Jumaat, 9 Januari 2015

Sememangnya begitu!


Fokus
"(Diperintahkan dengan yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya..."

(Q.S al-Ahzab:4)

Ada masa kita buntu untuk mencari fokus. Terutama ketika belajar. Kita makruf, masalah utama pelajar selain tidak menyiapkan kerja sekolah adalah fokus ketika guru mengajar. Kebanyakan mereka lebih mudah diganggu konsentrasinya dengan perkara yang diminatinya dan kebanyakan minatnya adalah suatu yang remeh!

Minat
Diciptakan manusia itu  dengan minat dan kecenderungan masing-masing. Ada yang meminati irama dan lagu atau mungkin tinta dan kalam. Ada yang lebih teliti dan mengkaji atau mungkin dengar dan turuti. Semua berhak atas minat dan kecenderungan masing-masing. Semua lebih arif dengan rasa-rasa jiwa. Rasa-rasa idea.

Dan diciptakan juga manusia itu terbentuk dengan minatnya. Jika minatnya suka memasak, kebiasaannya dia mungkin suka  melihat rancangan masakan di televisyen. Atau bagi mereka yang suka memasak dengan cara sendiri merupakan seorang yang berani mencuba. Ada juga yang tahu masakannya tidak sedap, dia tidak mahu belajar untuk memperbetulkannya kerana masakannya tetap akan habis ( kerana makanan hari itu dimasak dengan kadar yang sedikit dan hanya itu yang boleh dimakan dirumah). Mungkin orang begini adalah seorang yang tidak kisah dengan kualiti makanan yang masuk ke dalam perutnya. Apa yang penting, sudah makan, maka sudah kenyang.

Itu baharu bab memasak.

Bagaimana jika minat kita bercanggah dengan tanggungjawab atau tugas kita ketika itu. Sebagai contoh, minat kita memasak tetapi kita ditugaskan untuk mengelap tingkap rumah. Jika kita seorang yang suka mengemas, mungkin itu suatu yang mudah dan ringan. Namun, jika sebaliknya, maka sudah tentulah mengelap tingkap (semudah-mudah perkara bagi orang yang rajin mengemas tadi) menjadi satu perkara yang bertingkat-tingkat keberatan dan kesusahannya!

Mana mungkin kita dapat mengelap tingkap dalam keadaan kita membencinya. Mana mungkin kita bersungguh-sungguh dalam melakukannya tanpa kita fokus untuk melakukannya! Mana mungkin!

Sudut pandang mukmin
“Sesungguhnya Allah mencintai seorang hamba yang apabila ia bekerja, ia menyempurnakan pekerjaannya”
(H.R Tabrani)

Nah, ini jawabannya. Betapupun kita membenci suatu pekerjaan, kita punyai rujukan. Suka benci kita berlandaskan suka dan benci Allah pada apa yang dilakukan makhluknya. Suka benci kita bersumberkan apa yang digariskan Al-Quran dan  As-Sunnah. Maka, walau setinggi mana kebencian kita pada suatu perkara, kalau digalakkan agama, maka kita perlu suka dan lakukan.Walau setinggi mana suka kita kepada suatu  perkara, tapi  diharamkan agama, maka  wajib kita tinggalkan.
Itu sudut pandang manusia bertuhan! Hakikatnya  hanya Allah Tuhan kita.

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?"
(Q.S Ar - Rahman: 16)

Bermakna, minat benci kita, sudut dan ukuran kebebasan dalam memilih adalah syariat itu sendiri. Jika dibenarkan syarak, maka lakukanlah dengan sehabis baik. Jika ditegah syarak, maka tinggalkanlah dengan sehabis mujahadah yang ada.

Pelbagai hati, pelbagai minat, pelbagai rasa
"Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)"
(Q.S Al-Mulk:2)

Sudah semestinya kita teruji dengan kepelbagaian perangai  manusia kerana adakalanya yang bercanggah dengan perangai dan sikap kita. Tapi sampai bila ujian ini mampu kita atasi? Sehingga kita mengotakan ' sebaik-baik ukhuwah adalah itsar, selemah-lemahnya adalah berlapang dada'! 

