kedua kaki belum mencecah rumput syurga, maka usahanya masih dikira per tempoh hayat hidup. Jika usahanya kecil, maka kecil jugalah peratus untuk menghuni syurga yang abadi. 

Bahawa dia percaya, setiap langkahannya, memberi impak dan kesan buat generasi ke hadapan. Bahawa kehidupannya bukan untuk dirinya semata. Bahawa lingkungan diri sendiri harus diputuskan supaya membawa kesejahteraan ummat.

Bahawa dia adalah manusia yang paling optimis dengan masa depan kerana dia optimis bahawa Allah tidak pernah mensiakan usaha. Maka dia akan penuhi masanya dengan perkara yang tidak merencatkan perjalanannya ke syurga.

" Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas’uud r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan (iaitu dipercayai): Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga"
(Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Al-lmam Muslim)
Maka, dia akan kekal di posisinya. Tidak lari dari hakikat dan perjalanan kehidupannya. Realisasikan!

Selasa, 21 April 2015

Rusa Jadian

“ Kau tahu, hujung taman kita ni nanti ada gereja! Dia nak pasang salib dia tu besar-besar!”
“ Alah, kau ini. Kita pasang bulan sabit dekat atas masjid tu bukan main tingginya, depa tak ada pula bising-bising…”
“ Apa depa tak bising, dekat Penang siap ada kata azan tu ganggu depa…”
“ Siapa ‘depa’ tu? Mesti kau nak cakap pasal pembangkang kan?”
“ Pembangkang ke kerajaan ke, aku peduli apa? Depa cakap-cakap pasal agama kita, tak akan kita nak diam?”
“ Eh, Mat! Kenapa kau nak pelik sangat? Orang cakap pasal agama Islam salah, orang kutuk salah… kau nak apa sebenarnya?”
“ Kalau cakap yang tak menggugat kedudukan agama kita tak apa, ini siap minta percent zakat, nak lawan Agong, menganjing azan, tolak hudud…”
“ Mat, aku tengok kau ni dari dulu sampai sekarang, paranoid sangat la. Kau tahu tak perangai kau yang macam inilah yang buat non-muslim memang rasa umat Islam ni ekstremis tau! Dulu nenek moyang kita juga yang terima kedatangan buruh Cina dan India. Boleh je depa hidup aman bahagia. Kau je yang tak bahagia…”
“ Aku nak bahagia macam mana? Aku tengok depa makin naik kepala. Pijak agama kita… ke kau tak baca newsfeed ni?”
“ Ha, itulah kau. Takut dengan bayang-bayang sendiri. Kau ingat internet tu semua betul? Lagi satu, yang kau kutuk-kutuk depa yang non-muslim ni kenapa? Kau confirm kau masuk syurga depa masuk neraka?”
“ Aku bukan macam kau, Ali! Baca satu sumber je. Dari dulu baca akhbar itu saja. Aku ni ada la inesiatif mengkaji juga… bukan macam kau!”
“ Eh, Mat! Kau confirm kau masuk syurga?”
“ Lah, apasal tanya soalan macam itunya? Yang pasti memang orang beriman masuk syurga, orang kafir tu tempatnya neraka! Kau tak boleh nafi….”
“ Ish, kau ni. Mana tahu dia masuk Islam sebelum mati ke… suka-suka hati kau mengata orang. Hidayah tu milik Allah tau! Tengok Alvin Tan tu, kau mesti nak marah kan tengok dia azan? Eh, at least dia mengucap syahadah tau!”
“ Aduh, kau jangan naïf sangat la, Ali. Azan dengan tak berbaju, bertatu salib, berpiano, hujung tingkap ada arak. Apa kau ingat lafaz macam tu menampakkan dia sedia nak Islam? Kau pernah tengok video sarkastik tak? Macam video Mat Luthfi ke, takkan kau tak faham mesej sebenar si Alvin tu? Adush…”

Bersambung…

Ahad, 19 April 2015

EKSPRESI [1]


Kushari dan Kerabu Ikan
Hidup ini, macam kushari (makanan orang arab-dicampur nasi, mi dan kacang serta kuah sambal dan cuka). Ada juga yang kata macam Nasi Ambeng (makanan orang Jawa-yang perlu digaul dengan lauk-pauknya hingga sebati). Atau mungkin juga Nasi Kerabu (saya rasa semua orang kenal).
Saya peminat tegar kushari dan juga Nasi Kerabu. Saya belum pernah makan Nasi Ambeng-kesimpulannya, saya suka makan- dan setiap kali makan, ada part atau lauk atau elemen nasi ini yang saya minati. Kushari sedap pada kuah sambal dan cukanya, manakala Nasi Kerabu sedap pada kerabu ikannya.
Ada orang cakap, kushari tak boleh dimakan setiap hari kerana kawasan berdebu dan terbuka dengan penyediaan yang kurang bersih boleh mendatangkan penyakit. Ada orang cakap juga, Nasi Kerabu merupakan makanan orang-orang kaya kerana di Mesir, susah untuk didapati-macam kelakar je pernyataan ini.
Bagi peminat makanan-makanan di atas, mana mungkin tak hangin dengan kata-kata orang! Dahla kita minat, then dia kata, tak hygene lah, apalah… jadi respon apa yang kita ekspresikan.
Gagal memilih
Kebanyakan dari kita, gagal untuk memilih respon yang tepat pada waktunya. Ramai dari kita mudah melatah dan terpukul dengan kata-kata. Untuk setiap keadaan, kita perlu bijak memilih respon. Jika kita kembali kepada kisah di atas, perkara yang bagi saya kecil, tetapi akibat tersilap memilih respon, ia menjadi besar. Apatah lagi jika berdepan dengan perkara-perkara besar, sudah tentunya ia menjadi lebih besar!
Kenapa kita tersilap memilih respon?
Sudut pandang yang melahirkan sikap
Ya, semua berpunca dari kesan memilih sudut pandang. Bagi sesetengah orang, isu kushari dan nasi kerabu di atas, adalah isu kecil. Tak perlu dibawa bergaduh apatah lagi merosakkan mood harian kita. Bagi setengah yang lain pula, ia sebaliknya. Lalu, dari mana datangnya pula sudut pandang?

Bersambung…