Saya bercakap mengenai prinsip pergaulan sesama mukmin, bukan prinsip dengan yang berlainan aqidah!

Limitasi sabar
Apabila diketengahkan usul sabar, kita letakkan aqidah dan akhlak sebagai limitasi. Kalau lah perangai bakal merosakkan aqidah dan akhlak, maka wajib kita amar makruf nahi mungkar. Kerana ukhuwah islamiyyah bukan ukhuwah geli-geli. Ukhuwah islamiyyah bukan ukhuwah usap belai nasihat bisik-bisik semata. Kalau begitu kita seolah-olah tidak percaya dengan kisah Rasulullah pernah menegur Abu Dzar yang memanggil Bilal dengan panggilan 'anak hitam' ketikamana baginda dengan telus dihadapan Abu Dzar mengatakan masih ada jahiliyah dalam diri Abu Dzar.

Namun, mukmin itu perlu senantiasa mencari jalan yang terbaik dan berkesan untuk menegur. Orang yang ditegur pula anggaplah teguran itu sebagai rasa sayang ukhuwah islamiyyah walau bagaimana caranya. Seorang yang berjiwa besar, adalah seorang yang sedia dibentuk dan membentuk tarbiyyah Islamiyyah. 

"Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (menentang musuh)"
(Q.S Al-Muddathir:7)

Musuh terbesar adalah nafsu ammarah dan ego sendiri.

"Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar"
(Q.S Al Asr:3)

Maka, tiada limitasi sabar dalam berpesan-pesan dengan kebenaran. Samada kita yang memberi atau kita diberi nasihat.

Tebaran cinta
"Ambillah cintamu dilangit, dan tebarkanlah dibumi".  Begitu kata Salim A. Fillah dalam bukunya Dalam Dekapan Ukhuwah sebagai interpretasi kepada sebuah hadis riwayat Imam At-Tabrani;

"Kasihilah makhluk di bumi, maka engkau dikasihi yang di langit"

Buruk baik hubungan kita dengan manusia, maka muhasabahlah hubungan kita dengan Allah. Hitunglah mutabaah amal seharian kita dihujung usia (sebelum tidur).

Ya, sememangnya begitulah!

*Let's walk the talk T.T

Jumaat, 26 Disember 2014

Sisa dunia


Sejenak terdetik,
Indahnya langit,
Damainya bumi,
Cantiknya awan,
Subhanallah.

Hirupan udara dunia,
Dengan segala kesegarannya,
Caca marba nya,
Buat hati rasa senak,
Beginikah rasanya?

Teringat sebuah kisah,
Gigihnya seorang rijal,
Tabah seorang lelaki,
Mengemudi sebuah bahtera masa hadapan,
Terkesima seketika,
Sanggup dia lalui ini semua kerana aku?

Seorang aku dengan kehidupannya,
Ber aku-aku an dan ber kamu-kamu an,
Kehidupan sendiri,
Tak rasa mahu korbankan setitis peluh,
Untuk sebuah "esok".

Sebuah  kehidupan,
Ke aku an,
aku yang jalani,
Aku yang rasai,
Mengapa perlu pandang sisi-sisi,
Biarkan saja,
Mereka itu adalah sisa-sisa,
Hidupnya sia-sia.

Namun,
Ternyata pengorbanan lelaki itu kerana aku,
Tanpa dia sesatlah aku,
Tapi aku hidup untuk aku,
Sedangkan lelaki itu pembawa risalah,
Contoh dan qudwah,
Tapi aku tak sanggup melangkah??

Dia tunjukkan sebuah kehidupan yang tidak tersisa,
jika ku ingkari,
jika aku lari,
akulah sisa-sisa dunia,
akulah manusia sia-sia,
Sedang Tuhan menjadikan aku sebenarnya cukup bermakna.

Selasa, 23 Disember 2014

Orang-orang


Manusia

Satu nikmat yang menjadi tarikan buat kita. Satu makhluk yang bernyawa dan punyai paras rupa. ‘Seekor haiwan yang mampu berkata-kata’ dan mampu me ‘rasa-rasa’. Namanya manusia. Ya, kita menjadi tarikan buat diri kita sendiri! Sepatutnya begitu!

“Dan juga pada diri-diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil bukti itu)?”
[Q.S Adz-Dzariyat:21]

Satu kelebihan yang perlu kita titik beratkan adalah, kebolehan ikut rasa.

Deria

Nikmat deria yang dikurniakan Allah s.w.t kepada hambaNya merupakan satu lagi nikmat yang tidak patut dikufuri. Kita punyai deria penglihatan, pendengaran, hidu dan rasa. Tidak kiralah deria rasa lidah mahupun deria perasaan.

Perasaan, satu perkara yang subjektif untuk setiap manusia. Kita pilih satu saja perasaan sebagai contoh. Malas. Ada manusia merasakan bahawa malas itu hanya pada tulisan buruk. Atau mungkin juga malas membuat pekerjaan rumah seperti menyapu rumah, membasuh pakaian dan mengemas bilik tidur. Boleh jadi definisi malas bagi sesetengah yang lain pula dengan melihat saja kepada pemakaian seseorang itu. Bagi manusia yang sudah terbiasa dengan ketidak kemasan sesuatu perkara, maka ketidak kemasan itu bukan suatu kemalasan! Seperti saya katakana tadi, ianya subjektif. Tiada skema jawapan yang tepat pada tangan manusia.

Begitu juga bagi sesetengah pihak, menyamakan situasi di atas dengan situasi memilih kehidupan. Kebaikan dan keburukan itu subjektif, bagi mereka. Itu atas pilihan skema subjektif masing-masing. Ikut rasa mereka mahu yang mana!

Ilham

“Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan membawanya kepada bertaqwa”
[Q.S Asy-Syams: 8]

Ya, Allah mengilhamkan kita dengan hanya dua pilihan. Kebaikan atau keburukan. Jika kita tidak memilih kebaikan bermakna kita adalah pemilih kejahatan. Jika kita tidak memilih keimanan bermakna kita telah memilih kejahiliyahan. Tiada jalan tengah.

Maka, skema jawapan hanya ada pada skema Islam. Skema jawapan hanya merujuk kepada skema Allah, Pencipta alam.

Hidayah

Akhawati, hidayah yang kita miliki hari ini belum tentu kita miliki selamanya. Boleh jadi kita karam diuji tembakan ujian yang bertubi-tubi. Boleh jadi kita berlama-lamaan dalam futur yang dihias seperti yang disebut dalam Muntalaq karangan Abu ‘Ammar. Boleh jadi juga kita menjadi manusia yang hidup hanya untuk dirinya.

Akhawati, sengaja saya bawakan kembali penulisan kali ini dengan hakikat-hakikat yang pernah kita telan di awal-awal kita lalui pentarbiyahan ini bersama. Hakikat kesukaran dalam memilih kebaikan. Hakikat kepayahan kita mengikis jahiliyah. Langkauan masa yang panjang untuk kita kembali renungkan kerana hakikat menyucikan diri dari karat-karat dunia yang pada hakikatnya juga masih ada sela-sela masa kita dihinggapi jahilyah itu kembali.

Masa

Sengaja saya bawakan kita mungkin beberapa tahun ke belakang. Atau mungkin beberapa hari yang lepas supaya kita kembali menyusun jalan meneruskan hari esok dan masa akan datang. Sengaja juga saya bawakan kembali kepada fitrah-fitrah yang memanggil kita untuk kekal sebagai saf hadapan perjuangan ini supaya kita kenang masa-masa sukar dan bersykur pada sela-sela kesenangan.

Apa tujuannya?

Supaya betapa manisnya mujahadah-mujahadah yang kita kerahkan turut dirasai manisnya oleh manusia sekelilingnya. Supaya haruman hasil pentarbiyyahan islamiyyah yang semerbak harumnya ini memenuhi dunia.

“Dan tidak ada yang lebih baik perkataan daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)”
[Q.S Fussilat:33]

“Masa itu perawatan”

Ungkapan yang biasa kita tuturkan. Namun, sejauh mana kita hayati?
Menurut pengarang Jalan Menuju Hati, ungkapan ini memaknakan bahawa setiap masa kita adalah dipenuhi dengan suatu yang bermanfaat buat umat ini. Sehari hari kita, bermakna setahun umur umat! Sehari kita berdiam-diam, maka setahun pula lah ummat ini tertidur! Siapa lagi yang bakal mengejutkan mereka?

Orang – orang

Kerana kita juga manusia,bukan orang-orang. Tidak dinafikan adanya perasaan sakit ketika bertemu dengan manusia. Mungkin sakit kerana kita bukanlah seorang yang pandai menyapa, tetapi tarbiyyah mengerah kita lakukan itu. Atau mungkin tidak tahu cara terbaik untuk menegur, tetapi kesedaran memaksa kita lakukan itu.

“ Orang Muslim yang apabila bercampur dengan manusia dan sabar atas penderitaan yang dilakukan mereka lebih baik daripada orang muslim yang tidak bercampur dengan manusia dan tidak sabar atas penderitaan yang dilakukan mereka (kepadanya)”
[Hadis Riwayat Tirmizi]

Maka, untuk Tuhanmu, bersabarlah!

Senyum

Musim tawaquf bukan bermakna kita berhenti dari segala-galanya. Bukan bermakna kita berhenti merekod mutabaah amal. Bukan juga menghalalkan kita menyendiri dan tidak menyapa manusia. Tetapi musim inilah yang menguji keteguhan kita pada tarbiyyah yang kita jalani. Hanya kita dan Allah yang mengetahui mengenai kebenaran dan kejujuran kita terhadap risalah ini.
Satu wajibat musim tawaquf yang cukup menarik untuk dipraktikkan!

“Senyum manismu dihadapan saudaramu adalah sedeqah”
[Hadis Riwayat Tirmidzi]

Akhir kalam,

Fa nikma ajrun ‘amilin!

“Serta mereka berkata; “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menepati janjinya kepada kami, dan yang menjadikan kami mewarisi bumi Syurga ini di mana kami sukai; maka pemberian yang demikian ialah sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal”
[Q.S Az-Zumar:74]


p/s: peringatan ini untuk diri sendiri

Jumaat, 19 Disember 2014

Sehingga Allah menjadi segalanya!


Sebuah kehidupan

“Apakah kamu mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman sedang mereka belum diuji?”
(Q.S Al-Ankabut: 3)

Kita akui kehidupan yang bersimpang-siur membuatkan kita berasa lelah dengannya. Kita akui tiada satu pun yang akan mengeluarkan kita dari kelelahan ini kecuali dengan sebuah kerehatan dan berhenti dari menjalani kehidupan. Kita juga akui bahawa setiap yang mendatang pada hari yang ke hadapan ada yang memenuhi rasa kehendak dan ada yang berlawanan separuh per seratus ataupun berlawanan secara total dengan kehidupan! Kita akui itu.

Namun akurnya kita pada sebuah pengakuan tidak bermakna kita perlu berserah padanya. Berserah kepada pengakuan dan realiti-realiti tadi. Kerana kita berbeza. Kita adalah mukmin yang punyai Tuhan yang padaNya kita berpaut dan bergantung harap. Lalu kita diajar bagaimana untuk menghadapi hari-hari mendatang dengan jalan yang dijamin Pencipta kita dan utusanNya sendiri.

Aku mukmin, insyaAllah!

Ibnu Taimiyyah pula ada berkata, adapun istisna’ dalam iman iaitu jika seseorang berkata; “Aku mukmin, insyaAllah”.

Menurut Imam Ahmad dan Imam Syafei, tidak salah mengucapkan insyaAllah dihujungnya. InsyaAllah bukan bermakna keraguan terhadap keimanan kepada Allah, akan tetapi ketidaklengkapan kita dalam amal ke arah ciri-ciri mukmin itu sendiri.

Seringkali kita mendengar pengakuan teman-teman, “Saya ditahap Muslim. Belum Mukmin”, lalu berlambat-lambat melakukan amal.

Tetapi apa yang diajar Rasulullah s.a.w dalam doa ketika menziarahi kubur:
“Semoga keselamatan menyertai kalian hai para penghuni alam kubur dari kalangan mukminin. Sesungguhnya kami insyaAllah akan menyusul kalian”

InsyaAllah Rasulullah dalam doa ini mengandung sebuah cita-cita. Yakni cita-cita untuk mengikut  amal yang akan sampai kepada tahap mukmin itu seperti mayyit mukmin itu dengan penuh kesediaan!

Bagaimana dengan kita?

Mukmin = Optimis

UtusanNya s.a.w ada bersabda dalam sebuah Hadis riwayat Muslim;
“Sunguh ajaib keadaan oang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka dalam keadaan baik. Dan tiada yang memperoleh keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya”

Betapa hebatnya ciri orang mukmin itu jika dia memulakan harinya dengan keadaan ini. Dan tidak ada keadaan ini melainkan orang beriman!

Baik buruk sesuatu yang menimpa atau hadir dalam diri dan hidup kita bergantung kepada bagaimana kita memandangnya.

Dua keadaan berbeza:
1)      Mendapat berita gembira
Kebiasaannya kita tidak rasa terbeban dengan berita ini. Malah, kadang-kadang  kesan yang sebaliknya dari syukur itu pula yang hadir. Maka, samada nikmat atau istidraj itu bergantung kepada kita yang mahu menjadikan apa pada sebuah berita gembira. Dan itulah ujian!

2)      Mendapat berita dukacita
Apabila mendapat berita yang kurang kita mahukan pula, kebiasaannya membuatkan kita putus asa dan putus harap. Dunia seakan-akan gelap. Sudah tiada jalan keluar!
Tapi bagaimana pandangan yang sepatutnya tertanam dalam diri mukmin itu adalah;

“(Iaitu) orang –orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”
(Q.S Al-Baqarah:156)

Itulah jawapannya! Itulah kuncinya! Tiada ketakutan untuk meneruskan hari-hari yang berbaki melainkan kembali kepada Allah.

Mukmin = Tekun

“Sesungguhnya Allah mencintai seorang hamba yang apabila ia bekerja, ia menyempuranakan pekerjaannya”
(H.R Tabrani)

Apabila sudah ada pandangan yang indah pada masa depannya, maka haruslah dia berkerja dengan sebaiknya. Menjadi pekerja yang bersungguh-sungguh. Menjadi anak yang bersungguh-sungguh. Menjadi pelajar yang bersungguh-sungguh. Menjadi manusia yang bersungguh dalam setiap posisi hidupnya agar diredai dan dicintai Allah. Sekali lagi, yang diredai dan dicintai Allah.
Maka, tidak wujud rasa bosan dan jemu dengan posisi-posisi yang ada melainkan kita lakukan yang terbaik untuk posisi yang ada dan kemungkinan untuk Allah menambah posisi baru adalah dalam pengetahuan dan kuasaNya.

Futur yang diindahkan

Adakalanya juga kita akui ada senggang-senggang masa yang dihinggap rasa kebosanan dan kejemuan pada posisi yang ada. Mungkin juga rasa lemah untuk meneruskan ketekunan dalam menjalani sebuah posisi kehidupan tidak kiralah alasannya mungkin kerana kesusahan kerjanya, tugasnya dan sebagainya. Itu kita namakan futur.

Namun, betapa cantiknya Islam, sebuah agama Allah yang tahu fitrah dan fatrah manusia itu, telah disediakan sebuah solusi yang cantik!

“Setiap amal itu ada masa-masa semangat dan setiap masa-masa semangat ada masa futur. Barangsiapa yang masa futurnya tetap dalam sunnah, maka dia telah mendapat hidayah. Namun barangsiapa yang masa futurnya membawa kepada selain itu (sunnah), maka dia telah celaka”
(HR Ibnu Hibban dan AlBani)

Ada dua pilihan bagi peminjam futur, hidayah atau kecelakaan. Barangsiapa yang mahukan hidayah, maka carilah solusi di atas jalan Islam. Barangsiapa yang mencari selain itu, maka celakalah dia kerana menjadi pemilik futur!

Lalu apakah yang dimaksudkan dengan futur yang diindahkan?
Kita melayan futur. Kita manjakan rasa putus asa, putus harap, malas dan rasa-rasa yang negatif!

Sehingga Allah menjadi segalanya!

Ada masa, mungkin kita terfikir untuk menghilangkan futur dengan lari dari segala yang mengelilingi kehidupan. Meleraikan segala ikatan posisi dan menghilangkan manusia-manusia yang kita datangi dari ingatan dalam masa yang sama, kita turut mahu lakukan peleraian ikatan tarbiyah kerana sudah tidak sanggup ditarbiyyah!

Kata kita, kita mahu jadi yang biasa-biasa. Cukuplah syurga yang biasa-biasa buat kita. Cukuplah kehidupan yang ‘sederhana’ bagi kita. Cukuplah sekadar kalimah ‘biasa-biasa’ yang akhirnya tertanam dan menjadi kebiasaan atau ungkapan biasa kita.

Kita sudah tidak tahan diuji sedangkan pada Allah kita hampir berjaya dalam ujiannya. Atau mungkin kita tidak sanggup diuji sedangkan ujian yang bakal menimpa belum pun pasti seperti yang kita sangkakan tahapnya.

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…”
(Q.S Al-Baqarah : 286)

Ayat ini saya akui, sudah biasa di lafazkan bagi mereka yang lelah dalam kehidupannya. Namun, berapa banyak peratusan keyakinan kita terhadapnya?

“Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan; dan kepada Kami lah kamu semua akan dikembalikan”
(Q.S Al-Anbiya:35)

Lalu, tempat kembali manakah yang terbaik melainkan Allah?

Akhir kesimpulannya, sehingga Allah menjadi segalanya!
Allah menjadi tempat kita merayu dan mengadu rajuk dengan dunia. Kemudian kita kembali berkerja dengan kesungguhan seorang yang dicintai dan mencintai Allah!

Jika kita memahami dengan sedalamnya, tiada sebab untuk kita lari dari jalan Allah dan tidak memilih jalan ini! Mungkin kali pertama lari lari, Allah masih memberi rahmatNya dengan mengembalikan kita pada jalanNya. Kalau kita lari lagi, siapa tahu rahmat yang sama akan menyapa atau tidak!

Semoga Allah memelihara kita di atas jalan ini.

Isnin, 1 Disember 2014

M.A

Saya masih ingat sejak saya kecil, ayah selalu mengucapkan kata-kata berupa;
"M.A tu, kalau ada...tak ke manalah!"

Memang dasar anak nakal. Tak mahu dengar kata ayah. Nah, sekarang baru sedar! Betul lah, MALAS itu, kalau ada dalam diri, kita tak akan bergerak sikit pun. Tidur saja kerjanya. Macam orang biasa-biasa. Malah lebih teruk dari orang biasa-biasa lagi!

Teringat juga cara menghalau syaitan yang memelikkan ayah saya:
"Kalau M.A tu datang, syaitan lah tu! Ambil hanger, sebat kat belakang. Biar syaitan lari!"

Tapi, saya rasa ada betulnya. Ada kalanya kita perlu dihambat untuk bangkit dan tunaikan tanggungjawab sebagai hamba dan du'at. Mungkin sebab itu juga ada buku bertajuk Hambatan Dakwah.

Saya budak rajin belajar. Kalau saya ada M.A tak kemana lah saya.

Ada kalanya rasa blog ini dipenuhi tulisan anak berumur 9 tahun. Oh, apa sudah jadi? Mana Sumaiyah Rushdan ni?

Dia lari...
Ke mana?

M.A.S

:)


Jumaat, 5 September 2014

Bergembiralah, duhai yang berkorban!


Sudah 20 tahun berlalu. Aku dah besar rupanya. Tidak boleh merengek-rengek seperti dulu-dulu dah. Dulu suka baca blog-blog orang dewasa. Seringkali terbaca status-status seperti " rindukan zaman-zaman dulu" , "kalau boleh kembali ke zaman dulu" , dan banyak lagi. Biasanya status-status sebegini ditulis ketika pemilik blog tersebut sedang, akan atau sudah melepasi umur yang baru. Tapi, hari ini bukan hari lahir aku.

Sekadar teringat serta rasa rindu menatap wajah mereka berdua. Memanglah boleh tengok melalui Whatsapp, Viber dan pelagai lagi medium media yang lain, tapi rasa rindu itu mustahil akan hilang. Alhamdulillah atas segalanya. Aku masih dikurniakan ibubapa. Alhamdulillah.

Sedikit coretan buat tatapan ummat. Mereka telah lakukan yang terbaik dalam mendidik aku dan aku menjadi saksi!

Merekalah yang menanam semangat jihad dari balik nama aku. Setiap malam ummi menceritakan apa sejarah nama aku dan adik beradik yang lain. Masing-masing menunggu giliran untuk diceritakan sejarah disebalik nama yang diberikan. Hampir setiap malam! Tanpa bosan! Nama yang sama!

Merekalah yang mengajar, sebelum maghrib, mesti sudah berada di rumah. Lepas Maghrib, mengaji! Siapa ingkar, jawabnya, hehehe...rahsia! Kalau mahu keluar di waktu petang, mesti solat Asar dahulu. Oh, aku rindu zaman-zaman selepas waktu Zohor buat layang-layang menanti 'waktu pelepasan'. Azan Asar saja, semua adik-beradik solat dan memanfaatkan 'outing' dengan sebaiknya. Aku rindu zaman layang-layang dan belalang.

Merekalah yang mengajar bulan Ramadhan mesti hafal Quran, mengaji dan Solat Terawikh. Namun tidaklah mereka larang untuk bermain pelita tempurung kelapa diwaktu malam selepas usai Terawikh. Oh Aku rindu saat ini!

Merekalah yang mengajar supaya usaha bersungguh-sungguh sebab kita orang Islam. kena jadi lilmuttaqiina imama!

Tapi, satu persoalan yang aku rasa ujian buat mereka berbanding soalan-soalan remaja aku; "kalau anyah nak mati syahid macam Al-Qassam dekat Palestin, Abi Umi relakan tak?"

Soalan yang aku takkan terfikir pun untuk tanya kalau bukan merekalah yang cetuskan dan terapkan.

Selamat berkorban Ummi Abi dan bergembiralah dengan jual beli ini ! :)

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda “Bersabarlah wahai keluarga Yasir, kerana tempat yang dijanjikan bagi kalian ialah syurga”.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mendoakan keluarga Yasir, “Ya Allah, janganlah Engkau seksa seorang pun dari keluarga Yasir dengan api neraka”.

Mungkinkah aku akan ulangi sejarah keluarga Sumayyah?




Sabtu, 30 Ogos 2014

Hanya selepas kau mengenal Tuhan


Mana mana saja,
Bila kau mengenal Tuhan,
Kau tak akan sedih,
Walau hakikatnya pedih.

Bila bila saja,
Bila kau mengenal Tuhan,
Kau setia menunggu,
Janji Tuhanmu,
Sedang kau tak tahu apa yang akan berlaku.

Selepas kau mengenal Tuhan,
Apalah harganya dunia,
hanya ditangan,
Tidak mengesani hati,
Langsung.

Setelah kau mengenal tuhan,
Tiada harta perit dan pedih,
Sabar untuk patuh dan menjauhi larangan,
Apa Tuhan mahu,
Kau turut,
Apa Dia larang,
Kau cabut,
Dan kau tidak rasai ada yang penting lebih dari itu.

Hanya selepas kau mengenal Tuhan!